Bahasa Malaysia

Strategi Pemasaran Anda Akan Melonjak Sekiranya Kandungan Yang Dibina Menyediakan Pengalaman Bermakna

Kandungan yang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada sesiapa sahaja yang melihatnya, dan memastikan mereka betul-betul menikmatinya, pasti akan berjaya memperolehi pelanggan berbayar dengan mudah.

TIDAK kira sama ada anda gemar menulis, merakam video ataupun merekabentuk grafik, kandungan yang dibina bagi tujuan pemasaran produk atau perkhidmatan anda itu amat penting bagi menarik bakal pembeli. Anda boleh lihat di mana-mana sahaja lambakan status-status di media sosial kegemaran anda bagaimana banyaknya kandungan sebegini dibina oleh para pengguna aktif rangkaian tersebut. Tidak kira sama ada anda lebih gemar kepada pemasaran digital, media sosial mahupun tradisional, ia amat penting.

Mengapa kandungan yang dibina itu penting? Tiga sebab utama mengapa ia terlalu penting.

Pertama, ia mampu membuatkan para pengguna di mana-mana media sosial untuk berhenti dari scrolling dan melihat apa yang anda muatnaik buat beberapa saat. Melalui pemasaran tradisional pula, contohnya papan tanda di tepi jalan, ia mampu membuatkan sesiapa yang melihatnya untuk berfikir sejenak tentang paparan kandungan tadi. Kedua, ia juga boleh memastikan sesiapa yang melihat dan berfikir tentangnya, akan terus menikmati kandungan tersebut sehingga habis. Dan ketiga. Sekiranya mereka suka dengan apa yang dinikmati sebentar tadi, berkemungkinan besar mereka akan menjadi pelanggan berbayar kepada jenama yang memiliki kandungan tadi.

Proses ini nampak mudah, kerana ia memang mudah. Sebagai pengguna, kita akan tertarik kepada kandungan seperti video, artikel, poster, infografik atau apa sahaja maklumat yang dilihat yang bakal memberikan faedah berguna. Kita akan tertarik kepada artikel yang mampu membuatkan kita berasa tenang, video yang membuatkan kita tertawa, infografik yang mampu mengajar kita tentang sesuatu dan juga poster yang membuatkan kita berasa bangga sekiranya ia ditampal di dinding bilik.

Kandungan yang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada sesiapa sahaja yang melihatnya, dan memastikan mereka betul-betul menikmatinya, pasti akan berjaya memperolehi pelanggan berbayar dengan mudah.

Namun begitu, untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna tidak semudah yang difikirkan. Ia memerlukan sedikit sentuhan kreativiti anda yang lebih mendalam. Faktor-faktor ini mungkin dapat membantu anda melahirkan kandungan-kandungan yang berimpak tinggi dan kreatif.

Letakkan diri anda sebagai para pengguna. Mana-mana kandungan yang anda lihat begitu kreatif dan menarik sekali, semuanya dilakukan dengan meletakkan diri mereka di tempat para pengguna. Semuanya bermula di sini. Tanpa perspektif dari pengguna, kandungan yang dibuat akan menjadi bosan dan tidak akan menyengat kerana ia akan ‘bercakap’ tentang diri sendiri sahaja. Sesiapa yang melihat kandungan yang ‘syok sendiri’ akan terus melangkau ke tempat lain.

Tajuk yang mencengkam jiwa. Kita sering berjumpa dengan artikel-artikel atau video yang mempunyai tajuk yang tak boleh blah. Tajuk yang ditulis walaupun agak poyo atau jengkel tetapi ia seolah-olah memaksa kita untuk klik, dan melihat apa yang ditulis di dalam atau apa yang video itu akan menceritakan. Dalam Bahasa Inggeris, ia dinamakan sebagai Click Bait, iaitu umpan untuk anda klik. Dengan mempunyai kombinasi perkataan-perkataan yang sesuai, anda boleh mencipta ayat-ayat menarik yang boleh dijadikan umpan untuk orang klik.

Perenggan pertama yang menarik. Tajuk boleh memaksa orang untuk berhenti scrolling dan masuk ke dalam untuk membaca artikel atau melihat video yang anda paparkan, tetapi perenggan pertama yang tertulis di bawah tajuk tadi bakal membuatkan orang terus membaca artikel tadi sehingga perenggan seterusnya ataupun melihat video itu untuk beberapa saat lagi. Sekali lagi, kombinasi ayat anda perlu ditulis dengan sinis, bersahaja yang mengusik emosi tetapi masih mempunyai isi yang boleh mereka pelajari.

Perenggan kedua dan isi kandungan yang dahsyat. Bukan senang untuk menarik para pengunjung yang telah datang untuk terus membaca sehingga habis ataupun melihat video yang berdurasi 2 minit anda sehingga habis. Setiap apa yang anda tulis, setiap apa yang anda rekodkan di video dan setiap apa yang anda lukis atau rekabentuk infografik tadi, haruslah mempunyai isi yang berguna yang mempunyai unsur-unsur emosi dan boleh dipelajari. Tanpa isi kandungan yang berkualiti tinggi, tidak mungkin mereka akan berada lama di kandungan tadi. Sekiranya mereka tidak berada lama sehingga habis, maka mereka tidak akan menjadi potensi pelanggan anda. Di sini titik tolak dimana mereka akan menikmati kandungan yang dibuat ataupun tidak.

Petikan kata-kata atau quote yang pendek dan jelas. Bagi pembuatan poster pula, kata-kata yang ada di dalamnya perlu ditulis dengan seberapa pendek yang boleh, tetapi jelas, masuk akal dan sekali lagi mengusik emosi. Kombinasi tulisan dengan gambar yang ada pada poster tadi mampu membuatkan orang berfikir, ketawa, sedih, gembira, marah atau kecewa dengan diri mereka sendiri.

Pemilihan gambar yang beresolusi tinggi. Tiada kompromi tentang penggunaan visual. Ia perlu dipilih dengan berhati-hati. Tidak kira sama ada ia digunakan untuk artikel, video dan poster, ia perlu mempunyai resolusi yang tinggi. Bukan itu sahaja, ia juga perlu disesuaikan dengan artikel, poster atau video yang dibuat agar orang nampak kesinambungannya. Tanpa visual yang kuat, orang tidak akan menoleh langsung kepada kandungan anda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *