Bahasa Malaysia

Tanpa Kategori Ini Dalam Struktur Resume Anda, Peluang Mendapat Pekerjaan Amat Tipis.

Ramai yang tidak mempunyai kategori ini dalam resume mereka, jadi peluang untuk anda mendapat pekerjaan idaman anda selepas ini adalah cerah.

Dalam perjalanan getir anda mencari pekerjaan yang halal demi kelangsungan hidup sama ada untuk diri sendiri ataupun keluarga, perkara yang paling asas sekali yang anda perlu lakukan ialah menjadi seorang yang bijak dan tidak mengikut cara orang lain yang semberono atau membuta-tuli sahaja keluar menagih pekerjaan. Peratusan untuk mendapat pekerjaan cara sebegini amat tipis. Hanya penat sahaja yang menanti. Kalau tak percaya, lihatlah anda sekarang. Itu hasilnya.

Anda pernah menonton filem trilogi Ocean Eleven, Ocean Twelve atau Ocean Thirteen? Sekiranya belum, anda memang agak terlalu lama berada di dalam gua rasanya. Sudah tiba masanya untuk anda keluar dan menikmati udara luar dan kemajuan yang telah dikecapi dunia. Sila tonton dahulu salah satu atau ketiga-tiga filem ini. Anda pasti akan belajar lima perkara penting yang boleh anda tiru untuk kehidupan seharian anda, termasuklah dalam aspek mencari pekerjaan.

Lima pengajaran penting yang anda boleh belajar dari Daniel Ocean dan Rusty selaku ketua kepada kumpulan mereka ialah pertama, anda perlu bertenang dalam semua keadaan. Apabila fikiran dalam keadaan tenang, anda boleh berfikir dengan kreatif bagaimana cara terbaik untuk mencari pekerjaan idaman anda. Kedua, merancang dengan terperinci terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan. Bina strategi yang kuat dahulu dan bukannya terus melaksanakan sesuatu tanpa strategi. Ketiga, kenali musuh anda dengan amat baik. Lakukan sedikit kerjarumah tentang syarikat-syarikat yang anda ingin bekerja itu. Kenali siapa di dalamnya dan bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat. Keempat, bertindak apabila sampai masa yang sesuai. Dan kelima, untuk berjaya anda perlu mempunyai satu pasukan dan tidak boleh bertindak sendirian. Mendapatkan pekerjaan juga satu pekerjaan. Jadi anda perlu mempunyai kabel atau orang dalam di syarikat berkenaan untuk mendapatkan apa jua maklumat yang boleh anda gunakan sebagai kekuatan anda. Memandangkan anda sudah dewasa dan bukan lagi budak sekolah, jadi saya tidak perlu bercerita satu-satu dengan lebih mendalam tentang apa yang perlu anda lakukan berdasarkan taktik-taktik tadi. Gunakan sedikit kepintaran yang ada untuk strategi anda.

Sebelum ini, saya ada menulis bagaimana cara yang terbaik untuk mendapatkan pekerjaan idaman anda. Di artikel tersebut, taktik yang digunakan bukan dari perspektif resume, tetapi lebih kepada keseluruhan. Kali ini saya akan berkongsi dengan anda satu rahsia besar bagaimana untuk menulis resume bagi menarik perhatian eksekutif ataupun pengurus jabatan sumber manusia di syarikat idaman anda itu untuk bukan sahaja melihat sahaja resume anda, tetapi menjemput anda untuk temuduga selepas membacanya. Rahsia ini terlalu besar sehingga setiap resume yang saya pernah bantu sebelum ini mempunyai peratusan kejayaan yang amat tinggi.

Rahsia ini melibatkan sedikit penukaran pada struktur resume anda yang versi sekarang kepada sesuatu yang lebih baik, yang boleh meningkatkan peratusan kebarangkalian untuk dipanggil menghadiri temuduga. Amacam?

Jika anda melihat kembali struktur resume sekarang, semuanya akan nampak normal dan menarik. Cuma kelemahannya satu sahaja. Ia tidak mempunyai kekuatan untuk ‘mengajak’ anda untuk menghadiri temuduga. Sekiranya ia tidak mempunyai kekuatan, ia sama lemah dengan resume orang lain yang berada di jabatan sumber manusia syarikat tersebut. Ia akan berada di dalam fail ataupun tong sampah selepas itu. Tahukah anda di atas meja seorang eksekutif atau pengurus sumber manusia di mana-mana syarikat sederhana besar mahupun korporat, kebanyakannya mempunyai tidak kurang dari berpuluh-puluh resume yang perlu dilihat? Mungkin juga beratus atau beribu, tetapi hakikatnya memang terlalu banyak. Apabila terlalu banyak, beritahu saya sekarang, bagaimana eksekutif tadi akan tertarik untuk melihat resume anda? Hampir mustahil.

Begitu ramai orang yang ingin mencari pekerjaan berbanding jumlah pekerjaan yang ada. Ataupun jumlah orang yang berkebolehan dan sesuai dengan pekerjaan yang ada tidak ramai. Jadi untuk menjadikan rahsia ini berhasil, anda perlu menjadi seorang yang benar-benar berkebolehan dan bukannya tong kosong. Kalau anda tong kosong, maka petua ini tidak akan berjaya.

Jadi apa rahsianya? Ada satu elemen kecil, tetapi amat kritikal yang perlu anda ubah pada struktur resume anda sekarang. Pada mukasurat terakhir resume, anda perlu meletakkan kategori ini – My Personal Background atau Latar Belakang Peribadi Saya.

Dalam kategori ini, anda perlu bercerita pada seluruh mukasurat tersebut (dan bukan separuh sahaja mukasurat) tentang cerita peribadi anda. Mulakan dari latarbelakang keluarga anda yang susah, adik beradik yang ramai atau apa sahaja yang membuatkan pembaca iaitu eksekutif sumber manusia tadi berasa amat simpati dengan nasib anda. Kemudian sambung cerita tadi dengan menceritakan tentang kecekalan hati anda untuk mendapatkan pekerjaan yang baik untuk membantu keluarga di kampung berdasarkan pendidikan anda, kebolehan yang ada, keyakinan dan keperibadian diri yang baik, boleh dipercayai, profesional atau apa sahaja yang memperlihatkan anda sebagai seorang yang kental.

Selepas itu, tulis apa yang boleh anda lakukan atau komited sekiranya mendapat pekerjaan yang anda minta dari syarikat ini. Dengan komitmen yang anda boleh berikan, bekerja dengan jujur, ingin betul-betul mendalami pengetahuan baharu di tempat baharu, bekerja dalam satu pasukan, mengekalkan etika bekerja atau apa sahaja elemen yang boleh anda berikan komitmen anda kepada syarikat ini.

Dengan penceritaan yang dinamik dan dramatik, eksekutif sumber manusia tadi akan berasa tersentuh hati untuk membantu. Ini kerana dia juga seorang manusia biasa yang mungkin dapat memahami apa yang anda ceritakan tadi. Di sini, kita bermain satu permainan emosi. Dan permainan ini boleh membuatkan eksekutif tadi untuk bertindak. Ini taktik penceritaan emosi dari aspek pemasaran yang biasa digunakan oleh agensi-agensi pemasaran bagi menarik pembeli secara halus.

Ramai yang tidak mempunyai kategori ini dalam resume mereka, tetapi tidak mengapa kerana dengan bantuan rahsia ini peluang untuk anda mendapat pekerjaan idaman anda selepas ini adalah cerah. Tetapi ingat, ia masih lagi bergantung kepada kekuatan resume anda keseluruhan juga, termasuklah kebolehan anda yang sesuai dengan apa yang dikehendaki syarikat tadi.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *