Bahasa Malaysia

Penjenamaan Semula Syarikat Anda Tidak Semestinya Kena Mulakan Semuanya Dari Kosong

Penjenamaan semula syarikat anda tidak semestinya kena mulakan semuanya dari kosong. Malah, ia perlu dilakukan secara berperingkat, dan pasukan kami boleh membantu anda...

Apabila agensi saya mendapat kontrak untuk menjaga dan mentadbir operasi media sosial para pelanggan yang baharu, pertama sekali yang pasukan saya akan lakukan ialah dengan membuat sedikit penjenamaan semula syarikat pelanggan tadi di peringkat media sosial dahulu. Beberapa langkah kecil akan diambil untuk memantapkan lagi strategi untuk mendapatkan trafik yang tinggi melalui media sosial. Untuk empat bulan yang pertama, ini yang akan dilakukan oleh pasukan saya di media sosial:

  1. Penyediaan kata-kata kunci, pendek dan panjang. Ini sangat penting untuk membina autoriti syarikat pelanggan tersebut dalam industri mereka.
  2. Membuat perubahan pada penulisan profil syarikat agar lebih terserlah, mudah diingati dan mudah difahami. Kata-kata kunci juga akan dimasukkan ke dalam profil baharu.
  3. Pembinaan slogan yang relevan.
  4. Menyediakan imej untuk banner di media sosial yang baharu dan sesuai agar selari dengan persekitaran laman web yang ada.
  5. Kurangkan memuatnaik status yang berbentuk ‘syok sendiri’ dan lebihkan status yang berbentuk perkongsian idea, maklumat yang boleh dipelajari oleh para pembaca dan pendapat-pendapat bernas yang sesuai.
  6. Penyusunan semula pasukan pemasaran pelanggan tadi, untuk lebih bersedia dalam menyambut trafik yang tinggi ke media sosial.
  7. Jadikan beberapa orang dari mereka sebagai administrator di media-media sosial yang ada.

Pasukan saya juga akan memberikan cadangan kepada pelanggan tadi untuk membuat sedikit perubahan pada laman web yang sedia ada juga. Ini kerana kebanyakan laman web pelanggan yang baharu tidak bersedia untuk menerima trafik atau pengunjung. Mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menukarkan pengunjung-pengunjung yang datang kepada pembeli berbayar. Kebanyakannya sudah terlalu lama tidak dikemaskinikan. Jadi kami akan menyediakan senarai di bawah kepada para pelanggan untuk tindakan mereka:

  1. Penulisan semula pada setiap mukasurat laman web
  2. Menambahbaikkan menu yang ada di laman web.
  3. Meminta pelanggan tadi untuk mempertimbangkan agar dapat memasukkan artikel-artikel baharu secara berterusan dan konsisten ke dalam laman web.
  4. Satukan kesemua laman-laman web yang ada agar lebih sistematik dan tersusun. Terdapat juga syarikat-syarikat yang mempunyai lebih dari satu laman web dalam syarikat yang sama. Malah ada juga yang mempunyai laman web dan laman blog yang berasingan.
  5. Penggunaan pautan-pautan atau backlink yang lebih berimpak tinggi.
  6. Pastikan wujudnya butang-butang call-to-action yang boleh digunakan oleh para pengunjung dan borang dalam talian yang ada berfungsi dengan baik.

Setelah empat bulan beberapa penukaran strategik ini dilakukan, kita akan duduk semeja dan melihat laporan-laporan yang disediakan. Sekiranya wujud perubahan positif dari aspek jualan ataupun setidak-tidaknya kadar trafik dan engagement yang baik, maka baharu fasa kedua penjenamaan semula syarikat akan dilakukan. Kali ini, baharulah strategi penjenamaan semula yang lebih mendalam dan lebih menyeluruh akan dilakukan. Ini termasuklah perubahan pada bahan-bahan pemasaran yang berbentuk fizikal bagi menyokong strategi pemasaran digital yang ada, perubahan pada rekabentuk dan look-and-feel laman web dan sebagainya.

Fasa ketiga dan terakhir, perubahan pada elemen-elemen asas akan dilakukan, seperti penukaran logo, warna, nama dan imej korporat yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *