Bahasa Malaysia

Bagaimana Menggunakan Linkedin Untuk Membantu Karier Anda (Bahagian 1)

Bagaimana hendak menjual dengan cara tidak terlalu menjual dan status yang bagaimana untuk mendapatkan pengikut yang ramai.

Tahukah anda, kebanyakan ‘profesional’ di LinkedIn sebenarnya sama sahaja tahap keliru mereka dengan anda yang baharu sahaja membuka akaun anda di platform komuniti profesional terbesar dunia ini? Jadi, jangan risau dan segan. Di LinkedIn gambaran seolah-olah semua orang kelihatan amat berjaya dan lebih berjaya dari berjaya adalah sesuatu yang normal. Ramai dilihat seolah-olah menerajui sebuah syarikat yang besar, yang mempunyai berpuluh-puluh atau beratus pekerja di dalamnya dan mempunyai pendapatan yang lebih dahsyat dari orang biasa. Ramai juga yang amat takut untuk memulakan langkah pertama untuk berkenalan kerana perkara ini. Sebenarnya anda tidak perlu risau kerana realitinya jauh berbeza sekali.

Mereka juga memuatnaik pelbagai jenis kandungan di LinkedIn masing-masing. Ada yang rajin meletakkan gambar sendiri dengan kereta mewah, kitar semula video yang dicopy-paste dari orang lain, menasihati orang melalui kata-kata pujangga mereka, video mereka bercakap di dalam kereta, bilik bacaan mereka atau di taman bunga sambil menasihati orang tentang hidup, ada yang rajin menulis artikel dan pelbagai lagi jenis. Memuatnaik tentang agama masing-masing juga ramai. Ini perkara biasa di LinkedIn. Ini perkara biasa kerana masing-masing mahu menaikkan jenama diri masing-masing demi mendapatkan sesuatu seperti projek, pekerjaan ataupun ingin menjadi ikon di media sosial.

Tidak ramai yang tahu bagaimana cara yang terbaik untuk bergerak di LinkedIn, apakah yang perlu dilakukan setiap hari, bagaimana hendak menjual dengan cara tidak terlalu menjual dan status yang bagaimana untuk mendapatkan pengikut yang ramai. Terlalu ramai memuatnaik kandungan semata-mata untuk memuatnaik kandungan tanpa tujuan. Ini sangat merugikan masa dan tenaga.

Jadi apa yang perlu anda lakukan sebenarnya di LinkedIn? Sebelum anda bergerak di LinkedIn, langkah yang paling utama yang perlu dilakukan ialah dengan menganalisa diri anda terlebih dahulu. Fikirkan tentang pelan perancangan dan kekuatan dalaman dahulu. Sama seperti ingin membina mana-mana bangunan tinggi, foundation yang kukuh perlu dibina dahulu. Kenali diri anda dan tuliskan kesemuanya di nota. Ini yang patut anda lakukan terlebih dahulu.

Latar belakang anda. Tidak begitu ramai yang berbangga dengan latar belakang diri masing-masing. Maklumlah, datang dari kampung yang jauh dari bandar dan kini ingin mempunyai profil profesional di LinkedIn pula yang di dalamnya kebanyakannya terdiri daripada orang yang hebat-hebat. Tidak ada apa yang hendak dimalukan. Anda mungkin tidak sedar yang anda seorang sahaja yang mempunyai latar belakang yang unik seperti yang ada sekarang, yang tidak terdapat oleh orang lain. Tidak ada orang lain yang mempunyai latar belakang personaliti dan kekeluargaan yang sama dengan anda. Jadi, anda patut bersyukur. Tulis dalam kertas atau di mana-mana aplikasi nota di peranti digital anda.

Destinasi anda. Secara profesional, anda hendak ke mana dari sini? Ini persoalan yang paling penting sekali yang perlu dijawab. Mungkin anda perlu beberapa hari untuk memikirkan jawapan terbaik untuk persoalan ini. Tidak ada orang lain yang boleh menjawab bagi pihak anda kecuali diri anda sendiri. Jadi, jawab dengan tenang.

Kekurangan anda. Lihat apa yang kurang pada karier anda dari perspektif kredibiliti. Mungkin pengalaman yang tidak mencukupi dari segi tahun bekerja. Atau mungkin pengalaman yang tidak mencukupi dalam satu-satu bidang itu. Atau mungkin juga tiada pengalaman dan juga pengetahuan mendalam tentang sesuatu subjek yang ingin anda lakukan. Atau mungkin juga pangkat anda sekarang terlalu rendah untuk anda langkau ke jawatan yang anda inginkan itu. Atau mungkin juga anda tidak pandai menulis dalam Bahasa Kebangsaan, tetapi mahir dalam Bahasa Inggeris. Atau langsung tidak tahu menulis dalam kedua-dua bahasa, cuma pandai bercakapa sahaja. Cuba anda senaraikan apakah kekurangan tadi dan renungkan apakah potensi jawapan yang boleh anda fikirkan.

Kekuatan anda. Senaraikan juga kekuatan yang ada pada diri anda. Ini termasuklah dari aspek latar belakang, pendidikan, pengalaman, kursus-kursus yang pernah anda sertai, kerja separuh masa dan apa sahaja yang mampu membantu menaikkan kredibiliti anda di mata orang lain.

Pendidikan anda. Sekiranya ada pendidikan formal yang tinggi, masukkan dalam senarai. Jika tiada, tidak mengapa. Saya akan tunjukkan nanti bagaimana cara untuk membuatkan orang tidak berapa kisah sangat dengan pendidikan anda.

Minat dan kecenderungan anda. Ini penting. Senaraikan apakah minat dan kecenderungan yang ada pada anda. Maksud di sini, ketika masa lapang anda sering melakukan aktiviti-aktiviti ini. Senaraikan ia dan huraikannya satu persatu.

Rutin harian anda. Tidak kira sama ada anda kini bekerja ataupun masih mencari pekerjaan yang pertama, senaraikan juga aktiviti-aktiviti yang anda lakukan secara rutin dalam menghabiskan masa anda seharian, tidak kira sama ada secara fizikal ataupun di internet. Ada gunanya nanti.

Siapkan kredibiliti yang lengkap. Setelah semuanya selesai, sediakan satu ringkasan profil dalam 500 perkataan dalam bentuk cerita. Ia perlu ringkas, tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang. Ia perlu padat dengan maklumat dan mempunyai jalan cerita yang menarik. Masukkan faktor emosi di dalamnya, seperti sedih bercampur kelakar. Tidak perlu berpusing terlalu jauh, atau meroyan lebih-lebih. Cukup hanya dengan fakta yang diterjemahkan dalam bentuk emosi.

Setelah semuanya lengkap, dalam artikel seterusnya iaitu di Bahagian 2 nanti, saya akan kongsikan bagaimana anda perlu memasukkan kesemuanya ini di LinkedIn.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *