Bahasa Malaysia

Semua Sudah Dilakukan, Kenapa Masih Tiada Jualan?

Hanya yang mempunyai kesabaran yang tinggi, yang akan menikmati kejayaan besar.

Bayangkan senario ini. Anda seorang jejaka yang tidak berapa tampan sangat, biasa-biasa sahaja. Tidak tinggi dan tidak juga pendek. Tidak kurus dan tidak juga gemuk. Kulit pun tidaklah terlalu putih dan tidak juga terlalu gelap. Sawo matang, kata orang. Sebenarnya anda baharu sahaja berpindah ke bandar ini beberapa hari lepas. Barang di rumah pun belum habis kemas lagi.

Satu hari dalam sebuah majlis yang dianjurkan oleh seorang rakan, anda ternampak seorang gadis yang cantik menawan. Anda terus jatuh hati hanya dengan melihat gadis itu dari jauh. Anda tidak pernah rasa sebegini sebelum ini, ini kali pertama. Dia kelihatan begitu anggun sekali di mata anda. Alangkah baiknya kalau dia boleh menjadi isteri aku, bisik hati anda.

Anda ingin memulakan langkah untuk mengenali gadis tadi, dan seterusnya ingin melihat gadis itu juga turut sukakan anda. Tidak ada gunanya kalau anda hanya bertepuk sebelah tangan. Dalam kepala anda, terdapat beberapa cara yang boleh anda lakukan. Yang penting, di penghujung perjalanan ini, yang anda tahu gadis itu akan menyukai anda juga. Anda tahu bukan senang untuk membuatkan orang yang tidak mengenali anda untuk bukan sahaja menyukai anda tetapi juga jatuh cinta dengan anda.  Anda juga tidak tahu berapa lama yang diperlukan untuk perjalanan ini, tetapi anda tahu ia sangat-sangat berbaloi. Yang anda tahu, ia akan mengambil masa. Mungkin seminggu, sebulan ataupun tahun.

Situasi di atas adalah senario sama yang boleh digunapakai untuk pemasaran. Bukan senang untuk membuatkan orang membuat keputusan untuk membeli produk kita, terutamanya apabila jenama anda langsung mereka tidak pernah dengar sebelum ini. Mereka langsung tidak perasan yang produk anda wujud sebenarnya di atas muka bumi Malaysia ini. Jadi kebarangkalian untuk mereka terus membeli sesuatu benda yang mereka tidak pernah jumpa, tidak pernah dengar, tidak pernah dicadangkan oleh rakan-rakan mereka ataupun mereka tidak pernah guna, adalah amat tipis.

Untuk membuatkan orang di luar sana perasan tentang produk jenama anda, faham tentang produk jenama anda, mengapa mereka perlu membeli produk jenama anda dan akhirnya membeli produk jenama anda, ia akan mengambil masa. Malangnya tidak ramai usahawan yang sanggup bersabar. Hanya yang mempunyai kesabaran yang tinggi, yang akan menikmati kejayaan besar.

Sebab itu, apabila saya sering mendengar banyak pemilik jenama terutamanya usahawan kecil dan sederhana yang sering mengeluh tentang tiada jualan apabila sesuatu strategi pemasaran itu dijalankan, saya berpendapat yang mereka ini tidak faham sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan pemasaran. Kalau anda betul-betul perhatikan mana-mana jenama yang besar dan berjaya, kebanyakannya telah pun mencecah usia tidak kurang dari 2 tahun dan ada yang menunggu sehingga 10 tahun untuk mereka sampai ke tahap sekarang. Adakah anda sanggup berhempas-pulas sekurang-kurangnya selama 2 tahun atau lebih?

Contoh yang paling mudah yang boleh saya gunakan di sini ialah jenama pakaian berprestasi tinggi Under Armour. Ia dibina oleh Kevin Plank, seorang bekas pemain American football di Universiti Maryland pada tahun 1996. Pada asalnya, Kevin dan pasukannya cuma ingin mempunyai kemeja T yang berkualiti tinggi, yang mampu menyerap peluh pada kadar yang lebih cepat dari biasa. Kevin sudah bosan dengan kemeja T yang ada kerana perlu ditukar beberapa kali apabila peluh tidak diserap dengan baik. Jenama ini memang terlalu kecil kerana ia bermula dari rumah. Tetapi semua itu berubah apabila kelibat jenama ini dilihat oleh para peminat filem The Replacement yang dibintangi oleh Keanu Reaves, dan Any Given Sunday yang dilakonkan oleh Jamie Foxx, pada tahun 1999. Jenama Under Armour sebenarnya langsung tidak pernah dikenali di Malaysia sebelum ini. Ia hanya mula mendapat tempat di hati peminat sukan dunia, khususnya di Malaysia pada tahun 2015 apabila ia dipaparkan dalam filem Avengers: Age of Ultron, yang mana karakter-karakter utama dilihat memakai pakaian berjenama itu.

Jadi, sekiranya anda baharu sahaja menempuhi bulan pertama dalam perlaksanaan strategi pemasaran anda, janganlah emosi sangat. Teruskan dahulu dan sedikit demi sedikit buat perubahan pada strategi yang ada sehingga anda betul-betul mendapat momentum yang terbaik. Ingat, pemasaran ini adalah satu perlumbaan maraton dan bukannya larian pecutan.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *