Bahasa Malaysia

Penjenamaan Diri: Pilihan Pakaian Yang Hodoh Boleh Membuatkan Wajah Anda Turut Hodoh

Penampilan menarik bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri individu tersebut, ia juga mendorong ke arah kebahagiaan kehidupan, seperti kata pepatah when we look good, we feel good.

Ouch..terasa pedas pula dengan kenyataan ini bukan?

Saya sebenarnya amat tertarik dengan beberapa artikel berkenaan pengurusan dan penjagaan imej tidak lama dahulu, yang diterbitkan oleh The Wall Street Journal, Dailymail.co.uk dan juga Bodylanguageproject.com. Di antara persamaan artikel-artikel ini adalah, ia sangat berkait rapat dengan keyakinan diri seseorang hasil daripada imej yang ditampilkan – iaitu pakaian mereka.

Mungkin anda juga tertanya-tanya, kenapa agaknya penulisan saya sering ke arah penampilan, adakalanya fesyen dan aksesori juga penggayaan mengikut personaliti gaya anda. Jawapan saya mudah. Ini kerana penampilan anda merupakan visual utama yang akan dinilai, dihakimi oleh orang ramai sebaik sahaja mereka melihat anda – melalui pertemuan 7 saat pertama, tanpa perlu anda berkata atau berbuat apa-apa.

Malah jika ianya sebuah imej di dalam media sosial pula, anda akan dinilai sebaik 40 milisaat pertama mereka melihat profil anda! Jika anda sayangi diri sendiri, pandang ke cermin dan lihat diri anda hari ini. Adakah anda ingin menampilkan impak visual yang berkesan atau cukup dengan ala-ala kadar sahaja? Tepuk dada tanya selera.

Menariknya isu minggu ini adalah hasil dari kajian yang dijalankan oleh Mare Lõhmus dan rakan-rakan dari Universiti Uppsala, Sweden yang ditulis kembali dari buku mereka Dress for Success: Human Facial Expressions are Important Signal of Emotions, yang mana pakaian yang dipakai golongan wanita memberi kesan kepada keputusan penilaian oleh golongan lelaki berkenaan daya tarikan mereka.

Melalui eksperimen ini, tiga peserta wanita diambil gambar dengan penampilan berlainan iaitu, seorang dengan pakaian yang membuatkan diri mereka rasa menarik, seorang dengan pakaian yang membuatkan dirinya rasa tidak menarik, dan seorang lagi pula dengan pakaian yang membuatkan dirinya berasa selesa. Ketiga wanita ini diberi pilihan untuk memilih pakaian tersebut dan diambil gambar dengan ekspresi wajah yang neutral, kemudian mereka diminta mengisi borang kaji selidik berkenaan keselesaan dan tahap keyakinan diri mereka.

Keputusan akhir menunjukkan bahawa, apabila seseorang wanita mengenakan pakaian yang membuatkan dirinya berasa menarik, ia jelas terpancar dan golongan lelaki mendapati muka wanita ini adalah yang paling menarik melalui penilaian yang diberi. Manakala wanita yang memakai pakaian yang membuatkan diri mereka merasa tidak menarik pula, mendapat penilaian (daya tarikan) yang paling rendah diberi oleh golongan lelaki. Bagi wanita yang memakai pakaian sekadar rasa selesa pula, mendapat penilaian pertengahan di antara paling menarik dan yang tidak menarik. Dan dikatakan walaupun diarah untuk bergambar dengan ekspresi muka yang neutral, wanita-wanita ini tidak dapat menyembunyikan perasaan positif dan negatif mereka dan ia jelas kelihatan kepada golongan lelaki tersebut.

Kajian ini menunjukkan bahawa , golongan lelaki tidak perlu memandang penampilan wanita untuk mendapatkan jawapan perasaan wanita-wanita itu terhadap penampilan diri masing-masing. Dari ekspresi wajah wanita tersebut, mereka jelas kelihatan wanita tersebut gembira, penuh yakin dengan dirinya dengan penampilan yang dibawa. Malah ia juga menunjukkan hubungkait kuat antara penampilan kita berdasarkan pakaian sebagai komunikasi bukan lisan dengan daya tarikan seseorang.

Berpenampilan menarik bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri individu tersebut, ia juga mendorong ke arah kebahagiaan kehidupan, seperti kata pepatah when we look good, we feel good, dan secara tidak langsung ia membantu kita untuk mendapat layanan yang baik dan positif dari orang ramai.

Baju yang Bergaris Melintang. Tak dapat saya nafikan, ramai yang tahu bahawa garis melintang memberikan ilusi badan yang lebih besar dan ‘berat’. Tapi percaya atau tidak, lebih ramai yang tidak mengendahkan ‘peraturan’ ini kerana kebanyakannya membeli baju atas dorongan ‘rekaan terbaru’ , label artis terkenal, rekaan berjenama dan sebagainya. Sekiranya ada memiliki bentuk badan yang melebar (pear, apple mahupun inverted triangle – ya, lebar di bahu , besar di bahagian dada, di perut, di pinggul) – hati-hati dengan pemilihan baju, skirt, atau seluar yang meletakkan rekaan garis melintang itu tadi. Ingat lagi kesan impak ke atas kajian yang dilakukan oleh wanita yang memakai baju yang tidak menarik dan sekadar selesa sahaja itu tadi? Mungkin anda merasakan trend terbaru sesuai untuk semua , tetapi realitinya ia harus disesuaikan mengikut jenis bentuk badan anda.

Elakkan cetakan (prints) yang besar. Cetakan atau prints pada pakaian sememangnya memberi kesan yang menarik kepada si pemakai tetapi seperti garis melintang , hati-hati dengan skala cetakan pada baju tersebut – adakah ianya terlalu besar atau terlalu kecil. Ianya sangat bergantung kepada body proportion juga body scale masing-masing, contohnya seperti ini. Jika anda berbadan kecil, petite dan memakai cetakan yang besar, ia bukan sahaja menenggelamkan anda , malah membuatkan anda bertambah kecil. Sebaliknya, Jika anda berbadan besar dan lebar pula, memakai cetakan yang halus dan kecil , secara visualnya anda kelihatan lebih lebar dan besar dari saiz biasa. Jika anda berbadan besar dan merasakan agak sukar untuk mengingati peraturan ini, paling asas adalah dengan mengekalkan penggunaan rona polos yang gelap (dark, solid colour) di dalam penampilan anda agar tidak tersalah bergaya dan yang penting menjimatkan wang ringgit.

Tekstur fabrik yang tebal dan berat. Seperti garisan melintang tadi, pemilihan fabrik juga memainkan peranan di dalam visual penampilan anda. Tekstur yang berat, dan tebal seperti fabrik jenis tweed, wool, brocade, songket malah hiasan seperti lace, kerawang, manik , sequins dan labuci juga membuatkan badan yang besar bertambah berat. Tidak salah jika anda memilih jenis tekstur sebegini, tetapi lebih bijak jika anda tahu strategi bagaimana nak menyuaipadankan jenis tekstur fabrik dengan bentuk dan jenis badan anda.

Jangan disuaipadankan plaid dengan prints. Suai padankan plaid dengan prints ini agak rumit sedikit jika anda tidak tahu caranya. Kunci utamanya adalah dengan memastikan penggunaan warna dan rekaan yang senada. Ini kerana tujuan penggayaan fesyen sentiasa bertumpukan kepada keharmonian dan keseimbangan pada visual. Pemilihan yang tidak senada membuatkan orang ramai agak keliru dengan personaliti anda , dan jika anda ingin dilihat sebagai individu yang serius , hati-hati dengan suai padanan ini. Salah satu rahsianya ialah , jika anda memilih padanan warna yang berbeza (baju + seluar atau baju + skirt), pastikan rekaannya (design) adalah sama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *