Bahasa Malaysia

Bagaimana Proses Pembeli Memilih Jenama Produk Berlaku?

Proses pembelian sebenarnya bermula jauh lebih awal dari tarikh sesuatu produk itu dibeli.

Menurut satu syarikat penyelidikan pemasaran, Wavemaker, lebih separuh dari semua proses pembelian yang wujud, para pembeli sudah pun mempunyai idea dan tahu jenama apa yang hendak dibeli lebih awal dari hari pembelian dilakukan. Yang tinggal cuma, apakah produk atau perkhidmatan yang hendak dibeli dari jenama tadi, itu sahaja.

Kalau ikut pengalaman peribadi saya, memang betul proses pembelian sebenarnya bermula jauh lebih awal dari tarikh saya ke kedai untuk membeli sesuatu produk itu. Ia sebenarnya berlaku jauh lebih awal dari tarikh keputusan jenama apakah yang patut dibeli, mengapa jenama itu patut dibeli, bagaimana jenama itu patut dibeli, bila jenama itu patut dibeli dan dimana jenama itu patut dibeli.

Selain dari ini, fikiran manusia secara lumrahnya akan sentiasa terlupa. Mereka cuma akan ingat perkara-perkara yang mudah untuk diingati dan penting sahaja. Jadi proses ingatan ini perlu dilakukan dengan berterusan dan tidak boleh berhenti. Bukan sahaja untuk membuatkan mereka ingat sahaja penting, tetapi memastikan yang mereka sentiasa ingat tentang jenama anda juga sama pentingnya. Kedua-dua ini boleh dilakukan melalui strategi penjenamaan dan pemasaran yang baik.

Jadi, amat malang sekali sekiranya anda sebagai pemilik produk atau perkhidmatan tertentu tidak mempunyai strategi penjenamaan dan pemasaran yang baik dan berimpak tinggi. Ini kerana tidak ramai atau tidak akan ada sesiapa pun yang akan membeli produk anda memandangkan mereka tidak pernah tahu yang anda sebenarnya wujud. Mereka tidak pernah nampak atau perasan jenama anda di mana-mana. Apabila mereka tidak nampak, mereka tidak akan kenal siapa anda. Dan apabila mereka tidak kenal siapa anda, mereka tidak akan dapat menjawab mengapa mereka perlu membeli produk anda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *