Bahasa Malaysia

8 Cara Penulisan Blog Untuk Menarik Pembaca Ke Laman Web Anda

Lapan aspek penting yang saya sering gunakan dalam setiap penulisan saya, tidak kira sama ada dalam Bahasa Malaysia ataupun Inggeris.

Anda suka membaca buku teks?

Mungkin masa sekolah dahulu, itu pun dalam keadaan terpaksa. Atau ada rotan disebelah ibu yang menemani anda ketika itu. Secara hakikatnya, tiada seorang pun dalam dunia ini yang suka membaca buku teks kecuali komuniti akademik dan penyelidik. Itu pun silap-silap dalam keadaan terpaksa juga.

Kebanyakan orang, terutamanya golongan usahawan, gemar membaca bahan-bahan yang berbentuk ringan dan sederhana ringan. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan unsur emosi, memang melekat. Ada yang suka membaca bahan dalam bentuk digital seperti ebook dan ada juga yang memilih bacaan secara fizikal seperti buku, majalah dan bahan yang dicetak.

Bagi saya, terdapat lapan aspek penting yang saya sering gunakan dalam setiap penulisan saya, tidak kira sama ada dalam Bahasa Malaysia ataupun Inggeris.

Menulis seolah-olah saya bercakap dengan seseorang. Jangan terlalu berat dengan fakta, kerana ia akan membosankan pembaca. Intonasi ayat juga Jangan terlalu mendatar kerana ia juga membosankan. Jangan juga terlalu formal. Sebaik-baik penulisan ialah dengan berimaginasi sedikit seolah-olah anda sedang bercakap dengan seseorang. Anda perlu memberikan sedikit fakta, yang dicorakkan dengan sedikit emosi dan juga contoh-contoh yang mudah bagi menjelaskan fakta tadi. Selitkan unsur humor, sedih, gembira atau mengajak pembaca untuk berfikir dan mempunyai kesimpulan mereka sendiri.

Tajuk yang menarik dan catchy. Ia bukan sahaja perlu catchy dan menarik, tetapi ia juga perlu mempunyai perkataan yang boleh membuatkan artikel anda berada pada kedudukan ranking yang tinggi di enjin pencarian Google. Kesinambungan ayat pada keseluruhan tajuk itu tadi amat penting kerana anda perlu melahirkan ayat yang masuk akal dan sesuai dengan menggunakan perkataan-perkataan yang akan diindeks oleh Google. Ia perlu bernada sedikit click-bait, atau umpan untuk para pembaca menekan klik untuk membaca perenggan yang pertama.

Perenggan pertama yang kritikal. Apabila mereka tiba di ruangan yang mempunyai artikel penuh, perkara pertama sekali yang bakal dibaca ialah perenggan pertama. Di sini, anda perlu menulis dengan sedikit sinis dan menyambung sedikit lagi apa yang anda tulis pada tajuk tadi. Dalam masa yang sama juga, penulisan anda perlu mengajak pembaca untuk datang ke perenggan yang seterusnya. Sekiranya perenggan pertama tadi membosankan, atau anda meletakkan kunci jawapan artikel anda lebih awal, mereka tidak akan pergi ke perenggan yang berikutnya. Mereka akan berhenti membaca dan terus keluar ke tempat lain pula.

Perenggan berikutnya yang juga kritikal. Dengan sebab yang sama, perenggan kedua dan seterusnya juga perlu dibentuk agar dapat membawa pembaca ke perenggan yang seterusnya sehingga ke penghujung artikel anda. Jadi, artikel anda tidak boleh terlalu panjang kerana pembaca biasanya akan fokus cuma pada 4-5 minit terawal sahaja. Selepas itu, mereka sukar untuk memberikan perhatian lagi melainkan artikel yang anda tulis memang menarik buat mereka.

Jaga setiap ejaan dan tatabahasa. Tiada siapa yang suka membaca artikel atau blog yang penuh dengan ejaan yang salah, tatabahasa yang salah kerana pembaca perlu berfikir dengan lebih lagi untuk memahami apa sebenarnya yang anda tulis itu. Anda tidak perlu juga menulis terlalu sempurna kerana yang membaca itu pun bukanlah semua guru Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Pilihan perkataan dan ayat yang separuh santai. Sila tinggalkan tabiat menulis secara formal di sekolah atau pejabat sahaja atau ketika menulis laporan untuk ketua jabatan anda. Jangan sesekali menulis secara formal di blog. Anda juga tidak boleh menulis secara seratus peratus tidak formal, berbahasa rockers, hipster yang mempunyai ejaan-ejaan shortcut seperti ala-ala budak WeChat. Sebaliknya, anda harus lebih prihatin dengan latar belakang pembaca anda. Kebiasaannya, para pembaca lebih suka membaca bacaan yang separuh santai kerana ia sangat mudah difahami.

Adakah ia ditulis dalam bentuk penceritaan? Penulisan anda tadi perlu juga ada kesinambungan yang baik di antara satu perenggan dengan perenggan yang lain. Ini bakal mewujudkan satu penceritaan yang mantap. Yang penting, perenggan satu perlu ‘berjabat tangan’ atau mempunyai jambatan yang baik untuk ke perenggan seterusnya. Dengan jalan cerita yang baik, artikel yang ditulis itu bakal mempunyai impak yang tinggi kepada pembaca kerana ia mudah difahami.

Gambar yang beresolusi tinggi. Artikel yang baik perlu disertakan sekali dengan kualiti gambar yang beresolusi tinggi. Gambar yang terbaik akan melengkapkan kualiti cerita yang ditulis agar ia akan dapat menarik pembaca untuk membacanya. Jika gambar yang diletakkan sebagai featured image itu tidak berkualiti tinggi, ia bukan sahaja mencacatkan keseluruhan persembahan artikel tadi tetapi juga para pembaca tidak akan tahu yang artikel yang ditulis itu rupa-rupanya amat berkualiti tinggi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *