Bahasa Malaysia

Lakukan 5 Perkara Ini Untuk Mantapkan Pemasaran Anda

Berikut adalah 5 tips untuk mantapkan pemasaran anda. Lakukan semua ini sekiranya anda serius untuk bergerak lebih pantas dari orang lain

Cuba anda tanya kepada semua pemilik perniagaan di luar sana, adakah mereka rasa pemasaran digital mereka jauh meninggalkan orang lain ataupun mereka berasa mereka agak ketinggalan berbanding orang lain? Kebanyakan dari mereka hampir pasti akan menjawab yang mereka sebenarnya ketinggalan agak jauh berbanding orang lain. Mereka rasa para pesaing mereka juga telah jauh meninggalkan mereka. Itu pendapat jujur mereka. Saya telah bertanya kepada hampir 30 pemilik perniagaan yang bersaiz kecil dan sederhana sepanjang minggu lalu secara dalam talian dan kesemua mereka mempunyai pendapat yang sama.

Dengan ini, saya merumuskan yang apabila semua orang mengaku yang mereka ketinggalan jauh dari orang lain, tiada siapa pun yang benar-benar ketinggalan sebenarnya. Dan apabila tiada sesiapa pun yang ketinggalan, ini juga bermakna yang anda boleh bergerak jauh lebih pantas dari mereka ini sekiranya anda mempunyai strategi yang kreatif dan berimpak tinggi.

Lakukan 5 perkara ini sekiranya anda serius untuk bergerak lebih pantas dari orang lain.

Jangan putus-putus kongsikan idea dan inspirasi. Mengapa kita akan teringat tentang IKEA terlebih dahulu sekiranya kita berhasrat untuk membeli perabot baharu? Kerana mereka menyediakan idea-idea tentang bagaimana anda harus menyusun perabot baharu itu nanti yang dekorasinya pasti akan memberikan anda inspirasi yang amat kuat. Sekiranya anda pernah ke IKEA, anda akan perasan yang mereka tidak hanya menyusun sofa, meja makan dan sebagainya di tempat masing-masing. Tidak sama sekali. Apa yang mereka lakukan ialah, mereka akan membina beberapa ruang seolah-olah itu rumah anda dan membuat dekorasi yang indah siap dengan bingkai-bingkai gambar tersusun elok di dinding-dinding. Bukan itu sahaja, mereka juga meletakkan sekali televisyen dan mesin basuh serta kabinet dapur yang penuh dengan pinggan mangkuk. Mereka tahu, permainan visual sangat penting dalam mempengaruhi anda untuk membeli, dan ini yang mereka lakukan.

Video di YouTube. Pembinaan kandungan yang amat berkualiti juga sama penting dengan pembinaan authority di Google. Selain penulisan, pembuatan video juga sama penting. Apabila anda mencari sesuatu di Google, di skrin anda Google akan membuat paparan ranking untuk anda lihat setelah anda menaip sesuatu di kotak pencarian. Itu pada menu All. Di menu sebelah, ia tertulis Video. Google juga akan membuat paparan pencarian tentang maklumat yang anda cari dari perspektif video. Dan semua video yang dipaparkan itu berada di YouTube. Jadi, di sini dengan sendirinya anda dapat lihat betapa pentingnya video di mata Google, dan ia perlu berada di platform mereka – YouTube.

Pengiklanan berbayar di media sosial. Jangan hanya sekadar memuatnaik status terbaharu sahaja, anda juga perlu membuat sedikit pelaburan untuk membina jumlah orang yang melihat status tadi meningkat. Lebih ramai orang melihat status tadi lebih baik. Ini perlu dilakukan kerana di media sosial tiada lagi istilah percuma.

Permainan SEO secara teknikal. Proses untuk memastikan para pengguna akan menjumpai anda di Google tidak hanya bergantung kepada penulisan, kata-kata kunci yang sering digunakan dan juga authority semata-mata. Anda perlu mengeluarkan sedikit pelaburan bulanan untuk permainan SEO atau pengoptimuman enjin pencarian yang lebih mantap. Ke mana pelaburan ini perlu dibuat? 3 benda penting. Pertama, kelajuan laman web anda. Pastikan pengunjung yang datang ke laman web anda akan dapat masuk dengan lancar dan cepat tanpa menunggu lebih dari 5-7 saat. Lebih cepat lebih bagus. Kedua, penggunaan https berbanding http, yang lebih selamat dan mempunyai tahap sekuriti yang tinggi. Pengguna lebih gemar untuk datang sekiranya mereka tahu yang maklumat mereka akan selamat sekiranya berada di laman web anda. Dan ketiga, penggunaan Google AMP atau Accelerated Mobile Pages. Fungsi ini diperkenalkan oleh Google bagi memastikan pengguna peranti mudah alih akan dapat menikmati pengalaman yang berkualiti yang telah dioptimumkan pada skrin agar kelihatan cantik, menarik dan padat.

Bina komuniti yang benar-benar percayakan anda. Tahukah anda, untuk mendapatkan pembeli berbayar di internet, anda perlu mempunyai komuniti atau kumpulan individu-individu yang benar-benar yakin dengan anda terlebih dahulu? Mereka ini sangat percayakan anda dan dengan rela hati akan mengikut apa sahaja yang anda lakukan atau sarankan. Anda tidak akan boleh tukarkan orang yang anda tidak kenal menjadi pembeli, tetapi golongan ini anda boleh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *