Bahasa Malaysia

Video: YouTube Atau Facebook?

Ketahui perbezaan antara YouTube dan Facebook. Jika anda ingin tahu di mana untuk memuat naik video dengan kandungan yang khusus buat sasaran anda, sila baca dengan lebih lanjut.

Social Media Examiner, di antara sebuah portal pemasaran digital terkenal dunia beberapa hari yang lalu baharu sahaja mengumumkan yang mereka tidak akan lagi membuat perkongsian video di Facebook. Sebanyak tiga video seminggu yang sering mereka muatnaik di Facebook Video sebelum ini, kini mereka membuat keputusan untuk beralih ke YouTube. Michael Stelzner, Ketua Pegawai Eksekutif, penulis blog dan juga pakar media sosial di Social Media Examiner berkongsi kepada dunia melalui satu video baru-baru ini.

Dalam video tersebut, Michael mendedahkan hampir keseluruhan video-video Social Media Examiner yang dimuatnaik di Facebook Video mendapat sambutan yang hambar. Mengapa? Ini disebabkan oleh komuniti di Facebook tidak mempunyai penonton yang sebenar, terutamanya apabila satu-satu video itu berbentuk ilmiah dan ia melebihi 1-2 minit. Mereka sebaliknya lebih gemar membuat tatalan atau scroll dan mencari video yang bukan-bukan. Walaupun jumlah yang melihat atau view agak tinggi tetapi statistik ini langsung tidak ada apa-apa makna.

Di YouTube pula, sebaliknya berlaku. Ramai penonton di platform ini mempunyai minat untuk pelbagai bentuk video dan lebih gemar menonton bentuk video yang melebihi 2 minit dan sehingga habis.

Video-video yang dimuatnaik oleh Social Media Examiner biasanya berbentuk ilmiah, dokumentari bersiri berkenaan dengan topik media sosial dan pemasaran digital. Menurut Michael lagi, sebelum ini strategi mereka ialah untuk berada di mana komuniti mereka berada, iaitu di Facebook, Twitter, Pinterest, LinkedIn dan YouTube dengan memuatnaik semua video mereka secara native. Dengan kata lain, video mereka dapat dimainkan terus di platform-platform ini tanpa perlu ke laman portal mereka.

Pada mata kasar, Facebook Video jumlah tontonan atau view yang jauh lebih besar berbanding YouTube. Sepuluh kali jauh lebih besar sebenarnya, dan laporan yang dikeluarkan dilihat sangat-sangat memberangsangkan. Semuanya nampak bagus. Tetapi setelah beberapa lama, mereka dapati penonton di Facebook tidak berada lama di video-video ini. Perhatian mereka hanya beberapa saat sahaja sebenarnya. Sebaik sahaja tiba pada saat ke-60 dan seterusnya, jumlah penonton semakin berkurang sehingga tiada penonton langsung.

Berlainan pula di YouTube, data yang mereka lihat menunjukkan para penonton masih menonton video mereka sehingga habis, walaupun agak panjang. Kebanyakan dari mereka masih kekal menonton sehingga habis sebelum beralih ke video-video lain. Video Social Media Examiner biasanya mempunyai durasi 3 hingga ke 8 minit. Ada juga video mereka yang mencecah 50 minit dan lebih dari sejam pun ada.

Dari data-data yang didedahkan oleh Michael tadi, ia jelas menunjukkan strategi mereka perlu diubah sedikit apabila melibatkan penerbitan video. Mereka berada di platform yang salah selama ini, dan sedar keperluan untuk berada di YouTube lebih penting demi penonton. Jadi, strategi untuk meninggalkan Facebook perlu dilakukan kerana ia langsung tidak berbaloi.

Michael berkata lagi di dalam videonya, agak tidak masuk akal untuk terus menyediakan kandungan-kandungan yang orang tidak tonton atau baca seperti apa yang mereka rasai di Facebook. Tidak sesuai rasanya untuk meletakkan satu televisyen besar di lebuhraya yang besar di mana kenderaan semuanya laju-laju belaka. Pemandu dan sesiapa sahaja di dalam kenderaan-kenderaan ini tidak akan sempat untuk melihat apa yang terkandung di rancangan televisyen tadi. Bagi portal Social Media Examiner, Facebook ini ibarat satu lebuhraya besar dan video-video mereka ibarat rancangan televisyen. Sangat-sangat tidak sesuai di antara satu sama lain.

Selepas membaca artikel ini, saya terus membuat sedikit kajian tentang topik yang sama dengan melihat pandangan orang lain. Saya membaca artikel-artikel lain di internet dan melihat beberapa video juga di YouTube. Jelas dari sini, lebih banyak syarikat-syarikat penerbitan digital lain juga banyak menggunakan YouTube berbanding Facebook Video untuk menyebarkan kandungan video mereka.

Bagi Social Media Examiner, ia satu pengajaran yang sangat mahal buat mereka. Dengan jumlah pengikut yang amat besar di Facebook iaitu 533,000 kesemuanya berbanding hanya 22,000 di YouTube, keputusan yang dibuat Michael ternyata terlalu berat tetapi perlu. Jumlah pengikut yang besar tidak lagi bermakna mereka akan melihat dan menonton apa yang dihidangkan, terutamanya di Facebook. Ia lebih kepada gimik sahaja ataupun syok sendiri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *