Bahasa Malaysia

7 Perkara Yang Menyumbang Kepada Penjenamaan Diri Yang Kukuh

Penjenamaan diri yang hebat tidak semestinya mempunyai jumlah pengikut yang beratus ribu ataupun berjuta orang, tetapi mereka mempunyai pengikut yang setia.

Mungkin anda perasan, ada beberapa orang di rangkaian media sosial kegemaran anda, nampak macam biasa-biasa sahaja tetapi mempunyai penjenamaan diri yang sangat baik. Penjenamaan diri yang hebat tidak semestinya mempunyai jumlah pengikut yang beratus ribu ataupun berjuta orang, tetapi mereka mempunyai pengikut yang setia.

Macam mana kita hendak tahu sama ada orang itu mempunyai penjenamaan diri yang baik ataupun tidak? Ada tujuh faktor kesemuanya yang menyumbang kepada penjenamaan diri yang kukuh.

Anda berada di dalam kepala pengguna. Apabila anda bertanyakan kepada rakan anda, “Bro, kau ada tak kenal sesiapa yang ada pengalaman, kepakaran dan pengetahuan tinggi yang boleh membantu aku dalam pemasaran digital?”  Kemudian, anda terus sahaja menjawab, “Ada sorang brader ni, nama dia Azleen. Nah ambik ni, telefon nombor dia.” Sekiranya nama anda terus dipetik dari dalam kepala mana-mana individu, ini bermakna penjenamaan diri anda memang boleh tahan.

Mesej anda jelas. Mereka bukan sahaja memetik nama, tetapi tahu nama tadi akan sinonim dengan autoriti beliau dalam satu-satu bidang. Anda akan teringat AirAsia dahulu berbanding jenama lain apabila anda perlu membeli tiket tambang murah. Anda akan teringat Grab dahulu berbanding jenama lain apabila perlu ke sesuatu tempat dengan tambang yang murah. Mesej jenama mereka sangat jelas, kerana pengguna akan teringatkan jenama mereka dahulu sekiranya mereka memerlukan produk atau perkhidmatan yang jenama tadi tawarkan. Atas sebab ini juga jenama anda akan senang diingati.

Laman web yang mempunyai domain nama sendiri. Tidak ramai orang yang bangga dengan nama sendiri. Mereka lebih rela menggunakan nama yang pelik-pelik sebagai domain laman web mereka. Hasilnya, tidak seberapa. Kalau anda betul-betul mahu menguatkan lagi penjenamaan diri anda, gunakan nama sendiri sebagai domain. Kemudian bina laman web yang cantik, berimpak tinggi dan mudah dilayari oleh pengguna.

Sentiasa berkongsi, tidak menjual. Hanya golongan amatur sahaja yang sering menjual di sana sini. Profesional seperti anda tidak akan sesekali merendahkan martabat anda dengan menjual secara keterlaluan tetapi sebaliknya berkongsi maklumat, idea, pendapat dan sebagainya. Buatkan orang membeli jauh lebih baik dan berkesan.

Sebarkan hanya berkenaan satu perkara, secara konsisten. Apabila anda bercakap dengan orang lain, menulis artikel, merekabentuk poster atau infografik, bercerita atau memuatnaik apa jua status di media sosial, anda tidak boleh lagi bercerita lebih-lebih tentang perkara lain kecuali tentang kepakaran anda sahaja. Sekiranya anda mahu menjadi autoriti dalam industri pemasaran digital, maka topik-topik anda mesti sentiasa berkisar tentang penjenamaan, media sosial, blog, enjin pencarian dan sebagainya. Jangan sesekali keluar dari lingkungan ini.

Autoriti. Anda mempunyai suara yang agak ‘lantang’ dan didengari oleh masyarakat terutamanya yang berada di dalam industri anda sendiri. Saranan dan pendapat anda sentiasa menjadi inspirasi kepada mereka. Ini boleh dilakukan melalui penulisan, forum dan seminar di mana anda dijemput untuk bercakap.

Interaksi. Tanpa interaksi yang aktif dengan para pengikut anda, mereka akan melihat anda sebagai seorang yang sombong dan bongkak. Kalau ada sedikit sahaja perasaan sebegini oleh mereka terhadap anda, habislah. Dengan berinteraksi dengan mereka, anda akan membina perhubungan yang kukuh di antara satu sama lain. Dengan perhubungan yang kukuh, orang akan lebih percayakan anda dengan lebih kuat lagi. Dan apabila mereka percayakan anda, proses membuatkan mereka membeli jauh lebih mudah dan cepat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *