Bahasa Malaysia

Penulisan Blog Akan Menjadi Jauh Lebih Mudah Dengan Perisian-Perisian Ini

Di sini saya senaraikan semua perisian dan perkakasan yang saya gunakan untuk penulisan blog saya, dan setiap satunya amat membantu dengan cara mereka tersendiri.

Ada beberapa kenalan yang juga pengikut saya di media sosial sering bertanya, apakah perisian yang saya digunakan untuk menulis blog. Melalui artikel ini, saya akan menjawab soalan-soalan mereka ini dengan spesifik dan juga menyeluruh.

Di sini saya senaraikan semua perisian dan perkakasan yang saya gunakan untuk penulisan blog saya, dan setiap satunya amat membantu dengan cara mereka tersendiri. Sebagai seorang pemasar digital, saya amat berhati-hati dengan setiap apa yang digunakan untuk memudahkan dan mempercepatkan hasil yang ditulis.

Google Docs: Seperti yang anda tahu, saya menulis setiap minggu di Utusan Malaysia, majalah Azleen.com dan juga Marketing In Asia. Setiap artikel yang ditulis, saya menggunakan perisian Google Docs atau Google Documents sebagai menggantikan Microsoft Word. Perisian ini bagi saya lebih mudah, ringkas dan yang paling penting sekali percuma. Kemudiannya artikel-artikel untuk Utusan Malaysia yang telah siap akan ditukar formatnya kepada MS Word sebelum dihantar melalui emel ke Ketua Pengarang UtusanBiz. Bagi Azleen.com dan Marketing In Asia pula, saya akan menghantar e-mel kepada Editor masing-masing bagi proses selanjutnya.

Grammarly. Untuk penulisan blog berbahasa Inggeris, saya menggunakan perisian Grammarly agar setiap perkataan yang salah ejaannya dan ayat-ayat yang mempunyai kesalahan tatabahasa boleh dibetulkan dengan segera. Ia akan memberitahu dengan serta-merta melalui garisan merah yang tertera pada mana-mana ejaan dan tatabahasa yang salah.

Flipboard: Di Flipboard, saya dapat mengumpul dan menyimpan artikel-artikel menarik terutamanya tentang pemasaran dan penjenamaan untuk dibaca apabila saya ada masa lapang. Banyak artikel yang baik yang saya jumpa ketika menaiki LRT ataupun ketika berada di dalam mesyuarat yang membosankan contohnya, yang pada masa itu tidak sesuai untuk dibaca sepenuhnya. Jadi saya akan menyimpan setiap artikel itu di Flipboard untuk dibaca ketika di rumah ataupun di pejabat.

Portal Dewan Bahasa dan Pustaka. Ramai yang tidak tahu bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka ada mempunyai portal yang membolehkan kita menyemak ejaan dan perkataan-perkataan Bahasa Malaysia yang wujud. Tidak semestinya setiap perkataan dan ayat Bahasa Inggeris itu diterjemah bulat-bulat, tetapi ada perkataannya yang tersendiri dalam bahasa kita. Ini fungsi utama portal DBP, dan ia amat sesuai bagi menggantikan perisian Google Translate. Anda cuma perlu mencari ayat kunci Pusat Rujukan Persuratan Melayu sahaja untuk tujuan ini. Saya banyak merujuk kepada halaman ini ketika penulisan blog dalam bahasa kebangsaan.

Google Translate. Untuk perkataan yang mudah, saya biasanya akan menggunakan perisian ini terlebih dahulu. Sekiranya hasil jawapannya berkualiti, saya akan menggunakannya dalam penulisan blog saya. Tetapi jika saya kurang berpuashati dengan jawapan yang terhasil, maka saya akan terus ke halaman Dewan Bahasa dan Pustaka dan biasanya saya akan menjumpai jawapan saya di sana.

Bitly. Tidak ada cara yang lebih mudah untuk memendekkan alamat url sesuatu halaman di internet selain daripada perisian Bitly. Ia percuma dan terlalu mudah untuk digunakan. Cuma perlu ke halamannya, tekan butang Create Bitlink dan taipkan url asal yang panjang itu ke dalam kotak yang disediakan. Setelah anda menekan butang Create yang tertera, Bitly akan terus memendekkan url tadi untuk anda. Saya menggunakan Bitly setiap hari untuk digunakan ketika proses memuatnaik status terbaharu di Twitter.

Google. Untuk mencari tajuk yang sesuai dan mampu membuatkan ranking artikel yang ditulis menjadi tinggi di dalam pencarian enjin Google, saya tidak gemar menggunakan beberapa perisian yang sering digunakan oleh agensi-agensi pemasaran digital yang lain kerana faktor kos yang tidak munasabah dan hasil yang bakal diperolehi belum pasti berkesan. Jadi biasanya saya akan mencari dahulu tajuk yang bakal ditulis, kemudiannya melihat jenis-jenis tajuk yang berada di mukasurat pertama dan kedua di Google. Setelah melihat beberapa tajuk yang mempunyai ranking yang tinggi, saya akan menggunakan kombinasi perkataan atau ayat yang ada di sana untuk tajuk artikel saya. Ini lebih mudah, cepat, percuma dan hasil yang diperolehi jauh lebih berkualiti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *