Bahasa Malaysia

Biar Orang Lain Lakukan, Tetapi Anda Perlu Elak 4 Kesalahan Penjenamaan Diri Ini

Beberapa elemen penting yang perlu anda elakkan agar anda tidak kelihatan syok sendiri atau dilihat sebagai tidak boleh dipercayai.

Semua orang kini berlumba-lumba untuk membina penjenamaan diri masing-masing. Biasalah tu, masing-masing ingin menjadi apa yang dipanggil influencer, individu yang berpengaruh di media sosial atau key opinion leader (KOL). Mungkin mereka ingin menjual produk atau perkhidmatan yang disediakan, atau mungkin juga untuk mendapatkan karier yang lebih baik berbanding yang ada sekarang. Kan ramai orang cakap resume kini tidak lagi mencukupi jadi amat penting untuk mempunyai penjenamaan diri atau personal branding yang kental untuk berjaya secara profesional. Memang betul, ia sangat penting terutamanya apabila keadaan di luar sana amat ‘bising’.

Dalam anda membina strategi untuk ke arah penjenamaan yang lebih profesional, ada beberapa elemen penting yang perlu anda elakkan agar anda tidak kelihatan syok sendiri atau dilihat sebagai tidak boleh dipercayai.

Mengajar orang lain tentang hidup. Agak kelakar juga apabila terjumpa beberapa kandungan yang ditulis atau video yang direkodkan oleh individu-individu di media sosial mengajar orang lain tentang bagaimana untuk menjalani kehidupan yang lebih berjaya sedangkan individu tadi secara peribadi mempunyai kehidupan yang tidak sama seperti apa yang diajar. Bagi saya, anda tidak perlu mengajar orang lain untuk hidup secara umum. Orang tidak gemar diajar tentang bagaimana hendak menjalani kehidupan mereka sendiri. Mereka akan berkata, anda siapa untuk mengajar mereka. Macamlah anda tu bagus sangat.

Cara yang lebih mendatangkan impak ialah dengan berkongsi. Anda tidak perlu mengajar tetapi berkongsi tentang apa yang anda lakukan untuk mencapai sesuatu, bagaimana anda melakukannya, kenapa anda melakukannya, bila dan lain-lain lagi. Apabila anda berkongsi, secara automatik anda akan mengajak orang lain untuk lebih dekat dengan kehidupan anda.

Tetapi ingat, anda jangan berkongsi sesuatu topik itu secara umum tetapi fokus kepada topik-topik yang khusus dengan kemahiran dan minat anda sahaja. Kemahiran dan minat, bukan kemahiran atau minat. Penjenamaan diri adalah aktiviti jangka panjang, ala ala maraton. Jadi tanpa kedua-duanya aktiviti anda tidak akan bertahan lama. Perkongsian sebegini akan lebih tertumpu kepada pemikiran anda, pandangan anda, pengalaman anda dan juga idea yang ada. Sebaliknya jika mengajar atau menasihati orang lain, ini bermakna anda perlu berjaya terlebih dahulu sebelum boleh mengajar orang lain. Jadi kalau anda belum berjaya dan selepas itu mengajar orang lain pula di kala anda pun terkapai-kapai lagi maka dengan sendirinya kredibiliti anda akan terjejas teruk.

Tidak mempunyai karisma. Kebanyakan orang yang membina penjenamaan diri mereka tidak mahir, tidak minat dan tidak mempunyai pengetahuan dalam sesuatu topik yang dia perjuangkan. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mempunyai asas yang kukuh tentang topik yang anda diperjuangkan itu. Ada juga yang mempunyai topik atau bidang yang terlalu banyak dan agak berbeza-beza di antara satu sama lain.

Mereka bermula dengan langkah yang salah, dan hasil yang diinginkan dalam penjenamaan diri mereka akan lambat. Sekiranya anda ingin dikenali sebagai individu berpengaruh dalam pemasaran digital contohnya, maka anda perlu tahu tentang topik ini dengan mendalam. Amat jarang orang yang berpengaruh mempunyai bidang yang lebih dari satu. Dari sini, baharu anda mula membina nama anda. Kemudian baharu orang ramai akan mula mengenali anda dan kaitkan nama anda dengan bidang yang diceburi tadi. Apabila orang mengenali anda, bidang anda dan mereka tahu keupayaan anda dalam bidang tadi, di sini karisma anda akan bermula. Mereka akan bercerita tentang anda kepada orang lain walaupun anda tiada di situ.

Selekeh. Janganlah terlalu selekeh apabila anda berada di tempat-tempat awam atau ketika majlis tertentu. Mungkin anda tidak mempunyai pakaian yang up-to-date, tetapi sekurang-kurangnya sarunglah pakaian yang sesuai.

Terlalu menjual diri sendiri. Sikit-sikit selfie, sikit-sikit ada gambar sendiri yang anda muatnaik. Terlalu kerap begini bakal membuatkan orang lain bukan sahaja bosan tetapi juga akan lari jauh dari anda. Walaupun kita cantik, kacak dan bergaya tetapi muka anda tetap sama. Malah takut nanti orang akan perasan pula anda kelihatan semakin tua setiap hari. Minggu lepas rambut macam lebat lagi, minggu ini nampak macam jarang sedikit. Menjual diri sendiri secara fizikal merupakan taktik jangka pendek yang biasanya tidak bertahan lama. Lebih baik sekiranya anda menjual pemikiran anda, kebijaksanaan anda, pandangan dan anda kepada orang ramai agar mereka dapat belajar sesuatu dari anda untuk kebaikan diri mereka juga. Lagi satu, jangan terlalu juga menjual apa yang anda jual. Lebih baik bercerita yang membuatkan orang membeli. Berbeza tu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *