Bahasa Malaysia

Bukti Kegagalan: Ulasan Buku Rejection Proof Oleh Jia Jiang

Jia Jiang merupakan penulis buku Rejection Proof yang dikarang pada tahun 2015 ketika beliau berada di kemuncak kekecewaan akibat penolakan demi penolakan dan hampir berputus asa sebagai usahawan. TED Talk beliau mengenai penolakan ialah salah satu daripada 5 Video Paling Kerap Ditonton pada tahun 2017.

Pernahkah anda berasa begini: Rasa ingin mencuba dengan lebih baik setelah gagal dalam ujian. Rasa ingin bersembunyi di bawah meja apabila pensyarah mengatakan ‘tidak’ untuk menyemak semula kertas ujian anda. Mengapa penerimaan kita terhadap dua situasi ini berbeza? Sedangkan tujuan keduanya adalah sama, iaitu untuk lulus ujian.

Pelikkan, kita lebih terkesan dengan penolakan berbanding kegagalan?

Kegagalan didefinisikan sebagai tidak berjaya, tidak memenuhi kriteria yang diperlukan atau tidak mencapai KPI. Penolakan pula digambarkan sebagai disisih, tanpa mengambil kira sama ada kriteria atau KPI telah dipenuhi. Dalam rencana kegagalan, bekerja dengan lebih baik boleh mengubah status gagal kepada berjaya. Bagaimana pula dengan penolakan? Apakah yang kita perlu lakukan untuk mengubah status ‘Ditolak’? Adakah kita perlu mengelak penolakan supaya kita tidak ‘disakiti’?

Menurut Jia Jiang, sekiranya anda berasa ‘sakit’ apabila menghadapi penolakan, perasaan sakit itu memang wujud secara biologi dalam manusia. Manusia sememangnya mendambakan penerimaan oleh kaumnya sendiri, sekiranya tidak diterima akan terasa seperti sebuah tamparan yang hebat (walaupun yang sebenarnya memang darah anda naik ke kepala sebagai respon kepada stres). Dalam usaha Jia Jiang untuk memahami penolakan, beliau melakukan eksperimen penolakan selama 100 hari untuk melalikan rasa ‘sakit’ akibat penolakan. Beliau mendapati bahawa dengan membiasakan dirinya dengan penolakan, beliau boleh melihat lebih jauh daripada sekadar mendapatkan ‘ya’ atau ‘tidak’. Beliau mendapati bahawa perasaan takut pada penolakan yang melumpuhkan tindakan seseorang – sekiranya perasaan takut itu digantikan dengan semangat yang kuat, banyak peluang yang baik akan muncul.

Oleh sebab perasaan takut pada penolakan mencetuskan respon ‘lari atau lawan’, Jia Jiang melakukan eksperimen penolakan yang menggunakan unsur lawak jenaka agar hormon bahagia, endorfin, turut dibebaskan dalam badan. Malangnya beliau mendapati bahawa, walaupun kesan penolakan boleh dikurangkan oleh lawak jenaka, ia masih tidak dapat mengurangkan perasaan bimbang dan khuatir kerana ternanti-nantikan penolakan yang mungkin berlaku. Perasaan takut pada penolakan sering dibesar-besarkan oleh andaian kita sendiri, ditambah pula dengan imaginasi kita yang bukan-bukan dan jangkaan tinggi terhadap perkara yang terburuk. Jia Jiang menyarankan supaya anda tetap meneruskan hasrat anda tetapi meletak tepi hasil daripada permintaan itu kerana anda perlu fokus kepada perkara-perkara yang boleh anda kawal seperti usaha-usaha untuk ‘mencantikkan’ permintaan anda.

Setelah anda meletak tepi jangkaan sama ada permintaan anda menghasilkan ‘ya’ atau ‘tidak’, anda meletakkan diri anda sebagai sama tara dengan pelanggan anda. Maka permintaan yang ingin anda tujukan lebih berbaur perbincangan berbanding tawaran. Melalui ‘perbincangan’, lebih mudah untuk anda bertanya sekiranya permintaan anda ditolak. Ini membolehkan anda memahami perspektif pelanggan dan anda boleh memperbaiki permintaan anda untuk memperoleh respon yang positif daripada pelanggan. Cara anda meniti arus perbincangan mempunyai kesan yang besar kerana pelanggan boleh memberi sebab beliau tidak dapat menerima permintaan anda pada masa ini, memberikan tips untuk memperbaiki permintaan anda dan pelanggan dapat melihat kekuatan peribadi anda yang tidak marah atau kecewa setelah permintaan anda ditolak.

Cara komunikasi memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan ‘ya’ kerana anda perlu mewujudkan saluran yang terbuka untuk anda berundur sejenak untuk menilai semula permintaan anda dan kemudian gunakan pendekatan baharu. Selain itu, anda berpeluang menjawab apa-apa keraguan daripada pihak pelanggan. Bayangkanlah sekiranya anda terus pecut dan pergi setelah menerima penolakan dek tidak mahu menanggung malu, anda telah kehilangan maklum balas yang berharga daripada calon pelanggan. Usah gentar kerana anda akan tersedar bahawa penolakan itu ialah lumrah pendapat seseorang. Sama seperti peribahasa, “Rambut sama hitam, hati lain-lain” setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan akan ada yang mempunyai pendapat yang sama seperti anda. Menurut Jia Jiang, beliau mendapati terdapat had pada penolakan. Sekiranya anda meminta kepada sejumlah orang, anda pasti akan mendapat respon ‘ya’.

Permintaan yang sama, apabila ditujukan kepada orang yang berbeza, dalam persekitaran yang berbeza dan situasi yang berbeza akan mendapat hasil yang berbeza dan mungkin akan mendapatkan jawapan ‘ya’ yang anda mahukan. Perbalahan dengan pelanggan perlu dielakkan, sebaliknya bekerjasamalah dengan pelanggan untuk menjadikan permintaan anda suatu kenyataan. Suatu lagi perkara yang digariskan oleh Jia Jiang ialah perspektif anda terhadap penolakan. Penolakan adalah suatu keadaan yang bergantung pada penerimaan anda, sama ada penolakan itu suatu ‘kesakitan’ atau pun ‘pertolongan’, bergantung pada perspektif sendiri. Meletak tepi perasaan anda terhadap hasil daripada permintaan membolehkan anda untuk berfikir secara bebas, kreatif dan berani untuk mencuba pendekatan lain untuk mengubah permintaan anda ke status ‘Diterima’.

Jia Jiang memetik suatu ungkapan daripada buku yang ditulis oleh seorang jururawat dari Australia bernama Bronnie Ware, buku yang bertajuk “The Top Five Regrets of the Dying” menyatakan kesalan yang paling utama para pesakit ialah: “Saya menyesal tidak menjalani kehidupan yang saya impikan kerana saya telah menjalani kehidupan seperti yang diharapkan oleh orang lain ke atas saya.” Semangat untuk menjalani kehidupan yang bertentangan dengan harapan orang lain selalunya menemui banyak penolakan dan kesusahan. Namun, penolakan dan kesusahan itulah yang membentuk jati diri dalam membina hidup yang puas dan paling bermakna. Bayangkanlah kebebasan dan kebahagiaan yang boleh dikecapi sekiranya anda tidak menjadikan penolakan sebagai penghalang untuk menghidupkan potensi sebenar diri anda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *