Bahasa Malaysia

Tidak Semua Kaedah Berkesan Untuk Pemasaran Media Sosial

Promosi di media sosial tidak boleh dibuat dengan kaedah yang sama. Ia harus dilakukan dengan terperinci dan satu-satu. Gunakan kaedah ini, yang khusus untuk rangkaian media sosial tersebut.

KAEDAH yang paling berkesan untuk promosi produk dan perkhidmatan di media sosial memerlukan sedikit bajet mingguan atau bulanan yang harus anda disediakan. Ya betul, anda perlu mengeluarkan modal untuk membayar pengiklanan di rangkaian media sosial untuk hasil yang amat memuaskan. Terlalu mengharapkan penularan secara organik tidak akan membuahkan hasil, terutamanya apabila hampir kesemua rangkaian media sosial di dunia kini telah ‘menutup pintu’ untuk apa jua taktik dan teknik yang digunakan oleh pengguna untuk mendapatkan penularan organik.

Bajet yang harus diketepikan untuk promosi di media sosial tidak perlu banyak. Ia perlu mengikut kemampuan kita sebagai peniaga. Ia bergantung kepada kehendak kita dari segi masa dan sejauh mana promosi ini hendak dijalankan. Sekiranya kita mempunyai masa yang terhad untuk inisiatif promosi ini mendatangkan hasil, dan juga ingin merentasi kesemua negeri di Malaysia ini bagi mendapatkan pengguna berbayar untuk produk dan perkhidmatan anda, maka bajet yang perlu disediakan haruslah tinggi.

Sebaliknya jika anda menggunakan promosi media sosial bagi objektif jangka panjang, maka bajet yang disediakan tidak perlu terlalu tinggi. Tidak ramai yang sedar bahawa pemasaran di media sosial ini sama seperti larian jarak jauh yang memerlukan stamina yang konsisten dan sentiasa berlari mengikut momentum yang sama setiap masa. Ia satu inisiatif yang berterusan.

Tetapi banyak jenama kecil dan sederhana atau IKS di luar sana yang tidak mengamalkan cara ini. Mereka akan menggunakan media sosial ini apabila dirasakan perlu. Ada yang apabila keadaan semakin mendesak, baru hendak difikirkan apa promosi yang patut diadakan di media sosial. Baru mula terkapai-kapai mencari orang yang boleh membantu mereka untuk ‘bermain’ di media sosial. Baru hendak meminta diskaun yang bukan-bukan dari individu tersebut, walaupun mereka boleh berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menyiapkan produk tetapi tidak mampu untuk berbelanja untuk pemasaran produk tadi. Ini dinamakan mentaliti kelas ketiga.

Promosi di media sosial tidak boleh dibuat dengan kaedah yang sama. Ia harus dilakukan dengan terperinci dan satu-satu. Gunakan kaedah ini, yang khusus untuk rangkaian media sosial tersebut.

Facebook. Di rangkaian media sosial Facebook, sekiranya anda berniaga, anda perlu menggunakan laman perniagaan Facebook atau Facebook Page. Di sini, anda boleh membuat beberapa jenis pengiklanan berbayar mengikut tujuan tertentu. Anda boleh mempromosikan laman web anda, laman perniagaan Facebook anda, status tertentu yang anda ingin sebarkan, butang CTA atau Click-to-Action yang anda letakkan bagi menggalakkan orang memuatnaik aplikasi ataupun menghantar mesej secara terus kepada anda. Bermula dengan hanya RM3-4 sehari, anda akan melihat hasil yang terbaik dari inisiatif ini.

Twitter. Di Twitter, anda mempunyai dua cara yang berkesan iaitu sama ada menggunakan pengiklanan berbayar ataupun menggunakan individu-individu yang berpengaruh di sana yang menawarkan perkhidmatan tweet berbayar. Kedua-dua kaedah ini mampu memberikan pulangan yang terbaik sekiranya anda ingin menambah jumlah pengikut, mencari trafik untuk ke laman web, untuk mencari pelanggan berbayar, untuk menggalakan orang ramai memuatnaik aplikasi anda di Google Play atau AppStore, dan sebagainya. Bermula dengan RM30-50 sebulan untuk mana-mana kaedah tadi, anda akan mula melihat bagaimana trafik di Twitter mula datang kepada anda dari pelbagai arah.

LinkedIn. Sama seperti di Facebook, anda mesti menggunakan laman perniagaan LinkedIn atau LinkedIn Page untuk membolehkan anda membuat pengiklanan berbayar di rangkaian ini. Anda boleh memilih sama ada untuk membuat promosi status yang dimuatnaik, promosi yang diletakkan di ruangan iklan ataupun promosi yang dihantar terus ke InMail para pengguna yang anda sasarkan. Yang termurah ialah dengan mempromosikan status yang dimuatnaik dan yang termahal pula ialah dengan menghantar terus ke InMail. Di antara kesemua rangkaian media sosial yang wujud, LinkedIn mempunyai kadar conversion (mendapatkan pelanggan berbayar) yang tertinggi berbanding Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

Instagram. Rangkaian ini dimiliki oleh Facebook, jadi anda juga boleh menggunakan platform Facebook untuk melancarkan iklan berbayar anda di Instagram. Sekiranya anda tidak selesa, anda juga boleh menggunakan Instagram secara langsung bagi tujuan ini. Cuma anda perlu menukarkan profil akaun anda kepada profil perniagaan terlebih dahulu. Jangan lupa menggunakan hashtag dan tag lokasi disamping kempen berbayar yang dijalankan. Ia cukup membantu menarik trafik ke Instagram anda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *