Bahasa Malaysia

10 Punca Utama Mengapa Anda Gagal Bina Imej Diri Seperti Yang Anda Inginkan

Ramai yang berpendapat  dan membayangkan imej peribadi seseorang hanya terletak pada cara mereka berpakaian. Tidak salah. Tetapi jawapan yang sebenar adalah, itu hanya sebahagian daripada pakej lengkap perkataan imej itu sendiri.

Bagaimana menjadi seorang yang berpengaruh, dan bagaimana pula caranya mendapatkan orang ramai lakukan apa yang anda mahukan? Umum sedia maklum, ia sebenarnya sangat berkaitan dengan usaha seseorang dan personaliti mereka secara peribadi, tetapi sebahagiannya pula adalah ketrampilan individu tersebut secara keseluruhan.

Malah, penampilan, tingkah laku dan cara berkomunikasi menggambarkan seberapa jauh seseorang bakal berjaya dalam hidup ini. Bagaimana jika saya ajukan soalan ini kepada anda. Adakah anda sebuah pakej lengkap, atau masih ‘work-in-progress’? Jika jawapan kedua diberikan, percayalah ia satu alasan yang sudah biasa saya dengar sejak 2, 3 , mungkin 4 tahun yang lepas.

Ramai yang berpendapat  dan membayangkan imej peribadi seseorang hanya terletak pada cara mereka berpakaian. Tidak salah. Tetapi jawapan yang sebenar adalah, itu hanya sebahagian daripada pakej lengkap perkataan imej itu sendiri. Penampilan, cara tindakan atau tingkah laku dan komunikasi (lisan dan bukan lisan) termasuk penggunaan bahasa badan adalah elemen utama sebuah imej yang baik. Jangan lupa digital presence atau kewujudan akaun atau profil anda di media sosial, sudah cukup melayakkan anda untuk berada di dalam senarai enjin pencarian di Google. Ini bermakna juga jenama diri anda sudah mula diiktiraf.

Jika anda masih berpendapat imej hanya ada pada penampilan, tingkah laku dan komunikasi, tunggu sehingga imej anda dinilai sepertimana mereka melihat anda secara berdepan, ketika anda memuatnaik status mahupun gambar di platform seperti Facebook mahupun Instagram. Kerana di situlah tempat kita bersosial dan mencatatkan aktiviti harian secara tidak langsung, maka komunikasi atau perhubungan berlaku tanpa kita semua sedari.

Nah, sekiranya anda mahir di dalam keempat-empat kategori disebut di atas, kejayaan sudah pasti milik anda (jika tidak hari ini, satu hari nanti sudah tentu!)

Sekarang, cuba anda perhatikan sekeliling anda secara rambang. Lihat rakan-rakan anda dan perhatikan sahaja mereka. Siapakah antara senarai yang anda lihat tadi, terbaik dan paling menonjol antara semua. Katakan dari segi penampilan, tingkah laku juga cara mereka berkomunikasi. Bagaimana dengan profil mereka di laman sosial media pula? Adakah cukup lengkap pakejnya? Mungkin mereka hadir dengan penampilan yang cukup menarik, dan setiap tutur kata disusun dengan begitu baik sekali. Tetapi untuk memiliki kesemua elemen di atas, amat jarang sekali. Ini kerana kebanyakan dari kita fokus hanya kepada satu atau dua daripada elemen tersebut sahaja, dan kadangkalanya tiada langsung.

Trend hari ini yang menjurus kepada berpakaian secara kasual atau dressing down adalah antara punca atau faktor secara tidak langsung menjadikan kita tidak lagi mementingkan aspek penampilan yang menunjukkan kredibiliti peribadi tetapi lebih terarah kepada keselesaan diri dan populariti semata-mata. Tidak hairanlah, tahun 2017 memperlihatkan baju ala pajamas rekaan pereka fesyen popular dijadikan sut jaket dengan seluar crop tiga suku pendeknya dan dipakai oleh rata-rata selebriti popular dan menjadi ikutan peminat pula. Tidak kurang yang memilih baju tidur pajamas sebagai pakaian harian, dan keluar membuat urusan di luar bagaikan ia suatu kebiasaan dan tiada apa yang janggal. Sepertimana pakaian, adab dan cara perbualan juga semakin lama semakin tiada manisnya. Pemilihan perkataan pula dipendekkan dan diakronimkan seolah-olah memperlekehkan bahasa demi mengikut trend semasa.

Bayangkan, bagaimana jika nama anda disebut di mana-mana majlis atau laman sosial yang mengenali diri anda tentang 3 perkataan utama yang akan mereka gambarkan tentang siapa anda. Mungkin ulasan tersebut berkaitan dengan latarbelakang anda, pekerjaan, personaliti, karektor, kelebihan, kemahiran diri dan sebagainya. Dapatkah anda pastikan ulasan yang mereka lakukan itu adalah positif, yang baik-baik dan sedap didengari? Belum tentu lagi. Jadi, tidak salah kalau anda berpakaian yang sesuai dengan tempat anda berada. Dan tidak salah sekiranya anda berpakaian lebih menarik dari sekadar dressing down sahaja.

Ini 10 punca utama mengapa anda gagal bina imej diri seperti yang anda inginkan.

Tidak didedahkan dengan kelebihan menjaga imej diri. Bila disebut tentang imej, ramai yang merasakan ia berkaitan dengan penjagaan penampilan, kos yang tinggi dan hanya sesuai buat mereka yang berprofil dan popular seperti selebriti, model, instafamous, golongan profesional, orang kenamaan atau ahli politik sahaja. Sedangkan ilmu ini perlu dituntut oleh setiap individu yang ingin melihat diri mereka sukses dalam bidang kerjaya, perniagaan, perhubungan malah penjenamaan imej peribadi secara keseluruhan.

Tidak fokus. Saya percaya, ramai yang cuba berubah – dari tahun ke tahun. Tetapi hakikatnya, berapa ramai yang benar-benar fokus dan konsisten dalam melaksanakan perancangan tadi imej diri mereka? Antaranya memberikan saya alasan seperti malas, tiada masa dan imej tidak penting. Pemilihan perkataan sudah cukup membayangkan siapa anda, dan kebarangkalian kejayaan anda di masa hadapan.

Tidak mengamalkan ilmu. Ilmu yang dipelajari bukan untuk diperap. Golongan yang berjaya hari ini adalah kerana mereka berani memulakannya, pelajari sesuatu dari setiap langkah, dan perbaikinya sehingga ia benar-benar sempurna.

Tidak sabar. Terlalu cepat ingin melihat keputusan atau result tentang perubahan diri yang masih dalam proses, tetapi gagal pula untuk memahami strategi atau langkah demi langkah yang perlu diikuti. Mudah berubah hati , kerana terlalu mengikut kawan atau trend.

Tidak mengenali diri sendiri. Percaya atau tidak, ia berkaitan dengan diri anda. Kelebihan dan kekurangan diri. Apakah nilai-nilai diri yang anda pegang yang membezakan anda dengan mereka yang lain. Petik sahaja nama mereka yang berpengaruh, dikenali, juga dihormati – mereka mempunyai nilai-nilai diri yang sangat mengagumkan malah sering sahaja disebut sebagai sebagai seorang yang positif dan profesional.

Tidak pernah menetapkan visi, misi dan objektif peribadi dan kehidupan, seolah-olah tiada hala tuju. Sibuk dengan urusan kerja dan keluarga, adakalanya membuatkan kita terlupa akan visi, misi dan objektif sebenar, peribadi dan juga kehidupan tidak kira sama ada peribadi ataupun profesional. Ramai di antara kita yang membiarkan arus kehidupan berlalu begitu sahaja, tanpa memikirkan apakah yang terbaik untuk kita lakukan, atau perbaiki dalam jangka masa terdekat. Apakah yang kita mahukan dan ingin dikecapi dalam kehidupan, 3 tahun, 5 tahun, 10 atau 20 akan datang?

Terlalu selesa dengan keadaan semasa. Sukar membuat pendirian yang tetap ingin betul-betul menjadi individu yang baru. Antaranya sukar untuk menerima atau memulakan perubahan. Pengaruh sekeliling , rakan-rakan, keluarga yang kadangkala memberikan aura yang negatif dan tidak membantu juga punca melemahkan semangat untuk berubah. Malu juga merupakan faktor penting yang mendorong anda untuk melengah-lengahkan perubahan yang ingin dilakukan.

Keliru. Melalui pengamatan dan pengalaman saya sendiri, antara kesilapan mereka yang terlalu bersemangat untuk menimba ilmu adalah dengan mengikuti dan mendalami ilmu daripada pelbagai mentor dalam industri yang sama. Latarbelakang, pengalaman, ilmu dan kaedah mentor atau guru ini berbeza-beza yang menyebabkan mereka terus keliru dengan ilmu yang diterima. Setiap satunya sangat berbeza dan kadangkalanya bercanggah dengan standard industri.

Tersalah memilih mentor atau idola. Terpulang kepada pendapat individu, saya lebih gemar memilih mereka yang mempunyai kredibiliti di dalam industri, bukan popular semata-mata. Latarbelakang dan pencapaian peribadi perlu dititiberatkan.

Mengharapkan ilmu percuma. Bengkel, workshop atau program percuma yang sering dianjurkan oleh ramai perunding latihan hari ini telah membuatkan masyarakat kita tidak lagi menghargai ilmu yang disediakan oleh guru, kerana ia sangat mudah didapati. Trend sebegini bakal menjatuhkan nilai sesuatu ilmu, dan semangat untuk menjadi individu berkualiti dan profesional , akan semakin hilang dalam diri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *