Bahasa Malaysia

Bagaimana Menggunakan Google Untuk Menulis Tajuk Blog Yang Memberikan Kedudukan Tinggi Pada Ranking

Tajuk yang baik dan berkualiti tinggi bukan sahaja akan menarik perhatian para pembaca, tetapi juga enjin pencarian seperti Google.

Menulis artikel atau blog yang menarik tidak akan lengkap sekiranya anda tidak mempunyai tajuk yang menggiurkan. Tanpa kehebatan tajuk, tiada seorang pun yang akan berhenti untuk terus menatal atau scroll pada paparan News Feed mereka. Begitu juga pada perenggan pertama artikel anda, kedua sehingga perenggan terakhir. Sekiranya perenggan pertama anda membosankan, tiada siapa yang akan membaca artikel anda pada perenggan kedua, ketiga sehingga habis. Jadi semuanya bermula pada tajuk.

Tajuk yang baik dan berkualiti tinggi bukan sahaja akan menarik perhatian para pembaca, tetapi juga enjin pencarian. Sebelum kita berbincang bagaimana untuk menulis tajuk yang berkualiti, saya ingin ceritakan terlebih dahulu mengapa satu-satu artikel itu mempunyai kedudukan ranking yang tinggi.

Terdapat dua elemen utama yang mampu meletakkan artikel yang anda tulis itu pada mukasurat pertama dan kedua di Google.

Elemen yang pertama ialah menulis secara konsisten setiap masa kata-kata kunci dalam setiap artikel yang anda tulis. Contohnya, sekiranya anda seorang pemasar digital seperti saya, penggunaan perkataan seperti pemasaran, pemasaran digital, media sosial, penjenamaan dan sebagainya dalam setiap artikel yang ditulis amat penting. Google akan melihat anda sebagai authority dalam industri pemasaran digital. Menjadi seorang authority – syarat ini sangat-sangat penting untuk dipenuhi sekiranya artikel-artikel anda ingin berada pada halaman pertama Google.

Elemen kedua ialah mendapatkan sebanyak mungkin pautan luar, yang dikenali sebagai backlink, daripada laman-laman web di luar sana. Apabila anda menulis sesuatu yang memberikan manfaat, menarik dan perkara-perkara yang boleh dipelajari oleh orang lain, maka dengan sendirinya laman blog atau laman web anda akan menjadi rujukan orang lain. Ramai yang datang untuk membaca apa yang anda tulis. Akan ada juga sesetengah pengunjung yang membaca akan mempunyai inspirasi untuk menulis di laman blog mereka sendiri tentang sesuatu topik yang hampir sama, dan akan menyediakan pautan-pautan atau backlink yang apabila diklik akan dibawa ke laman web anda. Penulisan mereka menyediakan rujukan kepada penulisan anda. Lebih ramai orang yang menulis dan menyediakan pautan-pautan yang kembali ke laman web anda, dengan sendirinya laman web anda akan diberikan kedudukan ranking yang tinggi.

Jadi, bagaimana pula untuk mempunyai tajuk artikel atau blog yang menarik dan boleh mempengaruhi kedudukan ranking dalam masa yang secepat mungkin? Terdapat tiga taktik penulisan yang anda boleh gunakan. Ini adalah rahsia besar saya yang hendak dihadiahkan kepada anda.

Selit kata-kata kunci pada tajuk. Para pengguna laman pencarian Google akan membuat pencarian melalui soalan-soalan yang akan membawa mereka kepada maklumat yang dicari. Kemudian Google akan menyediakan senarai cadangan pada paparan yang ditunjukkan kepada mereka. Perkataan-perkataan yang ditulis biasanya ialah kata kunci kepada apa yang ingin mereka cari. Jadi, anda perlu memasukkan sebanyak mungkin set kata-kata kunci yang terdapat di dalam kandungan artikel anda, ke dalam tajuk anda. Cuma pastikan tajuk anda tadi tidak menjadi terlalu panjang dan berjela-jela.

Guna set perkataan yang ada pada mukasurat pertama. Sekiranya anda tidak pasti bentuk penulisan untuk tajuk artikel anda, cara terbaik ialah menulis kata-kata kunci anda ke dalam kotak pencarian di Google. Kemudian lihat apakah bentuk penulisan tajuk-tajuk yang ia cadangkan pada paparan skrin anda. Senarai ini mampu memberikan anda idea untuk tajuk artikel anda itu. Sebaiknya gunakan set perkataan pada tajuk artikel-artikel yang dicadangkan untuk tajuk artikel anda, cuma ubah sedikit agar ia bersesuaian dengan kandungan artikel yang anda tulis itu.

Emosi. Kawal emosi pembaca dengan perkataan yang memancing mereka untuk menjenguk ke perenggan pertama. Pastikan ada unsur-unsur yang mengajak mereka, seperti ini; 5 Taktik Ini Mampu Menjadikan Anda Seorang Ikon Media Sosial, atau Jangan Biarkan Laman Web Anda Tidak Dijumpai Sesiapa Pun. Lakukan Ini Cepat.

Ini 3 rahsia penting bagaimana anda boleh menulis tajuk artikel anda. Saya menggunakan ketiga-tiga elemen ini untuk setiap artikel yang ditulis. Jadi, jangan lupa pertolongan kecil ini bila anda sudah kaya dan berjaya nanti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *