Bahasa Malaysia

Trend Pemasaran Digital Di Malaysia Tahun 2019

Terdapat 6 trend yang berlaku sekarang yang bakal mencorak strategi pemasaran di tahun 2019 nanti.

Berbincang tentang pemasaran yang ditemani secawan kopi memang terbaik. Kena pula, regu perbincangan itu pun sama-sama ‘masuk air’, kalau 2 jam memang tidak cukup. Baru-baru ini, dalam satu perbincangan tengah malam dengan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat teknologi maklumat terkeluar satu soalan dari sahabat saya itu tentang apakah yang bakal berlaku kepada pemasaran pada tahun 2019 nanti, dan bagaimana untuk mempunyai strategi yang mampu melonjak jenama-jenama untuk lebih berdaya saing berbanding persaingan.

Nampaknya sahabat saya ini pemikirannya agak ke jauh hadapan, kerana kita sekarang baharu di pertengahan tahun 2018. Lantas, saya menjawab terdapat 6 trend yang berlaku sekarang yang bakal mencorak strategi pemasaran di tahun 2019 nanti.

Produk perlu berkualiti tinggi. Trend ini telah lama wujud dan saya menjangkakan ia tidak akan hilang dalam masa terdekat. Tiada sesiapapun yang mahu membeli produk yang tidak berkualiti. Dalam masa yang sama juga, tiada siapapun juga yang mahu membeli produk yang berkualiti pada harga yang terlalu mahal dan tidak munasabah langsung. Pada tahun 2019 nanti saya yakin para pengguna akan lebih memilih dan semakin berkurangan orang yang setia pada satu-satu jenama. Masing-masing akan memilih untuk membeli produk yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Orang lebih percaya kepada orang lain, dan bukannya iklan. Saya nak tanya satu soalan kepada anda. Ketika anda hendak membeli apa jua produk atau ingin ke restoran tertentu, adakah anda terus membuat keputusan untuk membeli atau ke restoran itu berdasarkan iklan yang jenama tersebut lakukan ataupun anda melihat pendapat rakan-rakan Facebook atau media sosial anda, jiran, rakan sepejabat atau kenalan anda yang lain? Kebanyakannya akan memberikan respon melalui pendapat rakan, dan bukannya iklan. Trend ini juga akan terus wujud pada tahun 2019 nanti.

Pengalaman pengguna adalah segala-galanya. Anda ke kedai makan yang baru-baru ini menjadi viral kerana kesedapan roti bakar yang dibakar menggunakan arang. Kalau tengok di media sosial, memang ramai orang di sana. Siap kena beratur lagi, panjang pula tu. Setelah membuat pesanan selepas mendapat meja anda, sudah sejam berlalu pesanan anda belum sampai-sampai lagi. Padahal meja-meja sebelah yang duduk selepas anda sudah mula mendapat pesanan. Ada yang sudah hampir habis pun. Selepas 90 minit menunggu dan beberapa kali marah-marah di kaunter baharu pesanan anda di hantar. Soalan saya, adakah anda ingin datang lagi ke kedai ini walaupun makanannya sedap? Pengalaman 90 minit tadi sudah cukup justifikasi untuk anda tidak datang lagi. Lebih baik anda ke restoran yang biasa anda pergi, makanan juga sedap dan pengalaman di sana jauh lebih memuaskan.

Jenama yang berada di dalam kitaran habit atau kebiasaan pengguna sahaja akan lebih berjaya. Sekiranya anda inginkan perniagaan anda untuk berjaya dan tidak akan tutup pada tahun-tahun pertama, lebih baik sekiranya anda mulakan dengan membuat beberapa kajian dan pemerhatian terlebih dahulu. Perkara yang paling asas ialah dengan ‘melihat dan memahami’ bagaimana para pengguna di luar sana membuat pembelian, dan seterusnya menggunakan butiran tadi untuk strategi pemasaran anda. Pada tahun 2019 nanti, kita bakal menyaksikan lambakan jenama yang jauh lebih banyak berbanding sekarang. Terlalu banyak jenama yang menggunakan pemasaran digital, iklan-iklan, promosi dan pelbagai lagi sehinggakan keadaan menjadi terlalu ‘bising dan kecoh’. Hanya jenama yang mempunyai value proposition yang betul-betul kuat dan sentiasa berada dalam kitaran habit atau kebiasaan pengguna sahaja yang akan kekal wujud manakala yang lainnya akan goyang sedikit demi sedikit dan akhirnya terkubur.

Kandungan yang dibina perlu tulen. Orang akan tahu apabila setiap kali anda menulis artikel dan memuatnaik status bersama-sama gambar atau video di media sosial itu adalah asli atau dicilok dari Google atau sumber lain. Kini, di internet orang lebih bijak berbanding sebelumnya. Mereka siap boleh mengorek dari mana sumber yang anda gunakan itu. Jadi jangan sesekali anda mengaku kandungan yang anda muatnaik di laman web dan media sosial itu milik sendiri sedangkan anda baru lepas copy-paste dari orang lain. Trend ini juga akan terus wujud pada tahun hadapan, jadi pastikan anda luangkan sedikit masa dan wang ringgit untuk membina kandungan-kandungan seperti artikel, infografik, poster dan video yang asli dan tulen dari jenama anda sendiri. Apabila pengguna sedar jenama anda mempunyai identiti sendiri yang lebih unik dan menarik, mereka akan memberikan respon dengan membeli.

Penggunaan alat dan perisian yang berteknologi tinggi untuk pemasaran digital tidak akan menjamin jualan. Secara personal, saya melihat banyak jenama yang tertipu dengan penggunaan teknologi terkini untuk permainan media sosial dan SEO mereka untuk mendapatkan pembeli. Berpuluh ribu malah beratus-ribu habis setiap tahun untuk mendapatkan trafik yang dijangka akan berjaya dipengaruhi oleh mereka untuk dijadikan pembeli berbayar. Sayangnya pelaburan sebegini tidak akan berjaya untuk dijustifikasikan dalam jangka panjang kerana tiada ROI. ROI atau pulangan pelaburan di sini merujuk kepada peningkatan pembelian, dan bukannya peningkatan nombor-nombor yang terdapat di laporan media sosial yang dibentangkan. Pada tahun 2019 nanti, saya yakin para pemilik jenama dan jenama-jenama besar juga mula berhati-hati dengan pelaburan yang mereka bakal buat untuk permainan pemasaran digital mereka. Kali ini, mereka pasti lebih berminat untuk mendapatkan jualan dan bukannya angka-angka besar di laporan media sosial sahaja,

Saya turut memberitahu sahabat saya tadi, yang saya amat yakin bahawa 90 peratus faktor kejayaan jenama anda terletak pada produk yang berkualiti dan pengalaman manis pengguna ketika menggunakan produk anda. Hanya 10 peratus sahaja faktor kejayaan adalah hasil dari pemasaran yang dilakukan. Tidak kira pada tahun berapa pun kita berada, formula ini akan sentiasa boleh digunapakai oleh jenama-jenama untuk strategi mereka masing-masing.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *