Bahasa Malaysia

5 Cara Dapatkan Jualan Melalui Penjenamaan Diri

Bina kapasiti jenama anda ini dengan lebih besar lagi, di samping membina jenama syarikat anda sedikit demi sedikit di ‘belakang’ jenama peribadi anda.

Sebagai seorang usahawan solo atau mikro, anda tidak boleh terburu-buru untuk membuat penjenamaan ke atas syarikat anda dan mengharapkan strategi pemasaran anda akan berjalan dengan lancar dan seterusnya jualan akan diperolehi dengan mudah. Strategi sebegini sukar untuk mendapatkan hasil dengan segera. Anda memerlukan strategi yang kreatif terlebih dahulu

Terdapat tiga sebab utama yang menyebabkan para pengguna sukar untuk membeli dari syarikat anda. Pertama, mereka tidak pernah dengar dan tahu tentang syarikat anda. Kedua, mereka sebagai manusia, tidak akan sesekali memberikan kepercayaan kepada syarikat anda kerana mereka sudah mempunyai pilihan jenama-jenama tertentu di dalam fikiran dan hati sekiranya mereka mahu membeli apa juga produk yang diperlukan. Disamping itu juga, mereka akan melihat syarikat anda sebagai terlalu kecil, tidak stabil kerana tiada pekerja, kualiti yang mungkin meragukan dan sebagainya. Jadi dengan persoalan negatif sebegini, tiada sebab yang munasabah mengapa mereka perlu membeli dari syarikat anda.

Habis, bagaimana?

Jenamakan diri anda. Sebagai pemilik syarikat, anda tiada pilihan selain ini. Dengan penjenamaan diri juga, ia akan memudahkan anda menjawab tiga sebab utama tadi. Mereka pernah dengar tentang diri anda kerana anda adalah sahabat peribadi ataupun kenalan profesional mereka. Apabila mereka kenal anda, sudah semestinya mereka juga tahu tentang kebolehan anda sebagai individu. Ini berdasarkan pengalaman mereka bekerja dengan anda dahulu, atau mendengar tentang kebolehan anda dari orang lain yang mereka percaya. Kualiti kerja anda juga mereka tahu, melalui sumber-sumber yang sama.

Dengan kata lain, anda boleh membawa jualan masuk melalui penjenamaan diri anda sendiri. Bina kapasiti jenama anda ini dengan lebih besar lagi, di samping membina jenama syarikat anda sedikit demi sedikit di ‘belakang’ jenama peribadi anda.

Akan tiba satu masa nanti, jenama syarikat anda akan setanding dan selari dengan jenama peribadi anda. Ia akan sama-sama besar. Seterusnya ia akan mengatasi jenama peribadi anda dalam tempoh jangka panjang. Pada masa ini, anda tidak lagi memerlukan kekuatan jenama peribadi anda untuk menarik jualan lagi kerana jenama syarikat anda sudah mampu melakukannya.

Buat masa sekarang, memandangkan syarikat anda masih lagi terlalu kecil dan rapuh, kukuhkan dahulu jenama peribadi anda. Guna 5 taktik ini.

Tawaran nilai atau value proposition. Anda mesti mempunyai kekuatan tertentu yang orang lain atau syarikat lain tidak ada. Tonjolkan kekuatan itu dan pastikan para pengguna tahu tentang ini. Pastikan mereka juga tahu yang anda seorang sahaja yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman tentangnya. Sekiranya jawapan anda berkualiti, dengan sendirinya mereka akan tahu mengapa mereka perlu membeli dari anda, dan bukannya dari orang lain walaupun mempunyai produk atau perkhidmatan yang sama.

Penjenamaan yang berkait rapat dengan sesuatu industri. Fikiran manusia memang unik. Mereka biasanya akan mengingati sesuatu nama dan kemudiannya akan mengaitkan nama tadi dengan sesuatu yang dilakukannya. Contohnya begini. Sebaik sahaja anda terdengar nama Azleen Abdul Rahim, kemudian anda kaitkannya dengan pemasaran digital. Atau anda terdengar nama IKEA dan AirAsia, anda teringat tentang perabot dan penerbangan tambang murah. Jadi, bagaimana anda mahu pengguna di luar sana mengingati nama anda, dan kaitannya dengan apa?

Membina komuniti. Amat sukar untuk anda menukarkan orang yang tidak pernah dengar tentang anda langsung untuk datang dan membeli dari anda. Hampir mustahil, melainkan ada orang yang mengenali anda yang rekomen. Anda perlu jadikan mereka sebagai pengikut anda, kemudiannya kenali anda dengan lebih rapat secara profesional. Mereka tahu kekuatan anda, kepakaran anda, pengalaman anda, pemikiran anda. Mereka akan mengikut anda ke mana juga anda berada. Mereka percayakan anda. Ini dinamakan komuniti.

Penulisan blog. Sukar untuk orang di luar sana menjumpai anda sekiranya anda tidak menulis. Sebaiknya ialah mempunyai nama domain anda sendiri dan menulis tentang subjek anda di dalam blog. Kongsikan pemikiran anda, pendapat anda dan idea anda dengan orang lain. Jangan sesekali menulis tentang subjek lain di luar bidang anda.

Jadikan diri anda sebagai autoriti. Anda perlu menjadi tempat rujukan atau reference point, baharu mereka akan tabik hormat kepada anda sebagai seorang yang mempunyai autoriti untuk menulis dan bercakap dalam bidang tertentu. Semakin kuat autoriti anda, semakin mudah anda akan mendapatkan jualan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *