Bahasa Malaysia

Cara Terbaik Untuk Strategi Penjenamaan Semula

Sebagai seorang penulis blog tentang pemasaran digital, saya tidak dapat lari daripada membuat pemerhatian ini. Saya ingin menjawab persoalan - apa yang hebat sangat tentang penjenamaan baharu ini?

Dale Carnegie kini tidak lagi mengharapkan pengalaman 106 tahun mereka dalam bidang latihan kepimpinan atau leadership training untuk mengukuhkan jenama mereka. Dua minggu lalu, Dale Carnegie Malaysia telah melancarkan visual dan penjenamaan baharu mereka kepada pasaran tempatan. Ia dilancarkan di sini sejajar dengan penjenamaan digital mereka yang dilakukan di Amerika Syarikat setahun yang lalu.

Saya dijemput menghadiri majlis ringkas yang dilakukan di pejabat Dale Carnegie Malaysia, dan secara diam-diam membuat beberapa pemerhatian penting tentang penjenamaan baharu mereka. Sebagai seorang penulis blog tentang pemasaran digital, saya tidak dapat lari daripada membuat pemerhatian ini. Saya ingin menjawab persoalan – apa yang hebat sangat tentang penjenamaan baharu ini?

Setelah berada di sana selama 2 jam, ternyata saya melihat elemen-elemen penjenamaan semula yang diwujudkan amat unik dan berimpak tinggi. Dari penjenamaan Dale Carnegie, ini apa yang kita boleh pelajari darinya:

Logo yang lebih mudah, jelas, menarik dan segar. Terus terang saya katakan yang logo terbaharu Dale Carnegie jauh lebih menarik berbanding versi yang sebelumnya. Sekali pandang, ia kelihatan seolah-olah seperti seekor rama-rama. Penggunaan huruf D dan C dilakukan dengan begitu baik sekali. Sebagai orang biasa, saya melihat logo ini sangat mudah diingati, jelas kelihatan D dan C  bermaksud Dale Carnegie, rekabentuknya yang menarik dan sangat jauh berbeza dengan logo terdahulu yang agak berusia.

Garis panduan rekabentuk grafik. Penjenamaan semula seolah-olah satu penjenamaan yang baharu. Jadi, rekabentuk grafik harus konsisten dan sama tidak kira apa jua bentuk bahan pemasaran yang ada. Dale Carnegie memperkenalkan elemen grafik yang jauh lebih ringkas, mudah tetapi menarik. Bahan-bahan pemasaran yang ada berunsur hitam dan putih serta satu lagi warna yang dimasukkan untuk mengajak pembaca untuk lebih fokus kepada mesej yang hendak disampaikan melalui bahan pemasaran tadi.

Tidak hanya pada penjenamaan semata-mata, tetapi kualiti perkhidmatan juga. Penjenamaan yang baik tidak akan lengkap sekiranya tidak mempunyai produk atau perkhidmatan yang baik. Mempunyai artikel yang menarik, poster yang hebat, infografik yang cantik, video yang memukau sahaja tidak mencukupi. Para pelanggan pasti akan datang setelah melihat apa jua kandungan yang anda paparkan di setiap saluran pemasaran yang ada. Tetapi selepas mereka datang, adakah produk atau perkhidmatan anda sama atau melebihi apa yang bakal pelanggan anda tadi harapkan? Jadi, produk dan perkhidmatan yang berkualiti juga sama penting untuk meletakkan jenama anda pada tahap yang tinggi. Dale Carnegie, melalui pelancaran mereka tempoh hari memberikan penekanan tinggi terhadap penyediaan perkhidmatan yang jauh berkualiti tinggi, beberapa perkhidmatan dalam talian dan sebagainya berbanding terdahulu.

Kandungan yang lebih bersifat personal untuk pasaran tempatan. Tidak semua negara yang gemar atau fasih berbahasa Inggeris. Di negara-negara Asia, Jepun dan Indonesia merupakan negara yang amat berbangga dengan bahasa ibunda mereka. Malaysia pula pada pendapat saya berada di tengah-tengah. Kita amat berbangga dengan bahasa kebangsaan kita dan pada masa yang sama juga mementingkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang diperlukan dalam dunia profesional. Saya amat teruja dengan Dale Carnegie Malaysia apabila mereka mengumumkan tentang inisiatif untuk kandungan-kandungan latihan yang dilakukan dalam Bahasa Malaysia. Walaupun mereka mempunyai kandungan-kandungan yang banyak dalam Bahasa Inggeris, tetapi pengumuman tadi menunjukkan yang mereka amat serius dengan penjenamaan mereka kali ini. Bagi saya, ini sesuatu yang menarik kerana ia dibuat khusus kepada para pelanggan yang lebih menggunakan bahasa kebangsaan dalam perlaksanaan tugas seharian. Dengan berbekalkan latihan-latihan dalam bahasa kebangsaan, ini mampu menggalakkan pemahaman yang lebih baik daripada para peserta yang tidak biasa berbahasa Inggeris.

Terdapat juga beberapa inisiatif lain yang agak standard, tetapi empat elemen di atas nampak amat penting. Walaupun keempat-empat tadi nampak mudah, tetapi perlaksanaan setiap satu tidak semudah yang disangka.

Sekiranya anda tidak mengenai siapa Dale Carnegie, beliau merupakan ikon kepimpinan terkenal dunia, penulis buku yang menjadi inspirasi dunia iaitu How To WIn Friends And Influence People. Di antara para ‘pelajar’ yang menjadi graduan dari latihan Dale Carnegie termasuklah individu ketiga terkaya di dunia Warren Buffet, pelakon lagenda Chuck Norris dan juga Danica Patrick pelumba kereta lumba Indy wanita.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *