Bahasa Malaysia

Jawab Soalan Ini Sebelum Rangka Strategi Penjenamaan

Soalan psikologi yang perlu anda jawab dalam proses anda untuk bukan sahaja mengenali jenama anda.

Strategi penjenamaan tidak kira sama ada untuk diri sendiri ataupun untuk produk yang anda jual, tidak akan berjaya sekiranya anda tidak tahu dengan mendalam siapa diri anda ataupun produk yang anda jual terlebih dahulu. Sebab itu sekiranya anda akan perasan, sesuatu bahan pemasaran yang dilakukan oleh mana-mana jenama yang tidak ‘kuat’ akan membuatkan orang ramai menjadi keliru tentang mesej yang ingin disampaikan. Apabila orang menjadi keliru, secara tidak langsung ia akan menganggu proses mereka untuk mengingati jenama tadi untuk jangka masa yang lama.

Bahan-bahan pemasaran yang ditulis dan direkabentuk akan bergantung kepada strategi penjenamaan anda. Sekiranya ia ‘longgar’ maka mesej yang anda cuba sampaikan kepada orang ramai melalui bahan-bahan pemasaran juga akan ‘longgar’. Jadi, soalan-soalan ini perlu anda jawab terlebih dahulu untuk mengetatkan semua skru yang ada.

Mengapa mereka perlu membeli dari anda? Soalan ini yang paling sukar sekali. Biasanya anda akan menjawab itu dan ini sebagai jawapan tetapi anda tidak sedar yang pemilik jenama lain juga mempunyai jawapan yang sama seperti anda. Ini tidak akan membantu. Jadi, anda perlu mempunyai satu jawapan yang kukuh mengapa mereka perlu membeli dari anda dan bukannya dari orang lain? Mesti ada sesuatu yang unik tentang diri anda atau produk anda yang tidak terdapat pada orang lain.

Adakah mereka akan berfikir dengan hati? Penjenamaan yang baik biasanya akan membuatkan orang berfikir dengan emosi, iaitu dengan hati, sebelum membuat pembelian. Faktor membuat keputusan untuk membeli dengan hati amat penting kerana pembelian hampir pasti tidak akan berlaku sekiranya keputusan dibuat dengan fikiran. Mengapa? Mudah, kerana setiap apa yang kita sendiri beli, biasanya akan dilakukan dengan emosi. Kita biasanya akan membeli sesuatu yang kita sebenarnya tidak perlu. Kita biasanya akan membeli sesuatu yang kemudiannya akan menyesal selepas beberapa ketika. Sebab ini juga kadang-kadang kita sendiri pun tidak berapa ingat ke mana perginya semua duit kita. Ini disebabkan oleh naluri yang kuat pada ketika keputusan pembelian itu dilakukan. Dan naluri itu datangnya dari hati.

Apakah yang akan membuatkan mereka memasukkan produk anda ke dalam rutin harian mereka? Dahulu, perkhidmatan perkongsian kereta Grab tidak pernah wujud dalam rutin harian kita. Ataupun membuat tempahan hotel tidak pernah kita lakukan melalui portal-portal seperti Booking.com, Agoda, Trivago dan juga Airbnb. Dahulu biasanya akan memandu sendiri untuk ke sesuatu tempat, menaiki teksi ataupun pengangkutan awam lain. Tetapi sejak Grab diperkenalkan kepada kita, kini kita menggunakannya hampir setiap masa. Malah sekiranya tiada Grab kini, rutin kita akan rosak terus pada hari itu. Begitu cara yang paling efektif untuk mana-mana jenama untuk kekal di dalam fikiran para pelanggan mereka, dengan menjadikan produk mereka sebahagian dari rutin para pelanggan mereka. Dengan kaedah yang sama, anda perlu memikirkan bagaimana para pengguna di luar sana boleh memasukkan produk atau perkhidmatan anda ke dalam rutin mereka.

Adakah ia akan membuatkan mereka risau tentang kehilangan sesuatu? Dalam bahasa Inggeris, ia konsep ini dikenali sebagai a fear of loss. Para pengguna takut atau risau akan kehilangan sesuatu yang mereka sayang sekiranya tidak menggunakan produk atau perkhidmatan yang anda sediakan. Anda perlu fikirkan apakah kekuatan dan kebaikan yang produk anda miliki sehingga mampu membuatkan para pengguna untuk tidak kehilangan sesuatu benda. Anda juga perlu fikirkan benda apa yang mereka akan kehilangan itu.

Adakah ia akan menjanjikan sesuatu? A promise to gain, konsep ini perlu anda wujudkan agar mereka dijanjikan akan memperolehi sesuatu manfaat dari produk anda.

Bagaimana untuk memberikan pengalaman manis kepada mereka? Orang ramai akan datang lagi dan lagi sekiranya pengalaman mereka amat bermakna dan manis ketika menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Bukan itu sahaja, mereka juga akan mengajak rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang mereka kenali untuk menggunakan produk anda.

Keenam-enam ini adalah soalan psikologi yang perlu anda jawab dalam proses anda untuk bukan sahaja mengenali jenama anda, tetapi juga memastikan mesej yang hendak sampaikan yang dapat diterima dengan mudah. Apabila ia mudah diterima, mudah difahami dan mudah dalam segala-galanya, proses untuk mengingati jenama anda juga akan lebih mudah.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *