Bahasa Malaysia

Strategi Pemasaran Efektif Perlu Ada 3 Elemen Ini

Jika strategi pemasaran produk mana-mana jenama mampu berjaya di Malaysia, maka dengan sendirinya ia akan berjaya di negara-negara lain di dunia

Untuk anda menjayakan kempen pemasaran produk atau perkhidmatan kepada sasaran pasaran anda di Malaysia, anda tidak boleh seratus peratus bergantung kepada hanya strategi pemasaran digital sahaja. Anda juga tidak boleh terlalu mengharapkan strategi pemasaran secara tradisional atau  tumpukan perhatian anda kepada strategi perhubungan awam semata-mata. Masalah nanti.

Sekiranya anda ada mendengar terdapat ‘pakar pemasaran’ di luar sana yang menawarkan satu formula pemasaran yang berkesan untuk anda gunakan untuk menjual produk anda, jangan percaya. Ia tidak lebih dari sekadar janji kosong. Sebenarnya dalam membentuk strategi pemasaran, tidak pernah ada formula. Yang wujud hanyalah amalan-amalan terbaik atau best practices. Itu pun ia perlu diubahsuai untuk disesuaikan dengan keadaan semasa dan produk yang anda pasarkan.

“Jika kempen pemasaran produk mana-mana jenama mampu berjaya di Malaysia, maka dengan sendirinya ia akan berjaya di negara-negara lain di dunia.”

Ini kata-kata yang saya terdengar secara tidak sengaja dalam satu perbualan di meja sebelah ketika saya menghadiri satu forum pemasaran di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ia diucapkan oleh seorang eksekutif pemasaran yang berpengalaman dari sebuah agensi pengiklanan besar kepada rakannya yang duduk disebelahnya. Secara peribadi, saya merasakan ada benarnya kenyataan tersebut. Malaysia amat dikenali sebagai sebuah pasaran yang mudah untuk ditawan oleh mana-mana bentuk pemasaran sekalipun.

Negara ini mempunyai penduduk yang berbilang bangsa. Itu faktor utama penyebabnya. Masing-masing mempunyai tabiat yang berbeza, tahap ekonomi yang tidak sama, latarbelakang budaya dan agama yang tidak sama antara satu sama lain. Yang pasti, strategi makro yang anda perlu pertimbangkan sekiranya ingin mempunyai satu kempen pemasaran yang paling berkesan ialah dengan menggunakan ketiga-tiga elemen ini dengan serentak; pemasaran digital, pemasaran secara tradisional dan juga perhubungan awam.

Mengapa?

Pemasaran digital. Pada tahun 2016, Malaysia mencatatkan sejarahnya tersendiri di mata dunia apabila statistik yang dikeluarkan oleh Facebook mendedahkan bahawa para pengguna Facebook di Malaysia mempunyai rakan sebanyak 1.6 kali ganda berbanding para pengguna di negara lain di dunia secara purata. Statistik yang sama juga menyebut sebanyak 18 juta akaun Facebook yang aktif dari Malaysia, iaitu sama jumlahnya dengan pengguna internet keseluruhan di negara ini. Tidak hairan juga apabila sejumlah 20 juta buah telefon pintar telah terjual setakat Disember 2017 lalu. Berdasarkan data-data tadi, jelas menunjukkan kita begitu gila bersosial di internet yang diakses melalui telefon pintar masing-masing. Petunjuk ini jelas memberitahu anda untuk segera mengambil kesempatan ke atas pemasaran digital bagi menarik perhatian sasaran pengguna untuk datang membeli. Di sini, kempen pemasaran anda perlu berada dan bergerak aktif.

Pemasaran secara tradisional. Walaupun kebanyakan para pengguna memberikan perhatian mereka di internet dan media sosial, tidak ramai yang berduit di sana kerana faktor usia yang masih muda. Biasanya golongan yang mempunyai kapasiti yang tinggi untuk berbelanja sebenarnya ialah generasi yang dikenali sebagai Baby Boomers dan Generasi X. Generasi Baby Boomers merujuk kepada individu yang dilahirkan di antara tahun 1941 hingga 1960. Walaupun rata-rata kini berumur lebih dari 58 tahun, yang menariknya golongan ini mempunyai kapasiti berbelanja kerana mereka mempunyai wang. Lebih dekat dengan umur persaraan, maka lebih stabil kewangan masing-masing. Tetapi anda harus faham, perhatian mereka jarang berada di internet dan media sosial. Ia sebaliknya berada di suratkhabar, majalah, papan tanda, poster dan sebagainya. Begitu juga Golongan X, yang dilahirkan diantara tahun 1961 sehingga 1980. Perhatian golongan ini pula agak seimbang, diantara internet dan sosial media, dengan dunia tradisional. Sekiranya golongan-golongan veteran ini termasuk dalam senarai bakal pembeli produk anda maka  strategi pemasaran anda perlu berada di sini juga.

Perhubungan awam. Hubungan dengan wartawan dari media-media utama seperti televisyen, radio, media cetak dan media digital juga dititikberatkan. Ia disediakan dalam bentuk editorial atau berita. Siaran akhbar atau press release, sidang media dan majlis bersama pengamal media amat membantu kerana berita ini ditulis secara rasmi oleh pihak ketiga yang berkaliber mampu memberikan impak yang kuat kepada jenama anda. Ia akan lebih diterima dan dipercayai oleh pembaca berbanding iklan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *