Bahasa Malaysia

4 Kesalahan SEO Yang Sering Dilakukan Usahawan-Usahawan IKS

Ketahui contoh kesalahan SEO yang memang merugikan perniagaan IKS apabila anda tidak sabar.

Apakah yang membezakan di antara jenama besar dengan jenama-jenama kecil?

Selain daripada peruntukan kewangan yang besar untuk apa juga perancangan pemasaran yang dilakukan termasuklah pengoptimuman enjin pencarian atau perkataan mudahnya SEO, mereka juga biasanya akan merancang dengan lebih terperinci dahulu sebelum mereka melaksanakan apa yang dirancang. Biasanya mereka akan merancangnya dengan betul-betul terperinci dan berhati-hati bagaimana cara terbaik tentang elemen SEO ini bagi tujuan mendapatkan perhatian orang ramai dan seterusnya jualan produk mereka melalui perhatian netizen.

Berbeza dengan mereka, jenama-jenama kecil dan sederhana atau IKS seperti anda biasanya jauh lebih berani. Tanpa berfikir panjang dan penelitian terperinci tentang taktik pemasaran yang macam mana yang sesuai untuk perniagaan anda, anda selalunya akan terjun dahulu dan kemudiannya baharu fikir. Alasannya mudah – lagi lama anda tunggu, lagi lama jualan akan dapat dilakukan. Anda perlu ‘jalan’ dahulu. Apabila tabiat sebegini menjadi lumrah, masalah biasanya akan timbul. Dan biasanya masalah yang timbul ini biasanya juga akan lebih ‘mahal’ berbanding mahalnya masa yang perlu anda ambil ketika waktu ‘menunggu’ tadi.

Ini contoh kesalahan SEO yang agak mahal untuk anda telan apabila tidak sabar.

Siapkan laman web dahulu, kemudian baharu strategi SEO difikirkan. Kebanyakan jenama-jenama IKS yang ada di luar sana yang bercadang untuk mengoptimumkan laman web mereka di enjin-enjin pencarian seperti Google, Yahoo dan Bing ingin melakukannya setelah laman web mereka siap dibina. Ini perkara ‘biasa’ yang sering berlaku. Bagi mereka SEO ini satu elemen yang hanya perlu ditampal pada laman web dan kemudiannya akan bergerak cantik seperti apa yang mereka ‘rancang’. Tanggapan ini salah, terlalu salah. Mereka tidak sedar yang apa yang mereka lakukan ini semuanya akan menjadi sia-sia. Mengapa? Pertama, mereka akan terpaksa memanggil kembali syarikat atau individu yang membuat laman web itu untuk membuat perubahan demi perubahan yang ketara. Ini namanya kerja yang sama dibuat dua kali. Dan kedua, mereka perlu dibayar untuk perubahan-perubahan yang dilakukan kerana ia tidak termasuk dalam perjanjian semasa membuat laman web sebelum ini.

Dia yang buat laman web, dia juga dibayar untuk SEO. Ada juga syarikat yang membayar perekabentuk laman web untuk melaksanakan sekali strategi SEO. Yang menariknya, perekabentuk laman web itu pula turut mengaku yang mereka juga boleh membantu tentang SEO. Tetapi realitinya amat berbeza kerana pengetahuan tentang SEO dan merekabentuk laman web datang adalah dunia yang jauh berbeza. Jadi, anda jangan lakukan kesalahan yang sama dengan orang lain.

Kena ada pakar SEO, baharu akan nampak hasil. Mungkin anda ada terbaca di mana-mana yang kejayaan strategi SEO ini biasanya akan terjadi apabila anda membayar pakar SEO untuk melakukannya untuk anda. Ini sama sekali tidak benar. Walaupun tanpa mereka, anda masih boleh melaksanakan strategi SEO dengan berkesan. Anda boleh mendapatkan beberapa panduan dari internet tentang caranya, mempunyai kandungan di laman web yang memberikan manfaat kepada pembaca dan penggunaan kata-kata kunci yang betul dalam artikel-artikel yang ditulis. Anda pasti akan nampak hasilnya apabila anda memperolehi pautan-pautan dari laman web orang lain yang kembali ke laman web anda, kedudukan ranking yang semakin baik, jumlah trafik yang meningkat dan juga kejayaan anda menukar para pengunjung kepada pembeli berbayar.

Ini strategi jangka pendek. Ada yang ingat dengan melaksanakan strategi SEO ini, esok lusa terus mereka akan dapat pembeli produk mereka. Mereka ingat SEO ini sama dengan iklan-iklan yang ada di media sosial, bayar sahaja terus orang akan datang beli. Ia bukan seperti itu, dan kalau anda mengharapkan hasil yang cepat dan pasti menjadi maka anda akan kecewa. SEO bukan strategi jangka pendek dan akan terus menjadi, tetapi jangka panjang dan hanya akan berhasil dalam jangka panjang. Kalau ada yang mengatakan yang mereka boleh menjanjikan kejayaan kepada anda melalui SEO, ini adalah penipuan yang ketara. Pakar-pakar SEO hanya mampu membina trafik-trafik dan mencipta peluang bagi trafik atau pengunjung yang datang untuk mempertimbangkan keputusan untuk sama ada membeli ataupun tidak produk yang dijual, itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *