Bahasa Malaysia

Taktik Perhubungan Awam: Bagaimana Menghasilkan Kempen April Fool Yang Berjaya?

Isu samada kempen April Fool ini masih wajar dihasilkan semata-mata meningkatkan kesedaran jenama.

Harus diakui, di rantau ini terutamanya di Malaysia perkataan April Fool itu sendiri agak sensitif. Namun begitu, kita masih boleh menerima, memerhati dan belajar dari kempen-kempen perhubungan awam atau PR dari jenama-jenama besar dunia sempena April Fool yang mungkin anda sendiri boleh gunakan untuk jenama anda di luar waktu April Fool ini.

Ingatkah anda kepada aplikasi Lazada yang bernama LOVEZADA sempena April Fool yang mampu membantu anda mencari cinta? Ataupun jenaka kempen April Fool yang mengumumkan pelancaran Amazon di Singapura dan Malaysia tidak lama dahulu?

Namun begitu, mari kita fikirkan apa yang sebenarnya diperlukan untuk menghasilkan kempen April Fool yang berjaya.

Lagi kreatif lagi bagus.

Peringatan utama ketika menghasilkan kempen apa sekalipun, tidak sahaja sempena April Fool, untuk tidak menggunakan idea yang sama berulangkali. Mengapa? Penggunaan idea sama berulang kali pasti membuatkan penonton jelak dan muak dengan konsep yang anda cuba sampaikan. Perkara lawak pun akan menjadi basi jika diulangi banyak kali. Contoh terbaik adalah kempen April Fool pada tahun 2015 dimana Google, Honda dan Twitter menggunakan konsep sama iaitu sekitar swafoto. Google menghasilkan kempen #ChromeSelfie, Honda memperkenalkan kereta khas dengan spesifikasi swafoto istimewa manakala Twitter melancarkan Twelfie Stick. Sudah semua berkonsep swafoto, siapa akan terhibur melihat kempen ini?

Gambar :Twitter

Boleh percaya ke ini?

Pilihan popular kebanyakan jenama adalah untuk perkenalkan produk jenaka atau produk olok-olok sempena kempen April Fool. Tetapi sebelum anda mula fikirkan nama untuk produk olok-olok anda, tanya soalan ini dahulu: adakah orang ramai akan percaya produk ini wujud? Ye lah, biarpun produk tipu jangan sampai tak masuk akal. Kalau tak masuk akal, awal-awal lagi tiada yang percaya kempen anda.

Contoh terbaik adalah kempen April Fool IKEA yang dicipta berbeza sekali dengan kempen April Fool Cuponation, IKEA tidak menggalakkan kanak-kanak bermain dan menyelamatkan alam sekitar. Sebaliknya, IKEA membuat keputusan untuk menggantikan taman permainan kanak-kanak dengan pod peribadi dimana kanak-kanak bebas menggunakan tablet atau iPad. Nampak macam betul kan? Terutamanya apabila melihat rungutan bertalu-talu netizen yang juga merupakan ibu bapa. Kalau tak percaya, tidaklah begitu marah para ibu bapa.

Gambar: Laman Facebook IKEA

Sebaliknya dibandingkan dengan kempen April Fool positif daripada Cuponation – memperkenalkan roda kanak-kanak yang mampu menghasilkan tenaga alternatif. Disini Cuponation menggalakkan kanak-kanak menjalani gaya hidup aktif sambil menghasilkan tenaga alternatif, tanpa perlu melekat pada tablet.

Jom Heboh.

Sekiranya tidak kelihatan apa-apa tentang kempen April Fool anda di media sosial, boleh kata hasil yang diinginkan tidak tercapai. Kenapa begitu? Kalau diperhatikan, kebanyakan kempen April Fool yang berjaya banyak dihebohkan di media sosial, di laman web penulis-penulis blog dan juga siaran media. Well, jika tiada siaran media pasti sukar dipercayai kesahihan cerita ini.

Contoh terbaik adalah kempen April Fool pada tahun 2013 – Scope Bacon Mouthwash. Kejayaan kempen pembersih mulut perisa bacon daripada Scope ini bukan sahaja disebabkan aspek perisa inovatif tetapi juga disebabkan cara kempen itu diperkenalkan – dari kempen PR, media sosial sehingga laman web khas Iklan Scope ini kelihatan sangat sahih sehingga memulakan perbualan di media sosial semata-mata mempersoalkan kebenaran pencuci mulut ini.

Gambar: Consumerist

Peka Sedikit Kepada Persekitaran

Bila kita berbicara tentang kepekaan terhadap kempen April Fool, maksudnya jangan abaikan soal sensitiviti berkait rapat dengan agama, bangsa, politik, malapetaka dan yang seangkatan dengannya. Mungkin tiada contoh kempen April Fool yang boleh digunakan sebagai contoh namun contoh pengabaian isu sensitiviti jelas terbayang dalam kempen H&M yang menjual baju yang dipakai anak-anak Afrika dengan slogan “Coolest monkey in the jungle.”

Gambar: Insider

 

Dengan itu, masih timbul isu samada kempen April Fool ini masih wajar dihasilkan semata-mata meningkatkan kesedaran jenama. Pada pendapat saya, sekiranya kempen tersebut tidak menimbulkan kurang senang dikalangan masyarakat, ianya harus dihasilkan. Namun sebagai pengamal perhubungan awam, kita harus sentiasa bersedia untuk hadapi pelbagai krisis yang mungkin datang seperti memberi harapan palsu kepada masyarakat, menerima serangan daripada netizen, dan tohmahan dari pelbagai sudut. Ini sesuatu yang tidak bijak yang mampu menjahanamkan sesuatu jenama secara kekal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *