Bahasa Malaysia

Bagaimana Merekabentuk Laman Web Peribadi Yang Sesuai Dengan Penjenamaan Diri

Bagaimana untuk merekabentuk laman web agar kepercayaan orang lain boleh diperolehi dengan berkesan?

Laman web merupakan satu-satunya tempat yang anda boleh kawal secara mutlak. Ia tidak seperti mempunyai laman perniagaan di media sosial seperti di Facebook Page atau LinkedIn Page, yang memerlukan anda membayar dan terus membayar bagi mendapatkan perhatian, trafik pengunjung dan pengikut.

Melalui laman web, anda bebas untuk membuat apa jua perubahan padanya. Anda bebas mendapatkan trafik, meletakkan iklan, menukar nama laman web yang anda suka tanpa perlu mendapatkan kebenaran sesiapa, mengajak orang lain untuk mengikuti anda melalui berita berkala mingguan yang disediakan, berinteraksi secara langsung dengan mereka dan juga membolehkan juga anda mempunyai URL atau alamat di internet yang menggunakan nama anda sendiri, tanpa perlu membayar berlebih-lebihan. Anda cuma perlu risau tentang pembayaran apabila nama domain dan juga hosting anda akan tamat tempoh. Itu pun hanya setahun atau dua tahun sekali, itu sahaja.

Dalam era yang serba moden ini, kita melihat lebih ramai individu yang ingin bekerja untuk diri mereka sendiri. Mereka tidak lagi berminat untuk bekerja dengan orang lain sepenuh masa. Mungkin kerana mereka ingin mempunyai kehidupan yang seimbang, tidak boleh bangun pagi atau pelbagai sebab yang lain.

Kini lebih ramai individu yang dikenali sebagai freelancer, penulis blog, juruperunding, pelancong sepenuh masa dan sebagainya. Golongan ini tidak teringat dengan masa dan pendapatan yang diberikan oleh orang lain kerana mereka sendiri yang menentukan bagaimana masa yang digunakan, mencorak pendapatan mereka untuk terus hidup. Budaya yang semakin berkembang ini bukan sahaja menarik kepada Golongan Millennial, tetapi Golongan GenX juga. Bagi yang inginkan risiko sebegini, pulangannya memang tinggi. Ia sesuai dengan risiko besar yang ditanggung. Biasanya yang mempunyai pulangan yang tinggi itu mampu mendapatkannya apabila mereka dipercayai oleh para pelanggan mereka. Kebanyakannya mempunyai laman web mereka sendiri untuk mencapai objektif dalam mendapatkan kepercayaan tadi.

Bagaimana untuk merekabentuk laman web agar kepercayaan orang lain boleh diperolehi dengan berkesan? Terdapat beberapa elemen penting yang perlu ada pada laman web anda.

Mudah dilayari. Anda perlu mempunyai tema atau rekabentuk yang sangat mudah dilayari dan juga mesra kepada peranti mudah alih. Mereka yang datang tidak perlu untuk berfikir apa yang perlu mereka tekan dahulu atau ke arah mana mereka perlu pergi dahulu. Sekiranya rekabentuk anda terlalu kompleks, orang tidak akan bertahan lebih dari 7 saat di dalamnya dan terus keluar selepas itu. Mereka akan berkata ianya sangat sesak dan tidak boleh bernafas apabila masuk ke dalam.

Cinta pandang pertama. Para pengunjung mesti tertarik dengan pemilihan warna yang sesuai, rekabentuk yang menarik, gambar yang beresolusi tinggi kepunyaan anda dan sebagainya yang bakal membuatkan mereka untuk kekal lama apabila mereka di dalamnya. Ia juga perlu membuatkan mereka untuk datang kembali apabila mereka di internet.

Gambar milik sendiri. Banyak laman web yang menggunakan gambar di Google, membuatkan ia kelihatan ‘biasa’ yang sama dengan laman web orang lain. Jadi gunakan gambar-gambar milik sendiri yang beresolusi tinggi yang sesuai dengan apa yang jenama anda perjuangkan.

Nama domain anda sendiri yang mudah. Ia perlu sama dengan nama jenama anda, atau nama anda sendiri. Ia perlu ringkas, senang dieja dan senang diingati. Anda juga perlu membeli domain anda sendiri agar alamat laman web anda tidak mempunyai perkataan wordpress, wix, blogspot ataupun tumblr di dalamnya. Anda tentu tidak mahukan orang melihat anda menggunakan pelan percuma yang sedikit sebanyak akan ‘mencemarkan’ kredibiliti anda secara tidak langsung.

Blog. Tanpa mempunyai menu Blog pada laman web, anda akan mempunyai kesukaran untuk mengemaskini maklumat terbaru. Dengan Blog, anda boleh bercerita tentang pendapat anda, berkongsi tentang bagaimana untuk melakukan sesuatu, aktiviti anda, berita dan sebagainya. Setiap perkataan baharu yang ada, Google akan menghantar algoritma mereka ke laman web anda untuk diindeks. Hanya setelah diindeks, baharu laman web anda akan disenaraikan di Google untuk mudah dicari.

Tentang anda. Para pengunjung sudah pasti ingin mengetahui siapakah anda, mengapa mereka perlu percaya kepada anda dan mengapa mereka perlu membeli dari anda. Semuanya anda perlu tulis pada ruangan ini. Jangan lupa gambar anda yang paling anda suka, letakkan di sini. Ia akan membantu para pengunjung mengenalpasti yang anda memang betul-betul wujud.

Hubungi anda. Anda harus mempunyai alamat tetap agar kelihatan profesional. Anda juga harus mempunyai satu borang dalam talian di sini agar sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapatkan khidmat anda boleh mengisinya di situ. Dan ia akan terus dihantar kepada e-mel anda. Jangan terkejut apabila terdapat beberapa orang mula menghantar soalan-soalan tentang perkhidmatan yang anda berikan setiap hari kelak, dan anda perlu menjawab dengan pantas dengan menggunakan e-mel.

Ikon Facebook Messenger yang terapung. Ikon terapung Facebook Messenger ini mudah kerana ia membolehkan para pengunjung untuk berinteraksi dengan anda secara langsung. Para pengunjung jenis ini tidak gemar mengisi apa juga borang tetapi lebih berminat untuk berinteraksi dengan pantas dan real-time bagi mendapatkan jawapan. Untuk menggunakan ikon ini, anda perlu mempunyai akaun Facebook, itu sahaja dan semua interaksi akan berada di Facebook Messenger.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *