Bahasa Malaysia

9 Kesilapan Penjenamaan Diri Terbesar Yang Perlu Dielakkan

Senaraikan elemen yang anda boleh hindarkan dalam membentuk strategi penjenamaan diri anda sendiri.

Kini kita berada di dunia yang terlalu bising dengan pelbagai bentuk benda yang disajikan kepada kita dari pelbagai jenis saluran media. Mana-mana jenama yang lemah pasti akan tenggelam begitu sahaja. Jadi, strategi yang mantap perlu dilakukan segera sekiranya anda mahukan jenama anda diingati oleh para pengguna di luar sana.

Untuk membantu anda, di sini saya senaraikan elemen yang anda boleh hindarkan dalam membentuk strategi penjenamaan diri anda sendiri. Dengan mengurangkan kesilapan ini, ia akan dapat membantu mengukuhkan lagi penjenamaan diri anda di mata orang ramai.

Produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Sebagai seorang perekabentuk grafik misalnya yang bergerak secara freelancer, nama anda sudah mula dikenali dikalangan di media sosial kegemaran anda. Anda peramah, baik hati dan sentiasa aktif di alam maya. Tetapi memandangkan perkhidmatan yang anda tawarkan itu diketahui oleh orang ramai kerana kualitinya yang rendah, tidak begitu kreatif dan sering lambat dalam menghantar tugasan, penjenamaan diri anda dengan sendirinya akan terhakis sedikit demi sedikit.

Tidak mahir menulis. Ini lagi menyedihkan, tidak mahir berbahasa Inggeris dan juga berbahasa Malaysia apabila menulis. Bercakap memang senang tetapi gagal dalam menulis sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Bayangkan para pengikut anda melihat anda sering mempunyai kesilapan dalam ejaan yang mudah. Ini amat memalukan dan seterusnya merosakkan jenama diri anda sendiri.

Mesej yang tidak konsisten. Anda menulis atau merakam video tentang pelbagai jenis topik. Ada topik tentang pemasaran, politik, alam sekitar, hartanah, internet, rumahtangga, percutian, makanan, karier dan lain-lain lagi. Orang di luar sana tidak faham apa yang anda cuba perjuangkan sebenarnya. Sebaiknya, anda perlu fokus kepada satu jenis topik sahaja. Kalau tentang grafik, bina kandungan yang menjurus kepada rekabentuk grafik sahaja.

Tidak berinteraksi apabila ditegur. Ramai juga yang bodoh sombong, tidak berusaha untuk membalas soalan, teguran dan pujian yang diberikan oleh para pengikut anda di media sosial. Memandangkan pengikut anda sudah mencecah 300,000, ini tidak bermakna anda tidak perlu membalas langsung komen yang ditulis kepada anda.

Tiada laman web peribadi yang ber-domain-kan nama sendiri. Terlalu mengharapkan platform media sosial satu strategi yang kurang bijak. Ia semakin hari semakin mahal, ditambah lagi dengan peraturan-peraturan ketat yang disediakan. Untuk penjenamaan diri yang berimpak tinggi, anda perlu mempunyai laman web yang ber-domain-kan nama sendiri dan letakkan semua kandungan anda seperti artikel, gambar, infografik atau video di sana. Gunakan media sosial hanya sebagai alat untuk menyebarkannya sahaja, tidak lebih dari itu.

Aura yang terlalu negatif di media sosial peribadi. Anda gelisah kerana setiap temuduga yang anda hadir semuanya tidak mempunyai jawapan yang positif. Sebagai seorang graduan yang hebat, prestasi anda dalam menjawab setiap soalan yang ditanya semuanya memberangsangkan. Kelayakan di atas kertas juga jauh melebihi orang lain yang biasa-biasa sahaja. Semuanya bagus tetapi permohonan anda masih gagal. Salah satu sebab mungkin individu-individu yang menemuramah anda tadi mendapati anda mempunyai aura yang terlalu negatif, apabila secara diam-diam mereka memantau aktiviti media sosial anda. Jadi hati-hati ketika menggunakan Facebook.

Mengabaikan maklumbalas negatif. Susah sangat untuk memohon maaf merupakan satu faktor kejatuhan mana-mana jenama peribadi. Lihat sahaja yang tengah menjadi sensasi sekarang. Cuba jangan panjangkan perkara-perkara negatif. Lebih baik mengaku salah dan meminta maaf secara terbuka kerana ia akan membantu menutup episod yang buruk tadi dengan lebih profesional. Buang yang keruh dan ambil yang jernih, kata pepatah Melayu.

Tiada bajet. Ini lagi satu kesalahan terbesar dalam membentuk penjenamaan diri. Anda tidak sepatutnya tidak mempunyai peruntukan kewangan langsung kerana hampir kesemua proses penjenamaan dan pemasaran jenama anda memerlukan wang.

Terasa diri sendiri macam bagus. Ini perkara yang sering terjadi apabila terasa diri sendiri itu sudah terlalu hebat ala-ala selebriti di televisyen, tampan setanding dengan pelakon terkenal, cantik dan menawan seperti lagak seorang peragawati majalah. Terasa diri sendiri sudah terlalu bagus tidak akan membantu dalam penjenamaan diri kerana yang menjadi para pengikut anda tadi, kesemuanya akan lari seorang demi seorang kerana sikap ‘hidung tinggi’ anda itu. Kurangkan ego anda sedikit sementara jenama anda belum terbantut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *