Bahasa Malaysia

Bagaimana Membina Jabatan Pemasaran Yang Benar-Benar Kuat

Anda perlu sedikit kepakaran dalam membuat pilihan orang yang bagaimana yang sesuai untuk dijadikan sebahagian dari pasukan pemasaran anda.

Bergantung kepada peruntukan kewangan anda, untuk membina satu pasukan pemasaran yang benar-benar kuat tidak begitu susah. Anda tidak perlu menjadi pakar pemasaran pun untuk mempunyai pasukan yang kuat. Sebaliknya, anda perlu sedikit kepakaran dalam membuat pilihan orang yang bagaimana yang sesuai untuk dijadikan sebahagian dari pasukan pemasaran anda.

  1. Pakar strategi. Langkah kanan akan berlaku apabila anda mempunyai orang yang sesuai untuk melakar strategi pemasaran syarikat. Individu ini akan menjadi penggerak kepada keseluruhan pasukan pemasaran. Tugasan ini amat-amat berat. Strategi yang kuat perlu dirancang agar setiap aktiviti pemasaran akan membantu meningkatkan jualan produk yang ditawarkan. Dikenali sebagai pakar strategi atau the strategist, dia perlu membuat keputusan dengan tepat bersandarkan logik, praktikal dan bersesuaian dengan trend dan tingkahlaku pengguna. Individu ini perlu mahir untuk memandang ke hadapan, bijak memerhati pergerakan trend pembelian yang wujud pada masa kini, trend yang bakal berlaku dan bagaimana para pengguna membuat pembelian dan sebagainya. Dia juga perlu tahu segala teknik, taktik atau skill dan selok-belok berkaitan dengan pemasaran, penjenamaan dan proses secara menyeluruh yang perlu ada untuk menukarkan para pengguna yang tidak dikenali kepada pembeli yang membayar untuk produk dan perkhidmatan yang syarikat tawarkan.
  2. Media sosial. Individu ini pula akan memberikan tumpuan khusus kepada semua aktiviti di rangkaian media sosial. Tidak kira sama ada melalui platform Facebook, Twitter, Instagram, LinkedIn, Snapchat, YouTube, Google Plus dan sebagainya, individu ini perlu tahu bagaimana cara terbaik untuk mengambil kesempatan ke atas fungsi-fungsi setiap platform ini. Serba-serbi tentang fungsi setiap platform ini perlu difahami dan salah satu daripadanya ialah tentang pembayaran untuk iklan. Dia juga bakal bertindak sebagai khidmat pelanggan, yang mana setiap pertanyaan atau maklumbalas orang ramai akan sampai kepada beliau dahulu.
  3. SEO. Search engine optimisation bukan satu perkara yang mudah. Persoalan-persoalan seperti bagaimana untuk lebih kerap dijumpai di enjin pencarian seperti Google, Yahoo dan Bing, bagaimana untuk mendapatkan ranking yang lebih tinggi dan apakah yang perlu dilakukan untuk enjin-enjin pencarian ini melihat jenama anda sebagai satu authority dalam industri anda, perlu dijawab oleh individu yang menjaga bahagian SEO Ia juga termasuklah taktik untuk pemasaran semula, atau remarketing – iaitu kaedah yang sering digunakan oleh jenama-jenama besar yang membuatkan iklan tertentu mengikut anda di mana sahaja anda pergi tidak kira di mana sahaja. Iklan tersebut akan berada di hadapan anda walaupun anda bertukar-tukar dan singgah di laman-laman web yang berlainan.
  4. Kandungan dan Kreatif. Individu ini akan menjaga setiap kandungan atau content yang dikeluarkan, yang seterusnya akan dikongsi keluar sama ada melalui media sosial atau rangkaian yang lain. Dia perlu bertanggungjawab memastikan setiap kandungan itu mempunyai tahap kualiti yang dahsyat, kreativiti yang mengagumkan, mesej yang tersirat dan yang paling penting sekali mengajak para pengguna di luar sana membeli produk anda. Ataupun setidak-tidaknya mengajak mereka membuat pertimbangan untuk membeli, ini pun sudah cukup bagus. Dari aspek penulisan artikel dan status di media sosial, beliau juga perlu pastikan ia cukup catchy, kelihatan natural, penuh dengan emosi tidak mempunyai kesalahan tatabahasa dan juga ejaan. Begitu juga dengan rekabentuk grafik yang dibuat perlu mudah difahami dan senang untuk dilihat serta penggunaan warna yang sesuai dengan mata yang memandang. Manakala video pula perlu kreatif, mempunyai sinambungan penceritaan yang berkualiti dan pengakhiran yang meninggalkan impak yang kuat kepada penonton. Cakap memang senang, nak buatnya satu hal juga ni. Jadi anda memerlukan seorang individu yang betul-betul mempunyai citarasa yang tinggi untuk berjaya.
  5. Media Buy. Individu ini perlu tahu di mana dan bagaimana untuk membuat pembelian iklan-iklan di saluran-saluran digital dan juga tradisional. Digital di sini merujuk kepada YouTube dan laman-laman web terkenal yang sering dikunjungi oleh sasaran pasaran anda. Di saluran tradisional pula, dia perlu faham dengan trend masa kini dan mempunyai apa yang dipanggil rate card, atau kadar kos iklan bagi setiap stesen radio, television atau di mana-mana saluran yang bukan digital.
  6. Laman web. Individu ini bukan sahaja mahir dalam setiap selok-belok pembuatan laman web yang menarik, tetapi juga dia perlu tahu taktik psikologi mengapa setiap benda di laman web itu perlu ada. Ini termasuklah kepakaran menulis kod atau coding, integrasikan laman web dengan Facebook Messenger dan pengetahuan tentang plug-in
  7. Pemasaran melalui e-mel. Tanggungjawab ini nampak remeh tetapi impak yang bakal diperolehi sangatlah besar sekiranya ia dilakukan dengan baik. Di antara aset-aset digital yang paling penting bagi sesebuah organisasi ialah alamat e-mel pelanggan anda atau para pengguna yang berpotensi menjadi pelanggan berbayar anda. Ini aset yang sangat kritikal. Mengapa? Dengan menggunakan perisian seperti MailChimp, anda berupaya membina satu strategi yang sering digunakan oleh jenama-jenama besar untuk brainwash para pelanggan anda untuk terus mengingati anda melalui penghantaran e-mel berkala. Tidak kira sama ada e-mel yang dihantar itu bertujuan memberitahu mereka tentang promosi, informasi, artikel-artikel terbaharu dan sebagainya, ia tetap bertujuan memastikan pembaca e-mel akan terus nampak logo anda, jenama dan alamat e-mel anda, seterusnya membaca apa yang ditulis. Setiap e-mel pasti akan dibuka, jadi ia adalah satu saluran yang paling efektif sekali berbanding media sosial. Syaratnya, anda perlu mempunyai seorang yang berdedikasi yang mahir mengambil kesempatan ke atas alamat-alamat e-mel yang ada.
  8. Perhubungan awam. Ini sangat kritikal, individu ini perlu mempunyai rangkaian kenalan yang amat luas di kalangan wartawan, jurugambar, penggiat media, individu-individu yang berpengaruh di media sosial dan para penulis blog. Mengapa? Anda perlu hebahkan aktiviti-aktiviti tertentu melalui media masa seperti suratkhabar, majalah, radio dan televisyen juga disamping permainan anda di internet. Di samping itu juga, aktiviti seperti sesi sidang akhbar, beramah mesra dengan media secara berterusan juga perlu diatur agar mereka berminat untuk membuat liputan tentang syarikat anda dari masa ke semasa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *