Bahasa Malaysia

Strategi Harga Perlu Selari Dengan Tabiat Pembeli

Untuk menyediakan strategi pemasaran begini pada era yang serba kelam-kabut ini, anda perlu kreatif.

Hari Khamis yang lalu, saya tersangkut teruk di Lebuhraya Persekutuan. Padahal baharu jam 11 pagi, dan saya menghala ke Shah Alam sahaja. Saya pun pelik. Kenapa pada hari bekerja trafik yang menghala keluar dari ibukota Kuala Lumpur pula yang sesak? Sepatutnya masa ini sudah tidak lagi sesak kerana waktu pejabat telah lama bermula.

Rupa-rupanya di Ara Damansara, ada jualan besar-besaran barang permainan Hasbro. Berpusu-pusu kenderaan beratur untuk masuk ke arah satu pusat membeli belah di Ara Damansara. Memang gila.

Keadaan yang sama juga wujud setiap kali terdapat jualan-jualan gudang tidak kira di mana sahaja di Malaysia, memang ramai orang akan tertumpu ke sana. Tidak kira sama ada telefon pintar, buku, makanan, kasut, komputer riba, kereta, beg tangan wanita, alat solek, pakej percutian dan apa sahaja semua orang akan terus menghidupkan enjin kereta dan bergegas ke sana. “Janji murah, janji asli.” kata mereka. Perhatian mereka akan dan sentiasa mencari di laman-laman media sosial tentang apa juga jualan gudang yang ada. Nampak sahaja satu, terus simpan maklumat yang ada dalam telefon. Balik rumah terus kira duit, yang mana ada untuk diletak ke tepi sebagai bajet.

“Janji murah, janji asli.” kata mereka.

Tabiat pembelian oleh rata-rata rakyat Malaysia. Anda mungkin perasan tentang perkara ini. Rakyat Malaysia memang terkenal dengan tabiat gemar membeli produk atau perkhidmatan yang berjenama dengan harga yang tidak masuk akal. Mereka sanggup mengeluarkan wang tunai RM3,000 untuk membeli beg tangan yang berjenama Prada sekiranya mereka tahu harga asal beg tangan sebegitu harganya RM25,000. Mereka juga sanggup membeli telefon pintar iPhone X pada harga RM1,800 apabila mereka tahu harga iPhone X sebenarnya ialah RM5,000 setiap satu. Dengan kata lain, mereka sanggup membeli apa jua produk yang berkualiti tinggi tetapi pada harga yang tidak masuk akal. Ini tabiat yang pertama bagaimana rakyat Malaysia membeli.

Produk-produk tiruan yang dikatakan sebagai copy-ori, one-to-one dan AAA juga amat laku di pasaran. Tabiat kedua pula ialah, biar papa asalkan bergaya. Kumpulan ini biasanya ingin dilihat setaraf dan berkemampuan oleh orang lain. Memandangkan rata-rata rakan sekerja, jiran dan ahli-ahli keluarga mereka dilihat mampu bergaya, mereka juga tidak mahu dipandang rendah orang komuniti sekeliling. Lalu mereka memilih untuk membeli produk yang tidak asli tetapi orang tidak tahu yang ia tidak asli. Cuba anda berjalan di pasar-pasar malam, Jalan Petaling atau melihat di mana-mana kedai dalam talian di Facebook, hampir kebanyakannya mempunyai produk yang berjenama tetapi tidak tulen. Dari kacamata, jam tangan, kasut, tudung dan sebagainya.

Tabiat ketiga pula ialah hampir sama dengan tabiat kedua. Mereka tidak mampu tetapi masih ingin kelihatan hebat. Cuma bezanya ialah mereka tidak membeli produk tetapi menyewa. Ini biasa berlaku pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya. Masing-masing bergaya dengan kereta mewah yang amat hebat. Biasalah, bukan selalu. Cuma sekali sahaja dalam setahun. Golongan ini sanggup mengeluarkan wang membayar sewaan kereta dalam angka ribuan seminggu. Jangan pelik tetapi inilah hakikatnya.

Tabiat keempat dan terakhir ialah membuat pembelian pada harga pasaran. Golongan ini agak kecil kerana tidak ramai yang betul-betul menghargai kualiti yang disediakan oleh produk dan perkhidmatan yang bakal dibeli. Mereka faham tentang kos-kos yang wujud dari mula sehingga proses terakhir pengeluarannya. Jadi mereka membeli apa yang mereka rasa mempunyai harga yang berpatutan.

Sebagai pemilik perniagaan dan pemasar, apakah yang anda harus lakukan untuk memasarkan produk anda? Keadaan di luar sana amat getir. Kebanyakan pengguna tidak mahu membayar untuk kualiti. Yang ada pun tidak ramai. Jadi sebagai pemilik jenama produk atau perkhidmatan, anda perlu sesuaikan tabiat-tabiat di atas dengan strategi pemasaran anda. Anda perlu sesuaikan strategi harga juga untuk memastikan mereka tetap akan membeli produk anda. Bagaimana? Dengan meng-komoditi-kan harga produk anda di mata mereka. Di mata para pengguna, pastikan mereka akan melihat harga yang ditawarkan itu murah walaupun mereka bakal menikmati kualiti tahap dunia produk anda. Pastikan juga mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya membayar anda harga pasaran. Untuk menyediakan strategi pemasaran begini pada era yang serba kelam-kabut ini, anda perlu kreatif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *