Bahasa Malaysia

Pemasaran Di Media Sosial: Bagaimana Untuk Memilih Rangkaian Yang Sesuai?

Media sosial berada di tahap Kesedaran atau Awareness. Ia berada bersama-sama dengan permainan pemasaran melalui e-mel dan juga pengoptimuman enjin pencarian atau SEO.

ANDA jangan keliru. Pemasaran di media sosial sebenarnya tidak begitu susah sebenarnya. Apabila kita bercakap tentang topik pemasaran, perkara yang paling sukar sekali ialah penjenamaan dan ia diikuti dengan pembuatan kandungan seperti video, penulisan artikel, infografik, poster, logo dan sebagainya yang menepati dan menyokong penjenamaan yang dibuat tadi. Kedua-dua ini elemen yang paling lama dan paling ketara sekali susahnya.

Media sosial berada di tahap Kesedaran atau Awareness. Ia berada bersama-sama dengan permainan pemasaran melalui e-mel dan juga pengoptimuman enjin pencarian atau SEO. Ketiga-tiga ini sama penting untuk memberitahu para pengguna tentang kewujudan jenama anda. Tidak seperti SEO yang membuatkan orang asing yang tidak pernah mengenali jenama kita, menjumpai kita di laman enjin pencarian seperti Google, Yahoo dan Bing, media sosial pula lebih kepada menyebarkan maklumat dari kita sendiri kepada orang yang kita kenal disekeliling, kemudian kepada rakan-rakan mereka dan seterusnya kepada rakan-rakan mereka yang lain. Di media sosial anda membina para pengikut dari aspek ini.

Dengan berbekalkan logo untuk dimuatnaik di ruangan gambar profil pada laman perniagaan rangkaian media sosial, latar belakang jenama anda yang dimasukkan dan juga poster untuk imej banner yang di atas sekali, laman perniagaan anda amat mudah untuk disediakan. Namun anda perlu ingat, ia mungkin nampak mudah tetapi adakah ia berimpak tinggi? Maksud berimpak tinggi di sini ialah kekuatan profil laman perniagaan media sosial anda untuk memastikan pengunjung akan menjumpai anda dan berhenti sejenak di sini untuk melihat apa yang anda tawarkan.

Penulisan copywriting yang terkesan yang menyentuh emosi atau membuatkan orang berfikir, rekabentuk grafik yang kreatif dan logo yang menarik, mudah diingati dan unik sememangnya memainkan peranan penting untuk menarik sesiapa sahaja yang terjumpa laman perniagaan media sosial anda untuk berhenti dan masuk ke dalam.

Siapakah para pengunjung yang akan datang, dan apakah latar belakang mereka? Soalan ini anda sahaja yang boleh menjawabnya. Beberapa faktor yang menjadi bakal penentu. Ini diantaranya. Ia bergantung kepada sifat perniagaan anda itu sendiri, jenis produk atau perkhidmatan yang anda jual, kriteria pelanggan berbayar yang bagaimana yang menggunakan produk atau perkhidmatan yang ada, generasi mereka, adakah bakal pelanggan anda jenis individu ataupun syarikat dan sebagainya.

Ada juga jenama yang tidak memberikan keutamaan kepada pencarian pelanggan untuk produk atau perkhidmatan mereka, tetapi lebih mengutamakan kepada pencarian pelabur, wakil jualan di negara-negara luar, rakan niaga dan lain-lain.

Setelah kesemua ini anda rekodkan, kini permainan media sosial anda akan bermula. Terdapat beberapa jenis platform yang ada, dari Facebook, LinkedIn, Twitter, Instagram, YouTube, Snapchat, Pinterest dan lain-lain lagi. Senarai yang ada ini adalah platform yang utama, yang mempunyai jumlah pengikut yang tertinggi di dunia. Selain media sosial, ada jenama yang menggunakan instant messaging seperti WhatsApp, Telegram dan WeChat untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. Saya tidak mengesyorkan kaedah ini kerana ia terlalu bersifat provocative sehingga menganggu privasi orang lain. Pemasaran jenis ini biasanya digunakan oleh jenama-jenama kecil yang kelihatan agak terdesak untuk mendapatkan para pelanggan.

Sebelum anda memilih platform media sosial yang bersesuaian, lihat dahulu kapasiti anda sebagai sebuah jenama. Adakah anda mempunyai staf atau pasukan yang khusus untuk menjaga semua aktiviti media sosial, adakah anda mempunyai peruntukan kewangan yang besar untuk kesemua media sosial yang digunakan dan yang paling utama sekali adakah anda mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang cukup untuk setiap rangkaian media sosial yang anda pilih nanti?

Soalan-soalan tadi nampak senang, tetapi jawapannya belum tentu senang. Sekiranya anda sebuah jenama yang kecil atau sederhana, tidak salah untuk bermula dengan satu atau dua platform media sosial dahulu. Belajar dari kesilapan yang akan dibuat, dari pengalaman mengendalikannya dan juga dari kemenangan kecil yang diperolehi darinya. Kemudian baharu anda pertimbangkan untuk ke platform yang lain.

Jadi, rangkaian media sosial yang mana satu yang sesuai untuk anda?

Facebook. Anda boleh menggunakan Facebook sekiranya para pelanggan yang dicari merupakan orang perseorangan atau individu. Produk dan perkhidmatan seperti restoran, alat ganti kenderaan seperti kereta dan motosikal, jualan kenderaan, skaf dan tudung, alat kecantikan, khidmat latihan tertentu, makanan, tempat percutian, penganjuran acara atau majlis terbuka, agensi mencari jodoh, insurans dan unit amanah, dan yang sewaktu dengannya amat sesuai di platform ini. Para pengguna aktif Facebook kini mencecah lebih 2 billion orang dalam satu-satu masa, jadi sekiranya perniagaan anda mempunyai kriteria-kriteria di atas tetapi tidak berada di Facebook, anda akan rugi.

LinkedIn. Para pengguna LinkedIn hampir kesemuanya adalah dari golongan profesional. Tidak semua yang anda temui di Facebook boleh dikongsi disini. Terdapat ketua pegawai eksekutif, pengurus besar, ketua-ketua jabatan, usahawan terkenal, ahli-ahli korporat, menteri dan para profesional lain, semuanya aktif di LinkedIn. Biasanya status-status yang dikongsi mempunyai elemen-elemen yang berat, ke arah karier, topik dan isu yang lebih bersifat korporat, perbincangan ilmiah dan sedikit elemen politk. Sekiranya anda ingin mencari pelanggan korporat, pelabur, rakan niaga atau yang sewaktu dengan objektif sebegini, LinkedIn adalah tempat yang sesuai.

Twitter. Sasaran pengguna di sini ialah golongan muda yang gemar membaca tajuk berita sahaja tetapi boleh mengetahui kesemuanya dari tajuk tadi. Twitter kini membenarkan penggunaan huruf sehingga 280, jadi mesej yang anda perlu sampaikan perlu ringkas dan tepat.

Instagram dan Pinterest. Biasanya para pengguna Instagram dan Pinterest ialah individu-individu yang muda, yang gemar kepada visual yang baik. Mereka suka melihat gambar, poster dan video yang berkualiti berbanding tulisan. Jadi, sekiranya jenama anda lebih tertumpu kepada gambar, video, poster dan GIF, maka kedua-dua platform ini adalah sesuai untuk anda dapatkan pelanggan berbayar untuk produk dan perkhidmatan yang anda ada.

YouTube. Platform yang dimiliki Google ini fokus kepada pengguna yang meminati video. Biasanya golongan-golongan ini terdiri daripada Generasi X, Y dan Z. Mereka gemar mencari sesuatu video yang kelakar sebagai hiburan, menonton video-video pendek untuk kanak-kanak, mencari teknik tertentu untuk sesuatu permainan video, mencari ulasan atau review sesuatu produk, menonton filem dan pelbagai lagi. Adakah para pelanggan anda terdiri dari mereka ini? Jika ya, maka anda perlu mempunyai kapasiti untuk memuatnaik video-video untuk produk dan perhidmatan anda dengan konsisten.

Secara ringkasnya, rangkaian-rangkaian media sosial ini menawarkan latar belakang pengguna yang amat berbeza di antara satu sama lain. Jadi, pilih yang paling sesuai dengan jenama anda dan mulakan dari situ.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *