Bahasa Malaysia

Mengapa Pemasaran Media Sosial Tidak ‘Menjadi’

Kenapa pemasaran media sosial ini semakin hambar dan tidak seperti yang dibaca? Mungkin 6 perkara ini sebabnya.

6 Perkara Ini Punca Sebenar Masalah Anda.

Saya perhati dari jauh gelagat beberapa bos besar jenama industri kecil dan sederhana, IKS tentang apa yang mereka perkatakan berkenaan dengan pemasaran media sosial. Ramai yang merungut, kenapa pemasaran media sosial ini semakin hambar dan tidak seperti yang dibaca. Aktiviti dilakukan setiap hari dan wang telah dibelanjakan beribu juga setiap bulan tetapi hasil tiada.

Apabila diamati, 6 perkara ini terkeluar dari hasil pemerhatian saya.

Masa yang singkat. Baru 6 bulan berkecimpung dalam dunia media sosial dah kecoh inginkan jualan yang beratus ribu ringgit. Alamak kawan, logik sikitlah kalau nak merungut pun. Pemasaran media sosial bukan berfungsi sebagai alat untuk menjual, dan ia tidak akan menghasilkan jualan dalam masa yang singkat. Ia bertindak sebagai pemangkin untuk pengguna di luar sana mempercayai yang mereka memerlukan produk atau perkhidmatan anda. Apabila mereka percaya, baru mereka akan beli. Itu pun tak faham-faham. Sabarlah sikit.

Bergantung kepada media sosial semata-mata.  Perkara kedua yang tidak betul ialah tiada aktiviti pemasaran lain kerana dianggap mahal. Mereka mengharapkan pemasaran di media sosial seratus peratus. Anda tidak boleh mengharapkan pemasaran media sosial sahaja dan mengharapkan pemasaran tradisional seratus peratus juga tidak boleh. Jenama anda akan mati. Anda sepatutnya menggunakan tiga langkah penting ini – pemasaran digital, pemasaran tradisional dan juga penggunaan kaedah perhubungan awam. Pemasaran digital ialah aktiviti yang merangkumi penjenamaan, pembuatan kandungan sehinggalah kepada pembinaan komuniti. Pemasaran tradisional pula termasuklah membuat kemeja T, kain rentang iklan, sticker, kad perniagaan, penajaan majlis tertentu, papan tanda dan sebagainya. Dan akhir sekali ialah perhubungan awam, iaitu menghantar siaran akhbar ke media-media massa dan bekerjasama dengan penulis blog.

Iklan di media sosial. Memang seronok mendapat jumlah Like, Comment dan Share yang banyak tetapi tiada yang datang membeli. Ramai tidak sedar media sosial bukan tempat untuk menukar pengunjung kepada pembeli. Ia sekadar untuk mendapatkan perhatian, itu sahaja. Ia sekadar untuk memastikan mereka sentiasa melihat logo anda, nama anda dan perniagaan anda dengan harapan lama-lama ia akan diingati.

Salah tempat. Anda menjual produk atau perkhidmatan yang akan dibeli oleh syarikat lain, dan bukannya individu. Anda tidak berada dalam industri runcit. Jadi kenapa habiskan masa di Facebook dan Instagram? Platform ini bukan untuk anda, salah. Anda sepatutnya berada di LinkedIn dan Twitter. Baru betul. Di sini sebenarnya bakal pelanggan anda berada.

Salahkan orang lain, dan bukannya diri sendiri. Memang senang nak salahkan orang lain, dari pasukan jualan anda, pasukan pemasaran anda, para pekerja anda dan juga agensi pemasaran yang anda lantik. Kebanyakan dari masalah pemasaran bukan berpunca dari orang-orang ini tetapi dari ketua pegawai eksekutif sendiri. Ya, anda sebagai eksekutif nombor satu syarikat anda perlu bertanggungjawab ke atas permasalahan. Mengapa? Anda sering beranggapan yang strategi yang anda gunakan semuanya betul tetapi sebenarnya salah dan sering bertukar-tukar. Hari ini strategi begini, esok lusa strategi begitu. Minggu hadapan kedua-dua tidak lagi boleh pakai, kerana ada strategi baharu yang lebih ‘bagus’. Bila orang lain tegur, anda melenting marah. Pandangan orang lain anda pura-pura dengar tetapi sebenarnya anda tidak ambil kisah. Anda terlalu mementingkan pesaing anda berbanding kekuatan dalaman yang ada. Anda langsung tidak percaya dengan pasukan anda sendiri.

Anda terlalu sibuk. 24 jam sehari memang tak cukup, mungkin 32 jam sehari baru cukup rasanya untuk anda. Anda sibuk setiap hari ke hulu ke hilir dengan mesyuarat, perbincangan, berkopi-kopian dengan VIP, sering berada di majlis-majlis perniagaan dan sebagainya ketika waktu bekerja. Malam pula sudah keletihan tetapi perlu mengadap komputer pula. Saya dengar pun letih. Jadi bila waktunya untuk anda duduk seketika dengan tenang untuk memikirkan strategi syarikat. Bila waktunya untuk anda duduk seketika dengan tenang untuk memikirkan pemasaran syarikat. Bila waktunya untuk anda duduk seketika dengan tenang bersama-sama pasukan anda untuk sama-sama membuat keputusan dengan tepat tentang syarikat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *