Bahasa Malaysia

Firma Media Digital Terkenal Ini Terpaksa Ditutup Gara-Gara Perubahan Algoritma Facebook

Setiap kandungan yang dibina, laman web adalah rumah yang sepatutnya.

Walaupun sering saya mengingatkan kepada semua para pelanggan dan pembaca Azleen.com tentang risiko akibat daripada terlalu bergantung kepada mana-mana rangkaian media sosial sebagai perantara utama strategi pemasaran digital anda, hari ini saya ingin sekali lagi mengingatkan anda supaya jangan terlalu tertumpu kepada media sosial sahaja untuk apa jua pemasaran yang anda lakukan. Jangan!

Baru-baru ini portal Digiday melaporkan satu berita yang agak mengejutkan kerana ia pertama kali berlaku kepada agensi digital yang bersaiz gergasi, dimana sebuah firma atau agensi media digital yang dianggap berpengaruh di Amerika Syarikat bakal menutup pintu mereka untuk selama-lamanya. Walaupun LittleThings mempunyai pengikut seramai 12 juta di laman Facebook, menulis artikel-artikel yang menarik khusus tentang pemerkasaan wanita terutamanya di Amerika Syarikat dan menyediakan kandungan-kandungan seperti resepi masakan, video, temubual dan sebagainya yang berkualiti hanya di platform Facebook. Sayangnya, mereka gagal membuat keuntungan yang sepatutnya kerana kebanyakan daripada kandungan yang dibina tidak dilihat oleh para pengikut mereka.

‘Semuanya salah Facebook, kerana perubahan algoritma mereka yang bertukar tahun ini,” menurut Joe Spieser, Ketua Pegawai Eksekutif LittleThings.

Sejak 2014, setiap kandungan seperti video mampu menghasilkan beribu-ribu malah ada yang berjuta tontonan. Ini adalah trafik yang datang secara organik, iaitu tanpa bayaran. Tetapi pada tahun ini, dengan algoritma terbaharu Facebook, trafik atau pengunjung yang datang ke laman perniagaan Facebook mereka jatuh merudum sehingga 75%.

Awal Januari 2018 lalu, Mark Zuckerberg mengumumkan tentang perubahan algoritma Facebook terutamanya pada ruangan News Feed, yang memberikan keutamaan kepada status-status yang dimuatnaik oleh saudara-mara, adik-beradik, sahabat handai dan rakan sekerja bagi memupuk tali persaudaraan yang lebih bermakna. Pada masa yang sama ia akan mengurangkan kandungan-kandungan yang tidak bermakna terutamanya yang datang dari laman-laman perniagaan Facebook bagi membendung gejala berita palsu, penjualan yang berleluasa dan apa sahaja kandungan yang memberi risiko kepada jalinan persaudaraan yang berkualiti.

Walaupun pada 2016 lalu Spieser memuji Facebook sebagai platform yang dia sangat yakin dapat membantu LittleThings untuk memperkasakan wanita dengan baik kerana fungsi-fungsinya yang sangat efektif, namun pada tahun ini dia sebaliknya berkata ini kepada media,

Facebook adalah penghancur utama dunia.

Jadi, apa yang boleh anda pelajari dari berita penutupan agensi media digital LittleThings ini? Terdapat beberapa pengajaran penting di sini yang boleh anda fikirkan.

Setiap kandungan yang dibina, laman web adalah rumah yang sepatutnya. LittleThings meletakkan laman perniagaan Facebook mereka sebagai rumah kepada semua kandungan yang dibina. Mereka sedar Facebook yang menentukan sama ada pengikut mereka dapat melihat ataupun tidak kandungan-kandungan yang ada.

Media sosial tidak lebih dari tempat untuk menyebarkan kandungan anda, itu sahaja. Bawa pengunjung atau trafik ke laman web anda dengan mengambil kesempatan ke atas kadar-kadar pengiklanan yang murah dan interaksi-interaksi yang wujud di sana. Terlalu taksub dengan membenarkan platform ini mengawal setiap aktiviti pemasaran digital anda adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Jumlah pengikut anda di media sosial tidak penting. Yang penting ialah jumlah pengikut anda di laman web anda sendiri. Gunakan fungsi newsletter atau berita berkala untuk berinteraksi dengan pengikut laman web anda secara langsung. Tiada bayaran yang dikenakan untuk ini kerana laman web anda adalah milik anda sendiri.

Kita juga sering mendengar beberapa kes yang platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube mahupun LinkedIn yang tiba-tiba menutup akaun-akaun peribadi dan perniagaan tanpa sebarang alasan pada setiap masa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bila-bila masa. Beribu-ribu malah beratus ribu para pengikut yang ada akan hilang begitu sahaja dalam sekelip mata jika ini berlaku. Kenapa perlu menanggung risiko ini sedangkan anda mempunyai kaedah lain yang lebih mudah dan mesra alam.

Sedangkan LittleThings yang terkenal ini pun kini bakal menjadi sejarah, apatah lagi jenama anda yang bukan sahaja mempunyai sumber kewangan dan kepakaran yang terhad yang memang mudah untuk bungkus.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *