Bahasa Malaysia

4 Cara Bagaimana Pasarkan Aplikasi Mudah Alih Dengan Efektif

Keempat-empat faktor yang saya akan kongsikan nampak remeh sahaja, tetapi amat penting bagi mendapatkan hasil yang baik dalam jangka panjang untuk memasarkan aplikasi mudah alih anda.

Bukan mudah untuk memasarkan mobile app atau aplikasi mudah alih yang baharu kepada para pengguna di luar sana. Untuk ia dikenali ramai, perjalanan pemasarannya amat perit dan akan mengambil masa yang agak lama. Namun ada empat cara yang tidak ramai orang tahu yang boleh memendekkan kitaran pemasaran yang panjang tadi.

Tawaran nilai, atau value proposition yang kuat. Anda perlu letakkan diri anda di tempat orang ramai buat seketika. Fikir bagaimana mereka berfikir. Sebagai pengguna yang baharu sahaja nampak aplikasi mudah alih ini buat kali pertama, apakah dua soalan penting yang paling pertama sekali yang anda fikirkan? Sudah tentu anda akan berfikir adakah aplikasi ini anda akan gunakan dalam aktiviti harian anda  ataupun tidak, dan pada masa yang sama anda juga akan mencari satu sebab mengapa anda perlu memuat turun aplikasi ini ke dalam telefon pintar anda. Aplikasi yang berkualiti tinggi ialah apabila ia mempunyai alasan yang kukuh yang mampu menjawab kedua-dua persoalan tadi. Sekiranya aplikasi mudah alih anda masih lagi terkial-kial tentang tawaran nilai ini, lebih baik anda jangan pasarkannya dahulu.

Pengalaman manis. Faktor kedua penting sebelum membuat apa jua strategi pemasaran anda ialah dengan memastikan pengalaman pengguna ketika melihat dan ‘bermain-main’ dengan aplikasi mudah alih anda amat baik dan bergerak lancar. Aplikasi anda perlu mudah digunakan, cepat untuk dimuat turun, tindakbalas yang pantas ketika diklik, harga yang murah atau percuma dan user interface yang baik. Ini merupakan elemen-elemen penting untuk menarik para pengguna, terutamanya pengguna-pengguna baharu untuk memuat turun dan mencuba aplikasi anda.

Laman web. Ketiga ialah laman web yang mudah. Biasanya landing page untuk laman web ini hanyalah satu mukasurat sahaja. Ia mempunyai beberapa kriteria penting seperti butang-butang muat turun yang akan membawa pengunjung ke Google Play atau AppStore, ceritakan sedikit tentang latar belakang aplikasi mudah alih ini, tentang syarikat anda dan sebagainya. Laman web ini juga perlu mempunyai menu Blog di dalamnya. Ini sangat penting untuk mendapatkan ranking yang tinggi di enjin pencarian Google.

Bajet untuk iklan. Agak sukar sebenarnya untuk mengharapkan penyebaran secara organik semata-mata. Jadi, anda perlu menyediakan peruntukan yang sesuai untuk aktiviti-aktiviti iklan di media sosial, enjin pencarian dan juga individu-individu berpengaruh di media sosial atau lebih dikenali sebagai social media influencers. Formula penyediaan bajet boleh dilakukan dengan berpandukan bagaimana tahap desperado anda. Sekiranya anda agak terdesak dan tidak mempunyai masa yang lama untuk melihat hasilnya, maka bajet yang anda perlu sediakan adalah besar. Sebaliknya, jika anda mempunyai banyak masa dan tidak terdesak untuk melihat hasil dengan cepat, cukup sekadar dengan bajet yang kecil sahaja.

Keempat-empat faktor di atas nampak remeh sahaja, tetapi amat penting bagi mendapatkan hasil yang baik dalam jangka panjang.

Biasanya anda akan dapat melihat momentum yang baik selepas empat bulan. Anda boleh meneliti laporan-laporan harian yang disediakan oleh Google Analytics laman web anda tentang jumlah trafik yang datang ke laman web anda dan bagaimana demografi pengunjung-pengunjung anda. Dari trafik pengunjung itu tadi, anda kemudian boleh juga melihat jumlah muat turun yang terdapat pada laporan yang diberikan oleh Google Play dan AppStore. Berdasarkan laporan yang disediakan ini semua, anda perlu membuat sedikit perubahan demi perubahan pada strategi pemasaran anda bagi mendapatkan hasil yang lebih baik lagi.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *