Bahasa Malaysia

Bagaimana Menggunakan LinkedIn Untuk Membantu Karier Anda (Bahagian 2)

LinkedIn direka khusus untuk para profesional berinteraksi, berkomunikasi dan menjalinkan hubungan profesional di antara satu sama lain.

Anda perlu tahu, LinkedIn tidak sama seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram. Ia direka khusus untuk para profesional berinteraksi, berkomunikasi dan menjalinkan hubungan profesional di antara satu sama lain. Objektif mereka adalah satu, iaitu mencapai sasaran profesional masing-masing. Bagi mencapai objektif anda, tidak kira sama ada untuk mendapatkan pekerjaan baharu, menukar pekerjaan kepada yang lebih baik, untuk mendapatkan peluang perniagaan mahupun ingin membina authority penjenamaan diri anda, keyakinan dari orang lain perlu diperolehi terlebih dahulu.

Tanpa keyakinan atau trust, anda tidak akan mampu bergerak jauh, percayalah. Jadi bagaimana cara keyakinan diperolehi dari LinkedIn? Mudah sahaja, ia bermula di profil anda. Cara memasukkan maklumat ke dalam profil anda sangat kritikal. Setiap perkataan dan ayat yang digunakan di profil sangat-sangat penting. Dalam bahagian pertama artikel saya, saya telah berkongsi apa yang perlu anda sediakan terlebih dahulu sebelum meletakkan maklumat itu di profil LinkedIn.

Di sini, saya akan sediakan bagaimana cara yang terbaik untuk memasukkannya.

Gambar Profil. Adakah anda rasa anda seorang yang kacak dan bergaya, ataupun cantik menawan? Ya, soalan ini agak lawak untuk anda tetapi bagi saya ia penting untuk memastikan orang yang melihat gambar anda akan terus kekal berada di halaman LinkedIn anda, ataupun terus keluar ke tempat lain. Jika anda merasakan yang anda berada di golongan yang mempunyai wajah yang menawan kalbu, sila masukkan gambar anda yang beresolusi tinggi di ruangan gambar. Pastikan juga gambar itu tidak penuh sehingga ke kaki, cukup setakat paras dada sahaja. Sekiranya gambar anda penuh sehingga nampak kaki, muka anda tidak akan dapat dilihat kerana terlalu kecil. Lemparkan sedikit senyuman, sedikit sahaja. Tidak perlu terkinja-kinja. Pakaian perlu formal. Bagi lelaki berkemeja, dan perempuan pula perlu berpakaian ke pejabat. Tali leher, sekiranya ada pun bagus. Kalau tidak ada, tidak mengapa. Latar belakang perlu putih agar muka anda akan terserlah. Sekiranya ada pemandangan di belakang, mereka tidak akan fokus kepada anda, tetapi di belakang anda.

Bagi yang berperwatakan tidak menarik seperti saya, anda tidak boleh melakukan perkara yang sama dengan rakan-rakan lain yang berwajah jambu dan cantik. Jika anda lakukan juga, pengunjung tidak akan lama di profil anda. Lumrah manusia, mereka sentiasa akan menghakimi, bias dan stereotype apabila melihat fizikal seseorang. Saya akan meletakkan gambar hitam putih, agar gambar saya kelihatan agak kabur. Ia juga berunsur klasik, yang akan bertahan lama.

Pilih gambar yang sesuai. Jangan kerap menukar gambar profil kerana proses orang untuk mengingati anda akan mengambil masa yang amat lama. Cari gambar yang sesuai dan gunakan gambar itu selama mungkin.

Headline dan maklumat latar belakang yang lain. Saya ingin menasihatkan anda agar mempunyai headline dan maklumat latar belakang yang ringkas, mudah difahami, senang diingati dan yang paling penting ia perlu ringkas. Anda tidak perlu bercerita tentang semua perkara tentang diri anda. Apabila terlalu banyak perkara yang anda ceritakan, semakin berserabut pemahaman orang yang membacanya. Jadi, cuma ceritakan apa yang mereka perlu tahu sahaja. Cukup setakat itu. Ini akan mengundang pertanyaan untuk anda. Apabila mereka ingin bertanya lebih-lebih, mereka akan cuba membuat temujanji dengan anda. Konsep ini sama seperti anda ingin mengurat wanita atau jejaka yang anda suka. Apabila anda terlalu bercerita sehingga habis tentang diri sendiri, tiada apa lagi yang ada untuk diceritakan selepas itu. Ini akan menjadikan anda seorang yang bosan. Tiada siapa yang sukakan orang yang bosan. Jadi, anda perlu mempunyai rahsia. Hany dengan kelihatan agak misteri orang pasti akan cuba mengorek lebih dalam tentang diri anda. Anda akan membuatkan orang datang sendiri kepada anda tanpa perlu menjual diri sendiri.

Lagi satu, cuba gunakan set perkataan-perkataan yang mudah dan ringkas. Ayat juga perlu pendek tetapi padat dengan isi. Penulisan anda perlu mengikut perspektif pembaca, bukan dari perspektif sendiri. Apa yang mereka akan dapat, atau manfaat yang mereka akan perolehi dari profil anda – ini yang perlu anda tulis. Masih kurang jelas?

Macam ni. Sekiranya anda adalah sebuah telefon pintar iPhone, anda tidak perlu bercerita tentang fungsi butang itu dan ini, berapa lama bateri akan dapat bertahan, saiz memori yang ada dan sebagainya. Siapa yang membaca ini terus akan menguap. Sebaliknya ceritakan apakah bentuk pengalaman manis yang bakal mereka perolehi sekiranya mereka menggunakan iPhone. Nampak bezanya?

Ingat tak saya akan menyuruh anda menyiapkan kredibiliti ringkas tentang diri anda pada artikel pertama dahulu? Ini masanya untuk anda gunakannya, cuma keep it short but sweet. Kekurangan diri sendiri itu tidak perlu anda ceritakan, cukup sekadar persediaan sekiranya ditanya.

Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Sebaik-baiknya anda perlu menggunakan bahasa Inggeris kerana pengguna LinkedIn tidak terhad di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia. Anda mungkin akan mempunyai rangkaian profesional dari negara-negara lain juga. Jadi mahu tidak mahu, keperluan untuk anda mahir berbahasa Inggeris sangat kritikal. Ini tidak bermaksud kita tidak menghormati bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda kita. Bukan begitu, cuma kredibiliti anda akan terjejas teruk sekiranya orang di luar sana dapat menghidu kelemahan anda melalui ejaan dan tatabahasa bahasa Inggeris anda salah dan terlalu teruk untuk dimaafkan. Mereka akan bertanya pada diri sendiri, “brader ni tak sekolah ke sampai nak tulis bahasa Inggeris pun tak pandai. Dah la cakap pun tak pandai, tulis pun gagal juga”. Apabila situasi ini berlaku, mereka akan terus skip anda. Anda tidak mahu situasi ini berlaku pada diri anda.

Pautan URL. Pautan yang lebih pendek akan melonjak kredibiliti anda ke tahap yang lebih tinggi. Betulkan pautan url anda kepada yang lebih personalise. Buang kesemua nombor-nombor yang terdapat secara default itu, dan tinggalkan hanya nama anda sahaja. Sebaik-baiknya anda letak nama penuh yang ringkas, dan cuba samakan username LinkedIn anda dengan rangkaian media sosial yang lain juga agar online presence anda kelihatan seragam. Dengan kata lain, ia akan menjadi seperti ini;

  1. linkedin.com/in/azleenabdrahim
  2. facebook.com/azleenabdrahim
  3. twitter.com/azleenabdrahim

Ini sedikit sebanyak akan memudahkan komuniti untuk mengingati anda tidak kira di platform mana juga mereka berada.

Artikel dan aktiviti. Sekiranya anda mempunyai pengalaman kerja yang tidak menarik, compang-camping, industri yang tidak konsisten ataupun tiada pengalaman langsung, maka dengan sendirinya bahagian penulisan artikel dan aktiviti ini sangat-sangat penting. Mengapa? Di bahagian ini sahaja anda boleh menarik perhatian mereka dari melihat langkah sumbang anda sebelum ini ataupun tiada pengalaman yang menarik untuk diceritakan. Dengan kata lain, buatkan mereka melihat anda dari perspektif penulisan anda. Pastikan mereka melihat anda sama seperti anda melihat diri anda sendiri. Cuma ia perlu dilakukan dengan cara menulis. Bagi saya, seelok-eloknya anda perlu menulis secara konsisten. Kalau anda menulis seminggu satu artikel, maka ia perlu diteruskan pada minggu-minggu yang seterusnya.

Aktiviti juga penting. Anda perlu memuatnaik status yang bermanfaat kepada orang lain, dan elakkan bercakap tentang diri sendiri. Kekal konsisten dengan memuatnaik status anda setiap hari. Satu status sehari, atau 2-3 status sehari sudah mencukupi. Tidak perlu terlalu banyak. Apakah yang boleh anda muatkan?

Lihat kembali ke arah mana anda ingin karier anda pergi. Dengan berpandukan arahtuju tadi, seragamkan status-status anda mengikut tujuan tadi. Kalau anda taksub dalam bidang pemasaran digital seperti saya, fokus kepada topik-topik yang berkisar tentang pemasaran digital sahaja. Ini termasuklah penjenamaan, blogging, media sosial dan lain-lain. Saya tidak pernah menulis tentang politik, keagamaan dan topik-topik lain yang saya tidak mahir.

Untuk membuatkan orang lain dapat melihat status anda setiap hari di LinkedIn, anda tidak perlu memuatnaik status baharu setiap minit. Cukup sekadar 1-2 sahaja sehari, tetapi bina engagement yang tinggi. Engagement di sini bermaksud setiap status yang anda muatnaik mempunyai jumlah like, comment dan share yang tinggi. Dengan sendirinya status anda and sentiasa berada di dalam newsfeed LinkedIn selama mungkin. Bagaimana untuk dapatkan engagement yang tinggi? Anda perlulah menderma like, comment dan share anda terhadap status orang lain terlebih dahulu. Baharu mereka akan datang ke status anda. Kalau tidak, tiada siapa pun yang akan datang menjenguk.

Pengalaman atau experience. Di bahagian ini, anda tidak perlu bercerita seolah-olah LinkedIn ini resume kedua anda. Ini bukan tempat untuk menulis resume, jadi jangan bosankan profil LinkedIn anda. Sebaliknya ini adalah tempat terbaik untuk anda membina jenama diri anda sendiri. Di sini juga anda perlu mengambil kesempatan untuk membina profil yang terbaik dan berkualiti untuk diri anda. Keperluan untuk anda mempengaruhi pembaca melalui emosi sangat penting. Jadi, cuma letakkan pengalaman yang ada sekarang sahaja. Sekiranya anda mempunyai pengalaman terdahulu yang selaras dengan halatuju dan objektif profesional anda, boleh juga dimasukkan. Yang lain-lain, tidak perlu. Berserabut nanti.

Pendidikan atau education. Ini juga perlu ringkas. Mereka tidak mahu tahu di mana anda bersekolah tadika atau sekolah rendah. Cukup setakat meletakkan nama universiti, atau nama institusi pengajian anda yang terakhir. Itu sahaja. Sekiranya mereka memerlukan lebih maklumat seperti nama penuh sekolah tadika anda yang warna-warni itu, mereka boleh menghubungi anda secara terus.

Skills dan endorsement. Bahagian ini agak penting untuk 10 saat pertama, yang dikenali juga sebagai first impression. Keperluan untuk mendapatkan seberapa banyak endorsement bagi setiap kemahiran yang anda ada sangat penting. Lebih banyak endorsement, lebih bagus. Perlu diingat, tidak perlu meletakkan kemahiran yang terlalu banyak. Sederhana sahaja sudah mencukupi.

Recommendation. Jangan meminta sebarang recommendation dari orang lain, walaupun orang itu mengenali diri anda. Biarkan ia kosong sekiranya tiada siapa yang ingin membuat recommendation di profil anda. Kalau ada, bagus. Kalau tidak ada, tidak mengapa. Just move on.

Pencapaian atau accomplishment. Saya seorang yang biasa-biasa sahaja, tidak mempunyai pencapaian apa-apa pun. Tetapi disebabkan saya dijumpai oleh editor Utusan Malaysia pada tahun 2015 dahulu, saya dijemput untuk menjadi penulis jemputan dan mempunyai ruangan sendiri setiap minggu. Sejak dari itu, saya meletakkan setiap artikel saya di Utusan Malaysia di ruangan ini. Ini sahaja pencapaian yang saya ada. Oleh itu, tidak mengapa sekiranya anda tiada sebarang pencapaian untuk ditonjolkan. Kalau ada pun, anda perlu pastikan yang pencapaian tadi selari ataupun tidak dengan halatuju profesional anda. Kalau ya, baharu anda boleh masukkan. Kalau tidak, saya nasihatkan agar anda tidak memasukkannya kerana ia akan membuatkan orang yang membaca menjadi keliru.

Keselamatan atau security. Tidak perlu meletakkan nombor telefon, alamat rumah atau maklumat-maklumat yang terlalu peribadi. Cukup sekadar alamat e-mel dan alamat pejabat sahaja. Dalam dunia yang orang tidak siuman terlalu ramai, anda perlu sentiasa berwaspada. Walaupun ada yang berjawatan tinggi di syarikat-syarikat besar dan terkenal sekalipun, tahap kesiuman mereka ada yang diragukan. Orang gila zaman sekarang ini bermacam-macam jenis, jadi berhati-hati.

Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah, melalui LinkedIn anda akan mampu memastikan pembaca faham di mana kedudukan jenama anda berada di dunia profesional yang serba luas ini. Mereka akan tahu anda sebagai satu jenama akan berada di bidang mana, atau di industri mana. Apakah yang anda perjuangkan. Jawapannya perlu ada hanya satu sahaja. Ini kerana minda manusia tidak akan dapat mengaitkan anda dengan lebih dari satu benda atau perkara. Sebagai contoh, kalau mereka melihat nama Azleen Abdul Rahim, mereka akan ingat tentang pemasaran digital. Kalau mereka ternampak nama Tan Sri Tony Fernandes, mereka akan ingat penerbangan tambang murah.

Kalau mereka melihat nama anda, apakah yang anda ingin mereka ingat?

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *