Bahasa Malaysia

Bagaimana Untuk Melantik Duta Produk Anda Dan Mengurangkan Kebergantungan Kepada Iklan

Bagaimana cara yang efektif dalam melantik duta atau individu yang berpengaruh sebegini di media sosial.

Sebaik sahaja saya melihat apa juga iklan di internet ataupun di media sosial, saya terus akan menekan tanda atau ikon X yang ada di bucu kotak iklan tersebut. Ia bukan sahaja menganggu penglihatan saya untuk melihat apa yang ingin saya tengok di skrin tetapi juga ia amat menjengkelkan. Jika saya berfikiran sedemikian, saya yakin berjuta-juta orang lain di internet juga akan mempunyai sentimen yang sama. Mungkin anda juga turut melakukan perkara yang sama.

Namun kepada pemilik jenama produk atau perkhidmatan seperti anda, tidak mustahil iklan mampu menarik ramai pengunjung untuk datang ke media sosial ataupun laman web anda. Malah dengan membuat pengiklanan di internet, ia merupakan salah satu strategi penting untuk pemasaran digital anda. Cuma sejak kebelakangan ini, ia menjadi semakin kurang efektif dan agak mahal berbanding dahulu. Tidak kira sama ada ia dilakukan di enjin pencarian seperti Google, Yahoo ataupun Bing, atau di media sosial seperti Facebook, Twitter, LinkedIn dan Instagram kebanyakan yang melihat tidak memberikan reaksi yang positif selain daripada menekan ikon X untuk menepis iklan tersebut keluar atau tidak menghiraukannya langsung.

Jadi apa yang anda boleh lakukan selain daripada penggunaan iklan di internet ataupun media sosial? Salah satu cara yang paling berkesan ialah dengan melantik micro-influencers atau individu yang popular di media sosial. Mereka ini ibarat duta kepada produk anda dan mampu mempengaruhi pemikiran para pengikut mereka. Bagaimana cara yang efektif dalam melantik duta atau individu yang berpengaruh sebegini di media sosial.

Pilih individu yang popular di kalangan rakan mereka.  Ini yang paling penting, siapakah yang perlu anda pilih. Yang paling efektif, pilih individu yang mungkin terdiri dari rakan anda, saudara atau rakan masa sekolah dahulu yang aktif dan popular di kalangan rakan-rakannya. Dia sering berinteraksi secara positif, disukai oleh rakan-rakannya dan juga sering menjadi penyeri untuk setiap perbualan di antara mereka. Individu seperti ini yang mampu mempengaruhi pemikiran rakan-rakan mereka untuk mencuba benda baharu. Anda akan tahu sendiri sebaik sahaja anda menjumpai individu sebegini.

Jangan pilih individu yang mempunyai pengikut lebih dari 5,000 orang. Biasanya seseorang yang mempunyai pengikut melebihi 5,000 orang tidak akan kenal siapa pengikut mereka. Mereka tidak serapat seperti yang mempunyai pengikut yang sedikit. Ini disebabkan oleh mereka tidak pernah bersua muka sebelum ini, tidak pernah bekerja bersama-sama di pejabat, tidak pernah bersekolah yang sama dahulu, tidak pernah menaiki bas yang sama ketika di asrama dahulu ataupun juga tidak pernah berjiran di kampung yang sama. Mempengaruhi orang yang dikenali dengan rapat jauh lebih mudah berbanding dengan orang yang tidak dikenali.

Kerjasama untuk sebulan dua sahaja. Kemudian tukar kepada individu yang lain. Memandangkan mereka mempunyai pengikut yang terhad, adalah tidak bijak sekiranya anda bekerjasama dengan mereka selama setahun. Lama kelamaan pengikut tadi akan merasa bosan kerana asyik melihat benda yang sama sahaja setiap masa. Jadi anda perlu menukar duta anda tadi setiap sebulan atau setiap dua bulan kepada orang lain pula.

Muatnaik status yang tidak terlalu kerap. Di Twitter, tidak mengapa untuk anda menyuruh duta anda tadi untuk memuatnaik satu status setiap hari, kerana di saluran media sosial ini setiap pengguna akan memuatnaik tweet masing-masing lebih dari lima kali sehari. Sekiranya di saluran lain, sebaiknya muatnaik hanya dua atau maksimum tiga status sahaja seminggu. Takut jikalau lebih, para pengikut individu tadi akan lari.

Satu individu yang popular untuk satu rangkaian yang mereka suka sahaja. Kebanyakan individu yang popular cuma popular di satu media sosial sahaja, iaitu rangkaian atau saluran kegemaran mereka. Di saluran lain, mereka ada mempunyai pengikut tetapi tidak sebesar di saluran utama mereka. Apabila mereka lebih gemar di Instagram contohnya, anda akan dapat lihat interaksi mereka lebih ke arah sana. Jadi, kerjasama dengan individu ini perlu fokus kepada di Instagram sahaja dan tidak di saluran media sosial yang lain. Anda perlu mencari individu yang lain yang lebih sesuai sekiranya anda perlu ‘bermain’ di LinkedIn, Facebook dan sebagainya.

Bersetuju dengan kadar bayaran. Anda dan individu tadi perlu bersetuju dengan kadar bayaran untuk projek kecil ini, bagaimana ia perlu dilakukan, adakah anda mempunyai produk untuk diberikan sebagai sampel atau tidak, dan juga perkara-perkara lain yang berbangkit.

Cara-cara ini nampak mudah, tetapi amat berkesan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *