Bahasa Malaysia

Apabila Pemasaran Gagal, Ini Mungkin Dapat Membantu

Anda sebenarnya memerlukan satu bentuk pemasaran yang mampu menjangkau jauh tanpa memerlukan kos yang tinggi, dan juga yang mampu membuatkan orang ramai mempercayai jenama anda secepat mungkin.

Anda hampir kecewa. Semua sudah anda cuba tetapi tiada satu pun yang nampaknya berjaya mendapatkan hasil yang anda kehendaki. Bagi golongan usahawan kecil dan sederhana seperti kita, peruntukan kewangan bukan perkara yang boleh diambil mudah – terutamanya apabila melibatkan pemasaran. Kita bukan anak orang kaya, jadi kapasiti kewangan kita memang terhad. Dengan apa yang kita ada ini, setiap pergerakan pemasaran harus mempunyai hasil yang sepatutnya. Kalau tidak, lebih baik kita gunakan peruntukan tadi untuk benda lain yang sama penting.

Anda tahu, pemasaran secara dalam talian jauh lebih murah berbanding secara tradisional. Kadar jangkauannya juga jauh lebih besar, mampu mencecah puluhan ribu orang di dalam dan juga di luar negara. Ramai pakar pemasaran digital terutamanya dari negara-negara maju amat mengesyorkan pemasaran digital, penggunaan media sosial dan juga pembelian iklan-iklan secara dalam talian kerana melalui saluran-saluran ini hampir kesemuanya boleh diukur melalui parameter tertentu. Tetapi apabila anda cuba selama hampir setahun, tiada juga yang datang membeli.

Kemudian anda sedar tentang dua fakta penting ini:

Jangkauan yang besar tidak semestinya akan memberikan pulangan dalam bentuk jualan. Memanglah, ramai yang datang mengunjungi laman web dan media sosial anda. Tetapi mereka datang melihat sekali dua sahaja dan bagi anda ini tidak mencukupi untuk membuatkan mereka membeli. Walaupun mereka telah menjadi pengikut anda, ia masih belum cukup bagi mereka untuk membeli. Mungkin anda rasa mereka memerlukan lebih dari sekadar melihat status-status anda yang dimuatnaik setiap hari, tetapi tidak pasti apakah yang harus anda lakukan.

Kita berada di Malaysia, bukannya di negara Barat. Anda tahu, kita semua berada di kelompok mentaliti kelas ketiga walaupun kita sedang menghampiri tahun 2020 tidak lama lagi. Kalau anda jenguk di Facebook, portal-portal e-dagang yang semakin banyak di luar sana, memang tidak sah kalau tidak ditipu. Yang menipu mungkin juga lebih ramai dari yang jujur. Yang menjual pun menipu dan yang membeli pun sama naik juga. Mereka sebenarnya mungkin takut ditipu rasanya.

Pemasaran tradisional pula terlalu mahal bagi anda. Untuk berada selama 10-20 minit di program-program pagi di stesen televisyen terkenal pun memerlukan kos sebanyak hampir RM20,000. Itu yang anda dengar. Kalau menggunakan ‘kedai-kedai di televisyen’ pula, walaupun percuma tetapi mereka akan mengambil hampir 40 peratus dari keuntungan jualan. Sementara itu, iklan-iklan di radio, kalau tidak mencecah ribuan ringgit kosnya, memang tidak sah. Papan-papan tanda iklan di tepi jalan pun tidak kurang mahalnya. Walaupun saluran-saluran ini boleh mencapai penonton berjuta-juta rakyat Malaysia, tetapi hasilnya belum tentu lagi. Lagipun kos sebegini memang jauh dari kemampuan anda.

Semuanya Gagal.

Masihkah ada lagi bentuk pemasaran yang anda boleh lakukan dan mempunyai harapan yang agak tinggi untuk mendapatkan jualan? Anda sebenarnya memerlukan satu bentuk pemasaran yang mampu menjangkau jauh tanpa memerlukan kos yang tinggi, dan juga yang mampu membuatkan orang ramai mempercayai jenama anda secepat mungkin. Apabila lebih ramai orang melihat jenama anda dan mempercayainya, lebih mudah untuk anda mendapatkan jualan.

Dapatkan Agen.

Apa yang anda boleh lakukan ialah dapatkan agen, ini kaedah yang ramai usahawan kecil dan sederhana terlepas pandang. Selain industri kosmetik, jualan langsung, unit amanah, insurans dan sebagainya, tidak banyak industri-industri lain yang menggunakan agen bagi mendapatkan jualan. Terdapat beberapa cara yang anda boleh gunakan apabila agen-agen ini berminat untuk menjual produk anda.

Agen penuh, mereka dibenarkan dan berminat untuk keluar dan mencari jualan bagi pihak anda. Mereka mungkin akan membayar sedikit yuran untuk menjadi agen anda, dan berkongsi keuntungan dari transaksi. Berbeza pula dengan Affiliate, golongan ini pula berminat untuk memberikan anda trafik internet untuk sedikit komisen. Kebanyakan dari mereka adalah penulis blog dan laman blog mereka mempunyai jumlah pengunjung yang ramai. Dropshipper adalah satu bentuk agen juga, cuma bezanya ialah mereka cuma mahu mengambil pesanan sahaja dari kenalan-kenalan mereka dan tidak lebih dari itu. Proses pembayaran dan penghantaran barang perlu dilakukan oleh anda. Apabila produk telah dijual dan dibayar, mereka cuma mahukan sedikit komisen.

Pengaruh mikro, golongan ini yang akan membantu anda menyediakan kempen kreatif di media sosial yang ‘menggalakkan’ ribuan pengikut mereka untuk mencuba produk anda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *