Bahasa Malaysia

Bagaimana Cara Mendapatkan Ranking Yang Tinggi Di Google Dengan Percuma

Lakukan ini semua dengan konsisten dan lihat kedudukan ranking Google anda naik selepas 2-3 bulan, tanpa mengeluarkan sesen pun.

Bagaimana anda mencari sesuatu maklumat di Google?

Anda perlu menaip apa yang ingin dicari di kotak pencarian yang disediakan. Ya betul, selain menaip anda juga boleh menggunakan gambar atau menggunakan suara tetapi lazimnya ramai orang akan menaip untuk mencari sesuatu. Dan biasanya mereka akan menggunakan peranti pintar masing-masing.

Setelah Google menyenaraikan hasil pencarian yang diperolehi, anda akan perasan yang Google juga menggunakan tulisan juga. Perkataan demi perkataan yang membentuk ayat yang sama dengan apa yang anda tulis di kotak pencarian tadi.

Di sini jelas, untuk jenama anda berada di salah satu senarai benda yang dicari, anda perlu menulis dan penulisan anda perlu berada di laman web.

Bagi yang tidak tahu bagaimana anda boleh dijumpai oleh orang yang tidak dikenali di Google, ini kisahnya. Sebaik sahaja anda mempunyai sebuah laman web yang baharu di internet, enjin pencarian seperti Google akan dapat menghidu kewujudan laman web anda. Begitu juga setelah anda mengemaskini laman web anda sendiri dengan maklumat terkini, mereka akan menghidu sesuatu yang baharu tadi. Atau sekiranya anda menulis sesuatu yang baharu pada laman web yang bukan milik anda juga, mereka akan menghidunya.

Dengan pantas, mereka akan menghantar algoritma mereka untuk segera berkunjung ke laman web tadi dan mengindeks setiap perkataan dan ayat yang ada di sana. Sesiapa sahaja yang mencari produk, perkhidmatan atau rujukan tertentu di Google, yang set perkataan yang ditaip di ruangan Search itu sepadan dengan apa yang terdapat di laman web anda, yang anda kemaskini tadi atau yang anda tulis tadi walaupun bukan pada laman web sendiri, dengan sendirinya anda akan dijumpai. Pautan rujukan itu akan tersenarai di Google pada mukasurat pertama, kedua atau seterusnya.

Sebab ini juga saya sering menasihati anda agar sentiasa mengemaskini laman web anda dengan maklumat-maklumat terkini secara berterusan. Tanpa sebarang maklumat terbaharu, atau sekiranya tidak dikemaskini, algoritma enjin pencarian tidak akan mengunjungi anda. Apabila anda tidak dikunjungi, dengan sendirinya anda tidak akan disenaraikan dalam ranking di Google. Dan apabila anda tidak disenaraikan dalam ranking, anda tidak akan dijumpai oleh orang lain.

Hanya di menu Blog sahaja tempat di mana anda akan boleh memperbaharui kandungan yang ada di laman web. Anda tidak boleh selalu mengemaskini maklumat pada menu Mengenai Kami, Produk dan Perkhidmatan Kami ataupun Hubungi Kami kerana di sini semua maklumat adalah berbentuk tetap. Tetapi di laman Blog, anda boleh menulis tentang pendapat anda tentang sesuatu yang berkaitan dengan industri anda, bagaimana untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan industri anda, petua-petua tertentu, pengalaman tertentu, kongsikan kejayaan-kejayaan para pelanggan anda setelah menggunakan produk anda atau apa sahaja yang boleh para pembaca kaitkan cerita anda dengan produk yang dijual. Ia boleh dikemaskini setiap hari atau setiap minggu.

Bagaimana harus anda memulakan penulisan anda?

Mulakan dengan tajuk dahulu. Penggunaan tajuk amat penting bagi mendapatkan ranking yang tinggi. Anda perlu meramal terlebih dahulu senarai soalan-soalan yang bakal mereka tulis pada kotak pencarian Google yang anda mahu mereka menjumpai anda. Setiap soalan yang diramal itu, perlu ditulis ke dalam kotak pencarian Google dan kemudiannya lihat apa hasil yang tertera di senarai ranking yang ada. Senarai yang anda lihat itu adalah tajuk-tajuk penulisan yang mempunyai ranking yang tinggi, jadi tajuk yang sebegini harus menjadi tajuk anda juga. Ia perlu terperinci, pendek, menarik dan padat dengan kata-kata kunci tertentu yang merujuk kepada produk atau industri anda.

Dari sini anda harus membina authority jenama anda. Authority bermaksud jenama anda sering menjadi rujukan dalam industri. Setiap jenama yang sentiasa menjadi rujukan dalam industri tersendiri, mereka akan memastikan ranking jenama tersebut akan berada di atas berbanding jenama-jenama biasa. Bagaimana untuk memperolehi authority yang baik? Hanya melalui dua kaedah iaitu pertama, mempunyai kata-kata kunci yang sering digunakan oleh industri anda pada setiap penulisan. Dan kedua, laman web anda sering menjadi rujukan laman-laman web lain di mana mereka menyediakan backlink atau pautan kembali ke laman web anda pada penulisan-penulisan mereka.

Lakukan ini semua dan lihat kedudukan ranking anda selepas 2-3 bulan, tanpa mengeluarkan sesen pun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *