Bahasa Malaysia

Bagaimana Anda Boleh Memulakan Perniagaan Di Internet Tanpa Modal Yang Besar

Ini apa yang saya lakukan yang mungkin anda boleh tiru konsepnya untuk disesuaikan dengan idea perniagaan dan pemasaran anda.

MODAL yang anda benar-benar perlu keluarkan ha­nyalah idea yang amat kreatif, model perniagaan yang mudah dan kukuh, komputer riba dan Internet. Itu sahaja

Macam tidak masuk akal pula ayat di atas. Ya, memang agak pelik tetapi ia benar kerana saya sendiri telah mencubanya pada tahun 2016 yang lalu. Ketika itu, pada bulan Mac, saya memulakan satu eksperimen kecil yang dinamakan Conper, iaitu singkatan kepada Content Developer. Ia dilakukan setelah beberapa bulan saya berasa agak bosan berada di rumah sahaja tanpa melakukan apa-apa selain daripada menaikkan berat badan. Terdahulu dari itu, pada bulan November 2015 sebelumnya, saya baru selesai melepaskan pegangan saya di dalam satu syarikat kepada pelabur dari Jepun.

Menganggur bukan perkara main-main. Ia merbahaya kerana boleh mendatangkan kemurungan akibat terlalu bosan. Jadi saya mulakan eksperimen Conper itu tadi di laman perniagaan Facebook atau Facebook Page.

Sebenarnya saya ingin membuat beberapa ujian di media sosial untuk sekadar ingin tahu dan melihat bagaimana pengaruh dan impak yang diwujudkan oleh kandungan yang baik dalam sesuatu kempen, itu sahaja. Saya cuma membuat sedikit rekabentuk grafik yang mudah tetapi kreatif untuk gambar banner dan logo, dan terus memulakan kempen saya di sana. Dalam masa tidak sampai seminggu selepas itu, tanpa sedar ia telah melangkah begitu jauh. Saya agak terkejut kerana tidak pula menjangkakan hasil yang sepatutnya berkisar tentang rasa ingin tahu tentang tindakbalas para pengguna media sosial kini telah merebak menjadi hasil kepada perniagaan yang boleh dibina tanpa modal.

Ini apa yang saya lakukan yang mungkin anda boleh tiru konsepnya untuk disesuaikan dengan idea perniagaan dan pemasaran anda.

Jenama yang hanya wujud di media sosial. Mungkin buat masa ini saya hanya fokus kepada satu media sosial, iaitu Facebook. Terdapat banyak saluran di media sosial seperti Facebook, LinkedIn, Twitter, Instagram dan sebagai­nya namun, saya telah memilih Facebook ketika itu kerana saiz komuniti yang ada di dalamnya. Ia merupakan yang terbesar di dunia, mempunyai 1.2 bilion pengguna aktif dalam satu-satu masa pada tahun 2016. Lagipun saya tidak mahu membuang masa dengan pelbagai strategi pemasaran apabila terlalu banyak saluran untuk difikirkan. Modal untuk membuka akaun perniagaan dan menjalankan aktiviti di Facebook, RM0 atau percuma.

Pendaftaran secara sah. Walaupun ia hanyalah satu eksperimen, tetapi anda harus ingat yang ini tetap satu perniagaan. Oleh itu, ia haruslah didaftarkan secara sah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Pihak kerajaan sebelum ini telah menetapkan setiap perniagaan dalam talian mesti didaftarkan secara sah di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ia bertujuan memudahkan orang ramai dan pihak kerajaan untuk mencari punca masalah dan penyelesaian terbaik sekiranya wujud perkara yang tidak diingini. Jadi, memandangkan saya mempunyai satu syarikat induk yang berdaftar, saya menggunakan nama NSE di belakang Conper untuk setiap aktiviti dan transaksi komersil. Modal menggunakan nama syarikat lain sekiranya anda tiada syarikat berdaftar yang sah, RM0. Tetapi di sini anda mungkin perlu berkongsi beberapa bahagian keuntungan yang dibuat dengan syarikat tersebut.

Idea yang kreatif. Saya memulakan Conper selepas hampir dua bulan memerhatikan aktiviti-aktiviti media sosial oleh industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia dan ASEAN. Saya melihat mereka agak ke­tinggalan jauh dari aspek pembuatan kan­dungan yang berimpak tinggi, yang diletakkan di laman media sosial mereka. Kebanyakannya membosankan dan tidak menarik langsung. Gambar, gambar dan gambar, itu sahaja. Mereka tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai kandungan media sosial jauh lebih ‘dahsyat’ yang memilih untuk meletakkan video, GIF, artikel dan juga animasi bagi menjual produk mereka.

Selepas dua bulan memulakan Conper, saya mula mendapat pertanyaan yang serius dari para peniaga kecil dan sederhana dan seterusnya berpeluang menyediakan kan­dungan-kandungan media sosial pada kadar yang mereka mampu. Idea yang kreatif di sini bermaksud anda mampu mengisi kekosongan yang wujud dalam mana-mana industri yang anda fikir, ada permintaan untuk produk atau perkhidmatan anda. Tidak ramai pesaing yang wujud dalam industri yang anda ingin ceburi itu. Modal untuk idea yang kreatif, RM0. Tetapi anda perlu banyak membaca dan memerhati persekitaran perniagaan sekeliling.

Model perniagaan yang kukuh. Conper hanyalah satu jenama yang menyediakan kandungan di media sosial dan laman web. Model perniagaan yang saya gunakan untuk ini ialah ia bersifat secara dalam talian atau internet dan menggunakan kepakaran dalaman tanpa bantuan orang luar. Saya juga membantu mereka dengan membuat penjenamaan perniagaan yang dilihat bersifat global walaupun mereka hanya berada di Malaysia. Ini kerana kualiti produk yang dibuat oleh IKS di negara ini memang berkualiti tinggi cuma tahap pemasaran mereka sahaja yang agak lemah kerana kurangnya bajet. Saya membantu mereka menyediakan hasil kreatif dari aspek rekabentuk grafik dan penulisan yang bertaraf antarabangsa untuk mereka, hanya dengan sedikit bayaran yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Ciri yang bersifat antarabangsa ini penting kerana jika saya melihat orang yang akan lebih suka membeli sesuatu produk itu sekiranya ia dibuat di luar negara kerana secara dasarnya mereka menganggap ia berkualiti tinggi. Orang Malaysia biasanya suka berfikiran, aku ingin membeli produk yang berkualiti tinggi, tetapi mempunyai harga murah daripada syarikat yang boleh dipercayai. Ini kriteria setiap bakal pembeli di Malaysia kalau anda ingin tahulah. Sekiranya sesuatu jenama itu mampu memberikan ketiga-tiga ini, penjualan pasti akan terjadi dengan mudah. Conper mempunyai ketiga-tiga elemen tadi, jadi kepercayaan orang mudah didapati dan seterusnya penjualan kandungan-kandungan yang dibuat juga mudah. Model perniagaan yang kukuh, RM0.

Komputer riba dan Internet. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan kebanyakannya menggunakan komputer riba yang sedia ada, yang fleksibel untuk dibawa ke mana sahaja. Ketika itu saya idak memerlukan pejabat fizikal, cukup sekadar alamat pejabat virtual sahaja dan akhir sekali akses Internet yang laju. Sekarang, di kedai mamak pun ada akses wifi percuma yang laju. Jadi, modal yang diperlukan, RM2 untuk anda minum teh o ais di kedai mamak yang anda lepak itu sambil buat kerja.

Oleh kerana operasi menjadi agak besar setelah beberapa bulan selepas itu, saya kemudiannya tidak lagi menggunakan nama Conper. Para pelanggan korporat agak sukar untuk berurusniaga kerana mereka agak keliru kerana nama Conper tidak boleh digunakan di dalam dokumen-dokumen rasmi seperti sebutharga, invois dan resit. Hanya nama NSE sahaja yang boleh digunakan. Kemudiannya nama Conper dimatikan perlahan-lahan dan Ia telah diambilalih sepenuhnya oleh syarikat induk iaitu NSE kerana NSE merupakan syarikat yang sah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak 2011 lagi.

Ini menunjukkan anda juga boleh memulakan perniagaan tanpa modal yang besar tetapi mampu menjadi perniagaan yang besar suatu hari nanti. Anda cuma memerlukan elemen-elemen diatas bagi menjayakan idea perniagaan anda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *