Bahasa Malaysia

9 Langkah Mudah Bagaimana Tukar Pengunjung Laman Web Kepada Pembeli

Ketahui cara yang paling efektif yang boleh anda gunakan untuk menukar pengunjung web anda kepada pembeli.

Sebenarnya ia tidak susah. Anda cuma perlu tahu taktiknya sahaja. Jom, saya tunjukkan bagaimana cara yang paling efektif yang boleh anda gunakan. Saya tahu ia sangat efektif kerana saya sendiri menggunakan taktik yang sama, tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk anda melihat hasilnya. Syaratnya satu sahaja, anda perlu konsisten.

Sediakan Blog. Pada laman web anda, masukkan Blog sebagai salah satu menu di sana. Hanya di bahagian Blog sahaja anda boleh mengemaskini kandungan laman web anda secara berterusan. Anda tidak boleh mengemaskini profil syarikat anda setiap minggu, laman Hubungi Kami dan Produk Kami setiap minggu tetapi anda boleh memuatnaik kandungan terbaharu setiap minggu di bahagian Blog.

Wujudkan ikon Facebook Messenger. Para pengunjung tidak lagi mahu mengisi borang yang ada pada laman web anda dan menunggu jawapan dari anda berhari-hari. Mereka tiada masa untuk menunggu. Apabila mereka bertanyakan sesuatu, mereka mahukan jawapan daripada anda sekarang dan secara real-time. Bagi mereka, sehari itu sudah terlalu lambat. Dengan adanya ikon Facebook Messenger, anda secara tidak langsung akan menggalakkan mereka untuk berinteraksi dengan anda secara langsung. Cuma perlu klik, dan terus mereka akan ke Facebook.

Menulis. Anda tidak akan mampu lari dari kenyataan bahawa untuk dijumpai oleh para pengguna internet, anda perlu menulis. Tulis tentang idea, pandangan, bagaimana, mengapa, pengalaman dan sebagainya yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan anda. Berikan pembaca mendapat sesuatu dari penulisan anda, sesuatu yang mereka boleh belajar atau faham tentang sesuatu. Buatkan anda sebagai tempat rujukan untuk industri anda.

Bina pautan pada perkataan yang sesuai. Dalam artikel yang anda tulis tadi, pastikan anda mempunyai 3-5 pautan-pautan pada perkataan yang sesuai untuk anda bawa pengunjung ke laman lain di dalam laman web anda. Sekiranya mereka klik pada pautan yang ada, anda boleh membawa mereka sama ada ke artikel lain ataupun ke laman produk anda. Anda juga boleh bawa mereka ke laman Tentang Kami. Jangan biarkan mereka terkebil-kebil berfikir untuk ke mana selepas selesai membaca artikel anda.

‘Halang’ mereka dari keluar. Dengan cara penyediaan pautan tadi, mereka secara tidak langsung akan terus berada di laman web anda. Mereka akan asyik dengan artikel-artikel anda yang menarik. Sebab itu penulisan anda tidak boleh tertumpu pada anda langsung, tetapi tentang mereka. Penulisan anda perlu membuatkan mereka berasa yang mereka belajar sesuatu dari anda yang mereka boleh gunakan dalam perniagaan ataupun pekerjaan mereka.

Dapatkan e-mel mereka. Galakkan mereka untuk melanggan newsletter anda agar mereka akan menjadi di antara yang pertama yang akan mendapat e-mel tentang artikel-artikel terbaharu dari anda. Melalui e-mel, anda mampu berhubungan terus dengan pengikut anda tanpa membayar satu sen pun kepada platform media sosial. Ia percuma.

Galakkan mereka untuk ikuti anda di media sosial. Sekiranya mereka kurang berminat untuk melanggani newsletter anda, tidak mengapa. Pastikan mereka menjadi salah seorang dari pengikut media sosial anda. Ikat mereka di sana. Cuma perlu diingat, untuk ‘bermain’ di sini, anda perlu membayar untuk dilihat. Walaupun yang melihat itu pengikut anda sendiri, perlu juga dibayar.

Sebarkan penulisan anda di media sosial. Gunakan platform media sosial untuk membawa trafik ke laman web anda. Jangan terlalu bergantung kepada mereka dengan ‘melekatkan’ kandungan anda di sana terus. Ia sangat mahal untuk jangka panjang. Dengan kata lain, jangan matikan trafik yang datang ke media sosial sahaja. Bawa mereka ke laman web. Di laman web, ia lebih mudah untuk menukarkan mereka kepada pembeli.

Pastikan pengikut anda melihat kandungan anda setiap masa. Konsisten, dan jangan berhenti. Ini sangat penting. Sekiranya anda tidak berhenti, peluang yang wujud ialah 50-50. Sebaik sahaja anda berhenti, ia akan terus menjunam kepada 0-100.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *