Bahasa Malaysia

Lupakan Pengaruh Selebriti, Cari Individu Biasa Yang Popular Lebih Baik

Mempunyai ribuan dan jutaan orang untuk melihat produk anda tidak semestinya akan membuatkan mereka membeli. Para peminat selebriti ini juga tidak semua akan mengikuti apa yang ditulis oleh ikon mereka.

Memang betul, celebrity influencer atau selebriti yang berpengaruh dilihat amat penting untuk mencari perhatian bagi produk anda. Kan mereka mempunyai jumlah pengikut yang mencecah berjuta-juta orang, paling cikai pun beratus ribu juga. Memang ramai. Ini yang anda fikirkan, saya tahu. Ya, betul. Sekiranya anda mampu membayar sekitar RM1,000 dan lebih untuk satu status yang dimuatnaik, atau satu tweet silakan. Tiada siapa yang menghalang strategi anda ini. Lagipun tweet atau status yang mereka muatnaik bakal mencapai beratus ribu sehingga berjuta orang dalam sekelip mata.

Mempunyai ribuan dan jutaan orang untuk melihat produk anda tidak semestinya akan membuatkan mereka membeli. Para peminat selebriti ini juga tidak semua akan mengikuti apa yang ditulis oleh ikon mereka. Mereka tahu yang selebriti ini berkemungkinan besar tidak menggunakan produk yang mereka promosikan itu pun. Mereka juga tahu yang selebriti pujaan mereka ini dibayar bagi tujuan promosi. Tidak lebih dari itu.

Peminat-peminat yang masih menggunakan otak untuk berfikir akan perasan tentang kedua-dua benda tersebut. Apabila situasi ini wujud, pesanan yang cuba disampaikan oleh selebriti ini akan sia-sia. Walaupun mempunyai jumlah share atau retweet yang tinggi tetapi hasil yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan. Return on Investment atau ROI masih samar-samar. Mungkin glamor sahaja lebih tetapi jualan masih tidak seberapa.

Itu pun kalau mereka betul-betul ada pengikut. Sekarang ini pula semuanya boleh dibeli, dan pengikut-pengikut di Instagram, Twitter dan Facebook semuanya juga boleh dibeli. Ada kemungkinan juga jumlah pengikut yang ramai-ramai itu semua ada setengahnya dibeli. Apabila dibeli, maka itu mungkin bukan manusia tetapi hanyalah robot, software ataupun kad sim sahaja.

Sekiranya anda mempunyai jenama yang baik, produk yang berkualiti tinggi dan berhati-hati dengan peruntukan kewangan anda bagi memperolehi pemasaran yang berimpak tinggi, jangan memilih jalan singkat ini. Jangan mencari selebriti sebagai influencer anda, tetapi carilah micro-influencer atau individu biasa tetapi popular di kalangan rakan-rakan mereka. Mereka dikenali juga sebagai pengaruh mikro.

Agak berbeza dengan selebriti, golongan pengaruh mikro ini tidak tahu sebenarnya yang mereka popular di kalangan rakan-rakan mereka. Dalam media sosial kegemaran mereka, tingkahlaku mereka sentiasa ceria, menggembirakan orang lain dengan status-status yang kelakar, memuatnaik juga status yang serius sebagai pengajaran dan perhatian orang lain dan juga sering berkongsi gambar-gambar hobi dan persekitaran yang ada. Setiap status mereka akan memperolehi jumlah Like paling sedikit pun dalam 200-400, jumlah komen yang juga mencecah ratusan serta Share yang tinggi.

Walaupun jumlah pengikut mereka hanyalah pada sekitar 3,000 hingga 5,000 sahaja, tetapi kadar engagement mereka jauh lebih tinggi berbanding kadar yang diperolehi oleh selebriti-selebriti di luar sana. Ini kerana selebriti-selebriti ini mempunyai pengikut yang jauh lebih ramai tetapi mempunyai kadar engagement yang hampir sama dengan micro influencer ini.

Mengapa ini berlaku?

Interaksi. Rahsia mereka ialah sentiasa berinteraksi, berkomunikasi dan ‘bercakap’ dengan kawan-kawan mereka yang memberikan respon kepada setiap status yang dimuatnaik. Malah ada yang siap bersembang tentang topik lain pada posting tentang perkara lain. Ini menjadikan status tersebut sentiasa berada pada News Feed kerana ia mempunyai kadar engagement yang tinggi.

Pengikut mereka adalah orang yang mereka kenal. Golongan selebriti mempunyai lebih ramai pengikut yang terdiri dari peminat, tetapi pengaruh mikro pula mempunyai pengikut yang terdiri dari rakan-rakan sekolah, rakan sepejabat, jiran, saudara-mara, kenalan kepada kenalan yang lain dan sebagainya. Ini jauh lebih berkualiti dan untuk mempengaruhi tabiat membeli mereka juga jauh lebih mudah. Sebab itu, berita yang baik senang untuk disebarkan dan berita buruk pula jauh lebih laju tersebar. Ini lah sebabnya.

Aktif di ruangan komen. Kebanyakan interaksi yang aktif ada di ruangan komen. Ini sangat bertepatan dengan algoritma media-media sosial seperti Facebook, Instagram dan LinkedIn untuk memastikan status yang mempunyai engagement yang tinggi akan sentiasa berada di News Feed.

Menjawab pertanyaan. Cuba anda tanya sesuatu kepada selebriti kegemaran anda. Sama ada dia akan menjawab dengan pantas, mengambil masa berbulan ataupun tidak menjawab langsung. Kebarangkalian untuk tidak menjawab langsung jauh lebih tinggi berbanding dua yang lain. Ego mereka agak tinggi terutamanya kepada yang mempunyai populariti yang dahsyat, jadi untuk menjawab komen anda agak sukar bagi mereka. Bagi selebriti sebegini, mereka akan memuatnaik satu status tentang produk dan itu sahaja. Sebaliknya berlaku pada golongan berpengaruh mikro ini, setiap soalan dan pertanyaan akan dijawab dengan pantas dan diselit pula dengan unsur-unsur humor, pengalaman dan juga pendapat. Ini lebih mendatangkan impak tentang keputusan pembelian seseorang.

Jujur. Golongan berpengaruh mikro ini kebanyakannya akan menyediakan status melalui pendapat yang jujur. Mereka jarang mendapat sebarang bayaran bagi tujuan promosi tetapi berkemungkinan besar akan diberikan penajaan sepenuhnya atau diskaun untuk menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan itu. Dari pengalaman ini, baharu mereka akan menulis tentangnya. Penulisan biasanya akan lebih teliti, tentang pengalaman mereka, apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *