Bahasa Malaysia

Untuk Kuatkan Penjenamaan Diri, Anda Perlu Fokus

Tidak mudah sebenarnya untuk membina penjenamaan diri, dan ia bukan sekadar menjual nama anda semata-mata.

Anda akan menghadapi masalah dengan penjenamaan diri sekiranya anda mempunyai perkataan generalist pada jawatan, kedudukan atau pangkat anda.

Cuba anda buka mata anda seluas mungkin, dan lihat bagaimana individu-individu terkenal ini menakluki dunia ketika ini. Dato’ Jimmy Choo dengan sepatu berjenama wanita. Tan Sri Tony Fernandes dengan penerbangan tambang murah AirAsia. Dato’ Lee Chong Wei dengan permainan badminton. Datuk Nicole Ann David dengan permainan skuash. Datuk Lat dengan lakaran kartun beliau dan pelbagai individu lain lagi dengan industri masing-masing. Adakah mereka seorang generalist?

Sama sekali tidak. Mereka tidak meluangkan masa dan tenaga untuk membina jenama diri sendiri diluar bidang yang mereka fahami. Keutamaan sebaliknya diberikan untuk fokus kepada kekuatan yang ada. Ya, mungkin mereka juga mempunyai perniagaan lain tetapi biasanya ia akan dikendalikan oleh rakan kongsi mereka ataupun dipertanggungjawabkan kepada pekerja.

Jadi, bagaimana pula dengan anda? Untuk mencari kekuatan, fokus harus ada pada keempat-empat kriteria di bawah. Kesemuanya harus dipenuhi dan tidak boleh kurang walau satu pun.

Minat. Dengan minat yang mendalam, kadang-kadang ia membuatkan anda tidak boleh tidur malam. Pelbagai bentuk idea akan datang kepada anda tidak kira masa. Ada yang praktikal dan ada yang sesuai untuk dilakukan pada masa akan datang. Tanpa minat, anda pasti akan sentiasa mengheret diri sendiri untuk melakukan sesuatu dengan ‘terpaksa’ setiap hari. Contoh yang paling baik ialah seperti sekarang, untuk ke tempat kerja. ‘Berat’ bukan? Sebab anda tidak minat dengan kerja sekarang. Tetapi kalau minat, anda pasti akan berasa ‘ringan’ untuk ke pejabat kerana terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan.

Kepakaran. Apabila anda mempunyai minat yang mendalam, ia perlu disusuli dengan kepakaran juga. Mahir dalam perkara yang anda minat bakal memberikan impak yang tinggi kerana ia akan menjadi mudah untuk ditukar kepada kerjaya yang amat berjaya ataupun perniagaan yang menguntungkan. Sekiranya kereta anda rosak contohnya, anda hampir pasti akan menghantarnya ke bengkel kereta yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang tinggi untuk dibaiki. Anda sudah tentu tidak ingin menghantarnya berkali-kali akibat kerosakan yang sama masih berulang. Seperti anda, sesiapa pun akan mementingkan bengkel yang mampu memberikan hasil yang terbaik. Sebab itu kepakaran sangat penting dalam pembinaan jenama anda, dan buah mulut yang positif biasanya akan bermula dari sini.

Pengalaman. Pengalaman selama bertahun-tahun akan membantu meningkatkan lagi kepakaran yang ada. Pengalaman biasanya akan diperolehi dari pembelajaran secara langsung dari projek-projek yang anda uruskan untuk para pelanggan anda iaitu dari permasalahan yang timbul, perbincangan dan interaksi anda dengan ahli-ahli pasukan dan juga pelanggan dalam mencapai objektif projek. Pengalaman positif dan negatif ini akan membantu meningkatkan kepakaran yang ada dan seterusnya meningkatkan juga daya saing serta autoriti anda dalam industri.

Pengetahuan. Ia boleh dipelajari melalui tiga kaedah utama iaitu pembacaan, pengalaman dan juga pemantauan atau observation. Banyak ilmu boleh diperolehi daripada pembacaan tetapi ia masih tidak cukup untuk membina karakter dan autoriti anda. Anda perlu menimba pengalaman dengan melakukan kerja anda. Pengalaman juga boleh diperolehi dari berinteraksi anda dengan pelanggan dan ahli-ahli lain dalam pasukan yang sama-sama menjayakan projek anda itu. Di samping itu juga anda boleh memantapkan lagi pengetahuan anda melalui aktiviti pemantauan. Lihat dari jauh gelagat atau tabiat para pengguna di luar sana, kemudian kumpulkan data-data yang ada dan jawab persoalan-persoalan yang wujud dari pemantauan tadi.

Tidak mudah sebenarnya untuk membina penjenamaan diri, dan ia bukan sekadar menjual nama anda semata-mata. Anda juga harus fokus, iaitu dengan memberikan tumpuan khusus kepada autoriti yang bagaimana yang anda mahu para pengguna di luar sana untuk kaitkan nama anda tadi. Untuk mereka mampu mengingati nama anda, industri anda dan autoriti anda dalam industri tadi, anda perlu bagus dalam apa yang anda lakukan. Dan untuk bagus, anda tidak boleh lari dari mempunyai keempat-empat kriteria yang telah saya huraikan tadi.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *