Bahasa Malaysia

Tiada Masa Dan Wang: Strategi Pemasaran ‘Lapuk’ Ini Boleh Bantu Tingkatkan Jualan Anda Tidak Sampai 3 Bulan

Apakah jenis pemasaran yang boleh dilakukan dengan sangat berkesan tanpa pengeluaran modal yang munasabah?

24 jam sehari memang tidak cukup. Usahawan-usahawan di Malaysia, terutamanya usahawan kecil, sederhana mahupun freelancer, biasanya tidak mempunyai banyak masa yang mereka boleh peruntukkan untuk duduk seketika dan memikirkan strategi pemasaran digital untuk perniagaan mereka. Kebanyakan mereka memang bekerja keras demi kelangsungan hidup. Ekonomi dunia yang semakin tidak menentu juga tidak membantu, jadi tiada pilihan lain bagi mereka selain daripada bekerja keras. Bak kata pepatah, ada kerja ada gaji. Dalam masa 24 jam sehari, ada yang cuma tidur 2-3 jam sahaja. Mereka terlalu sibuk dengan operasi harian dan aktiviti yang perlu dibuat, perkara yang harus dipantau yang tidak boleh ditinggalkan.

Selagi perniagaan mereka tidak berkembang, selagi itu mereka masih belum bersedia untuk menggaji jumlah pekerja yang sepatutnya, dan selagi itu juga beberapa tanggungjawab lain perlu dipikul oleh mereka walaupun tangan yang ada hanya dua. Yang penting, kebajikan dan kepentingan para pelanggan perlu dijaga dengan baik untuk mereka kembali membeli berkali-kali.

Memandangkan mereka tidak juga sempat untuk membuat apa jua strategi dengan terperinci, apa yang bakal terlintas di fikiran mereka tentang pemasaran digital akan terus dibuat tanpa berfikir panjang. Mereka tidak mempunyai masa untuk menulis di kertas atau menconteng peta minta untuk strategi pemasaran masing-masing. Jadi, perkara yang paling utama yang mereka akan pertimbangkan biasanya ialah menyediakan jawapan kepada persoalan ini; Apakah jenis pemasaran yang boleh dilakukan dengan sangat berkesan tanpa pengeluaran modal yang munasabah?

Biasanya mereka tiada masa, dan tiada juga wang. Mereka tidak mempunyai modal yang besar untuk apa jua bentuk pemasaran tetapi amat-amat memerlukan hasil dari pemasaran. Apa yang terlintas di fikiran mereka terlebih dahulu, itulah yang mereka akan lakukan. Jadi penggunaan Facebook, Instagram, mengedarkan katalog ke rumah-rumah dan kedai, kain rentang, kemeja T, pelekat dan kad perniagaan akan menjadi pilihan pertama mereka. Ini sesuatu yang normal.

Sesuatu yang normal tidak semestinya berkesan, yang bakal diterjemahkan kepada jualan dan pendapatan. Mahu tidak mahu, mereka perlu juga sekurang-kurangnya sekali dalam enam bulan atau setahun, cari tempoh bertenang untuk diri sendiri dan sedikit masa untuk berfikir tentang strategi jangka pendek, sederhana dan panjang demi masa depan perniagaan mereka. Sekiranya mereka boleh berbuat demikian, saya mencadangkan agar mereka mengambil masa 2-3 hari untuk tujuan ini. Lupakan sejenak operasi perniagaan, duduk diam-diam sama ada di rumah ataupun ketika percutian keluarga dan tumpukan fikiran anda kepada strategi masa hadapan perniagaan.

Berikut saya kongsikan apa yang perlu anda fikirkan untuk strategi anda, tetapi sebelum itu sediakan terlebih dahulu sedikit kopi, kertas, pen dan juga telefon pintar yang mempunyai akses internet. Berfikir panjang sangat memenatkan, jadi kopi memang penting. Kemudian, pertimbangkan kaedah yang praktikal ini dan huraikan langkah seterusnya di kertas yang ada di atas meja tadi.

Kekalkan pelanggan yang ada dahulu. Langkah ini akan menstabilkan jualan bulanan anda. Mulakan dengan mengurangkan ego anda sebagai seorang bos, dan turun ke bawah untuk beramah mesra dengan pelanggan yang datang. Berkenalan dengan mereka. Ingat nama mereka, suami dan isteri serta anak-anak mereka. Kenalkan kepada keluarga anda. Jadikan mereka kenalan anda. Kunjungi mereka ketika waktu kenduri dan sertai mana-mana aktiviti dengan mereka untuk rapatkan silaturrahim. Dari pelanggan kepada rakan, ini yang perlu anda lakukan.

Dapatkan pelanggan baharu dari pelanggan yang ada. Apabila perhubungan tadi menjadi rapat, rasa percaya terhadap satu sama lain akan menjadi lebih kuat. Mereka juga mempunyai rakan yang lain, dan lama-kelamaan rakan-rakan mereka turut akan menjadi rakan anda juga. Mungkin di media sosial ataupun secara fizikal. Ini lumrah manusia, ekosistem rakan kita akan sentiasa berkembang tanpa kita sedari. Akan tiba satu masa nanti, pelanggan yang sedia ada tadi yang juga rakan anda akan membawa rakan mereka ke kedai anda, dan secara langsung ini menjadikan mereka pelanggan anda yang baharu. Indah bukan?

Dapatkan pelanggan baharu yang anda tidak kenal. Orang sentiasa mencari apa jua benda di internet untuk keperluan harian atau apa jua sebab. Mereka menggunakan enjin pencarian Google untuk ini. Jadi perniagaan mahu tidak mahu, perlu mempunyai satu laman web. Sama ada berbayar atau percuma, terpulang kepada anda tetapi ia perlu ada. Dengan adanya laman web, sesiapa juga yang mencari anda pasti akan berjumpa dengan laman web anda terlebih dahulu. Sedikit kajian dan pembacaan tentang anda akan dilakukan terlebih dahulu di sana. Setelah mereka yakin dengan jenama anda, mereka akan melihat pula aktiviti anda di media sosial. Apabila mereka sedikit percaya dengan anda, pasti mereka akan datang. Proses ini akan mengambil masa sedikit tetapi ia amat berkesan dengan kehadiran laman web anda dan juga aktiviti-aktiviti anda di media sosial yang aktif.

Berikan pengalaman yang manis. Produk yang berkualiti tinggi, harga yang tidak terlalu mahal dan perkhidmatan yang baik. Kombinasi ini biasanya akan memberikan pengalaman yang amat manis kepada sesiapa sahaja yang menjadi pelanggan anda. Dan mereka pasti akan datang lagi untuk menikmati pengalaman yang sama kerana ia jarang didapati di tempat lain.

Guna media sosial untuk berinteraksi sahaja. Jangan bermain dengan promosi, promosi dan promosi sahaja di media sosial. Sesiapa sahaja, termasuklah pelanggan anda akan lari jauh meninggalkan anda. Ia sepatutnya digunakan untuk tujuan interaksi yang boleh merapatkan perhubungan anda dengan pelanggan dan rakan-rakan yang ada. Mereka tahu apa kerja anda dan apa yang anda jual, jadi tidak perlulah anda ingatkan mereka setiap masa. Apabila tiba saat dan ketikanya nanti, mereka pasti akan ke kedai anda untuk mencuba produk dan perkhidmatan yang anda sediakan.

Lima strategi ini tidak memerlukan kos yang tinggi. Ia cuma memerlukan sedikit permainan emosi dan psikologi sahaja. Mungkin anda juga sedang lakukannya tetapi tidak sedar tentang kepentingannya. Saya yakin, perniagaan anda akan jauh lebih maju selepas ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *