Bahasa Malaysia

3 Taktik Untuk Tambahkan Lagi Kekuatan Pemasaran Digital Anda

Taktik berikut akan kuatkan lagi pemasaran digital anda. Pasti trafik akan mula sibuk menghala ke laman web anda dan akhirnya anda akan mendapat habuannya yang setimpal dari usaha yang dilakukan.

Mungkin strategi dan perlaksanaan pemasaran digital anda sudah kuat. Dari aspek pengoptimuman enjin pencarian SEO sehinggalah kepada permainan media sosial anda, semuanya bergerak lancar seperti yang dirancangkan. Baguslah kalau begitu. Walau bagaimanapun saya juga ingin mencadangkan agar anda turut pertimbangkan tiga taktik di bawah ini juga, mungkin mereka akan dapat membantu menguatkan lagi jenama anda agar lebih mudah dijumpai di internet. Sekiranya anda lebih mudah dijumpai, saya yakin trafik akan mula sibuk menghala ke laman web anda dan akhirnya anda akan mendapat habuannya yang setimpal dari usaha yang dilakukan.

Apakah ketiga-tiga taktik itu? Jom kita tengok.

Menjadi penulis blog jemputan. Cipta peluang untuk anda dapat menulis di laman-laman web atau blog luar. Atau lebih baik lagi, tulis di blog jenama-jenama luar yang jauh lebih besar dari anda. Mungkin suratkhabar, majalah, penerbitan-penerbitan tertentu ataupun setidak-tidaknya laman blog orang lain. Apabila anda menulis untuk mereka, latar belakang profesional anda akan turut diletakkan bersama-sama dengan artikel yang anda tulis. Mereka akan meletakkannya sama ada di atas artikel yang ditulis ataupun di bahagian bawah. Di sini, biasanya anda dibenarkan meletak pautan-pautan atau backlinks balik ke laman web atau laman media sosial anda. Bayangkan artikel anda menjadi tular dan ramai pembaca sukakannya. Hampir pasti mereka ingin tahu siapa yang menulis artikel tersebut. Dan hampir pasti juga mereka akan klik pada pautan yang anda letakkan tadi. Nah, trafik kini akan berpusu-pusu ke laman web anda.

Mengajak penulis blog luar untuk menulis di blog anda. Objektif yang sama juga boleh dicapai dengan cara ini walaupun kaedahnya agak bertentangan dengan kaedah yang pertama tadi. Dengan mengajak penulis-penulis blog luar untuk menulis di laman blog anda, laman web anda akan menjadi jauh lebih menarik berbanding sebelumnya kerana artikel-artikel yang ada bukan sahaja lebih banyak dan berkualiti tinggi tetapi juga mempunyai gaya penulisan yang menarik dan berbeza-beza, dan juga pendapat yang datang dalam pelbagai bentuk. Jika semakin menarik penulisan yang ada, semakin ramai pembaca yang akan datang menjenguk. Percayalah.

Dalam masa yang sama juga, anda boleh mengumpul dan menguasai kata-kata kunci atau keywords. Ini bakal menjadikan anda sebagai seorang yang mempunyai authority tinggi pada pandangan Google.

Syaratnya satu sahaja. Jangan lari jauh dari industri atau minat anda. Pastikan mereka juga mempunyai kecenderungan minat atau industri yang sama dengan anda agar para pembaca tidak keliru dengan tema yang anda bawa.

Temubual. Terdapat satu lagi cara yang boleh anda gunakan untuk mudah dijumpai di internet – temubual. Caranya mudah sekali. Cari beberapa individu yang berpengaruh dalam industri anda, dan temubual mereka. Anda boleh menggunakan kaedah e-mel ataupun secara bersemuka yang anda boleh rekodkan dalam bentuk video. Paparkan kejayaan mereka, profil mereka dan bagaimana mereka mendapatkan kejayaan tersebut dalam laman web anda. Apabila anda terbitkan cerita tadi, mereka hampir pasti akan berkongsi dengan rangkaian sahabat mereka tentang cerita yang anda tulis tadi yang telah pun keluar di laman web anda. Secara tidak langsung, strategi anda untuk ‘cilok’ trafik-trafik baharu akan berjaya dengan cemerlang sekali.

Untuk menjayakan ketiga-tiga strategi di atas, anda perlu menstabilkan kredibiliti profesional anda terlebih dahulu. Sekiranya tidak, tiada siapa pun yang akan bersetuju untuk mengajak anda menulis pada laman web mereka, bersetuju untuk mereka menulis pada laman web anda ataupun bersetuju untuk anda menemubual mereka. Jangan harap.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *