Bahasa Malaysia

Mengapa Anda Perlu Menggunakan Kepakaran Luar Untuk Penyediaan Kandungan Pemasaran

Adakah anda benar-benar serius untuk memajukan perniagaan anda dengan mempunyai perancangan pemasaran yang kuat dan strategik?

Hanya segelintir sahaja yang menggunakan strategi penyumberan luar, atau menggunakan kepakaran luar untuk penyediaan kandungan-kandungan pemasaran untuk laman web mereka, media sosial dan juga untuk bahan-bahan pemasaran yang lain. Kandungan yang dimaksudkan tadi ialah seperti penulisan artikel, penulisan untuk bahan-bahan pemasaran, merekabentuk infografik, poster dan penyuntingan video.

Walaupun kita sering melihat produk dan perkhidmatan yang disediakan amat berkualiti dan bermutu tinggi namun secara keseluruhannya ia kelihatan hambar kerana kombinasi perkataan, ayat, gambar dan grafik yang digunakan untuk tujuan pemasaran itu agak biasa-biasa sahaja. Ini secara langsung menjejaskan impak yang sepatutnya diberikan kepada para pengguna, yang tidak menggambarkan kualiti produk atau perkhidmatan tadi. Akhirnya, produk tadi dilihat biasa-biasa sahaja yang sama seperti orang lain. Apabila ini berlaku, dengan sendirinya produk tadi sukar dijual dengan baik.

Mengapa anda perlu menggunakan kepakaran luar sedangkan anda dan pasukan anda boleh melakukan kesemua ini sendiri?

Pemasaran bukan bidang anda. Sekiranya anda seorang pemilik kedai gunting rambut hipster contohnya, sudah pasti anda telah belajar bagaimana untuk menggunting rambut dengan baik, cara untuk memotong janggut untuk kelihatan mengikut trend terkini dan sebagainya. Anda tidak belajar bagaimana teknik dan taktik pemasaran yang kuat untuk menarik para pelanggan untuk datang dan seterusnya menjadikan mereka setia menggunakan perkhidmatan gunting rambut yang anda sediakan. Walaupun anda tahu bagaimana untuk menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram namun ini baru sedikit. Media sosial hanyalah 10 peratus dan elemen yang kecil dalam pemasaran. Untuk berjaya, ia memerlukan lebih dari ini.

Topik seperti penjenamaan, pembuatan kandungan, pemilihan perkataan atau ayat yang sesuai untuk bahan pemasaran, merekabentuk poster, penulisan artikel, kaedah penceritaan, cara bersembang dengan bakal pelanggan di media sosial, teknik mengajak mereka mencuba perkhidmatan yang ada, promosi, menjual dengan cara tidak menjual, penyediaan laman web yang berstrategi dan seterusnya ini tidak dipelajari. Apabila anda tidak mahir, tidak berpengalaman dan tidak tahu taktik bagaimana itu dan ini dalam pemasaran maka anda akan terlepas banyak peluang untuk menarik lebih ramai pelanggan berbayar ke kedai gunting rambut anda. Ini amat merugikan.

Anda tidak tahu bagaimana untuk menukarkan pengunjung menjadi pembeli. Salah satu keistimewaan pemasaran ialah ia mampu menarik para pengguna diluar sana untuk mencuba perkhidmatan anda tanpa perlu menjual berlebih-lebihan. Kesilapan terbesar yang sering dilakukan oleh para usahawan kecil di Malaysia ialah mereka terlalu menjual dan terus menjual setiap hari. Setiap apa yang ditulis kesemuanya menggunakan ayat menjual, menjual dan menjual. Akhirnya jenama mereka dilihat sebagai jenama kelas bahawan. Orang ramai jarang ingin membeli produk kelas bahawan. Mereka sebaliknya lebih gemar membeli produk yang berkualiti tinggi yang dijual dengan harga yang munasabah.

Dengan kepakaran dari luar, terutamanya dari pemasar yang berpengalaman, mereka tahu apa kehendak pasaran dan bagaimana untuk menukarkan para pengunjung laman web dan media sosial anda kepada pembeli berbayar. Mereka mempunyai kaedah yang terbukti berkesan untuk objektif ini. Hanya masa sahaja yang diperlukan bagi menghasilkan momentum dan jualan yang baik.

Setiap aktiviti pemasaran memerlukan strategi masing-masing dan anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kita juga melihat setiap aktiviti yang dilakukan oleh jenama-jenama industri kecil di Malaysia sering dibuat tanpa mempunyai strategi. Orang lain mempunyai ruangan artikel di laman web mereka, anda juga lakukan benda yang sama. Orang lain tidak mempunyai YouTube, anda juga tidak bercadang untuk mewujudkan saluran YouTube. Mereka sering mengikut orang lain yang juga masih keliru dengan strategi pemasaran mereka sendiri. Ia seolah-olah anda meniru jawapan ketika peperiksaan yang orang yang anda tiru itu sendiri pun tidak pasti dengan jawapannya.

Melalui kepakaran luar, mereka melihat jenama anda dengan mata yang fresh. Mereka melihat anda dari perspektif dari luar, dari mata pengguna. Ini penting dalam penyediaan strategi untuk pemasaran dan juga perniagaan anda secara keseluruhannya. Setiap apa yang dilakukan dalam aspek pemasaran, ia perlu mempunyai strategi. Ini kerana anda perlukan pembeli dan tanpa pembeli yang membayar produk anda, perniagaan anda tidak akan bertahan lama.

Ada kaedah yang mampu memberikan impak yang tinggi, dan pasukan anda mungkin tidak tahu. Salah satu cara yang ramai orang tidak sedar kepentingannya ialah mempunyai laman web. Dalam menu di laman web tadi, anda perlu mempunyai beberapa bahagian penting untuk menarik orang yang tidak mengenali atau pernah tahu tentang anda, untuk datang berkunjung ke laman web anda. Ini kenali sebagai pengoptimuman enjin pencarian atau SEO.

Untuk menjadikan SEO anda kuat, berhasil dan mempunyai kedudukan ranking yang tinggi di Google, anda perlu mempunyai Blog di laman web. Dan anda perlu menulis artikel setiap masa secara konsisten untuk memastikan setiap perkataan dan ayat yang digunakan dapat dijumpai oleh sesiapa sahaja yang mencari produk atau perkhidmatan yang sama dengan apa yang anda tawarkan. Untuk menjayakan proses ini, anda perlu menulis artikel demi artikel yang kaya dengan kata-kata kunci atau keywords yang betul.

Persoalannya di sini, anda atau pasukannya tidak mahir dalam penulisan artikel, tidak mahir dalam mengetahui apakah jenis kata-kata kunci yang perlu digunakan, tidak tahu apakah elemen-elemen yang perlu ada dalam laman web untuk mempunyai kedudukan ranking yang tinggi di Google dan tidak juga mahir untuk menarik pengunjung ke laman web anda melalui media sosial.

Kini sudah tiba masanya untuk anda duduk seketika dan berfikir tentang apa yang saya jelaskan tadi. Adakah anda benar-benar serius untuk memajukan perniagaan anda dengan mempunyai perancangan pemasaran yang kuat dan strategik? Jika ya, maka anda perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan dari kepakaran luar untuk menjadikan pemasaran anda lebih jitu yang mampu menghasilkan jualan produk yang baik dan berterusan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *