Bahasa Malaysia

Bajet Pemasaran Untuk Tahun 2019

Tahun 2018 merupakan tahun yang mencabar bagi kebanyakan jenama di Malaysia, tetapi percayalah tahun 2019 akan lebih dahsyat lagi. Saya melihat tahun 2019 bakal menyaksikan dua kejadian penting akan berlaku.

Anda sendiri sedar, pembeli kini jarang membuat keputusan untuk membeli pada hari pembelian. Mereka sebenarnya telah membuat keputusan jauh lebih awal dari hari tersebut. Dan keputusan mereka dipengaruhi hasil dari ‘kerja rumah’ yang dilakukan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan yang bakal dibeli seperti maklumbalas melalui video yang dimuatnaik di media sosial, pendapat orang di sekeliling, artikel-artikel yang ditulis dan sebagainya. Mereka akan mengorek setiap bahan yang ada di Google terlebih dahulu sebelum keputusan betul-betul dibuat.

Kesemua bahan ini adalah bahan-bahan pemasaran.

Kebanyakan jenama kecil dan sederhana bakal melakukan kesilapan yang amat besar dengan menyediakan peruntukan kewangan atau bajet yang lebih besar di jabatan-jabatan lain berbanding pemasaran. Bagi mereka, pemasaran hanyalah satu jabatan yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan nyata kepada syarikat melainkan kos semata-mata.

Berbeza pula bagi jenama-jenama yang lebih inovatif, mereka melihat pemasaran sebagai pasukan yang sangat penting untuk mendorong para pengguna di luar sana untuk perasan, kenal, cuba, guna dan setia dengan produk yang ditawarkan. Walaupun mereka faham proses pemasaran ini agak lama, tetapi penantian dan pelaburan yang diberikan ini sangat berbaloi.

Tahun 2018 merupakan tahun yang mencabar bagi kebanyakan jenama di Malaysia, tetapi percayalah tahun 2019 akan lebih dahsyat lagi. Saya melihat tahun 2019 bakal menyaksikan dua kejadian penting akan berlaku. Pertama, kepupusan jenama-jenama yang tidak mempunyai nilai yang boleh mereka tawarkan kepada pengguna. Dan kedua, jenama-jenama yang tinggal kebanyakannya akan berada dalam kitaran kehidupan para pengguna dan produk mereka digunakan hampir setiap masa.

Secara peribadi, saya melihat jenama-jenama yang kuat bakal menyediakan peruntukan kewangan yang besar untuk pemasaran. Tujuan mereka mudah. Mereka berhasrat untuk mengukuhkan posisi jenama mereka di hati dan fikiran pengguna. Mereka mahu komuniti mereka ini akan kekal terus menggunakan khidmat ataupun produk yang ditawarkan sampai bila-bila. Hanya dengan menawan hati dan fikiran pengguna, mereka mampu ‘menawan’ sesebuah negara.

Ini pelaburan yang bakal dilakukan untuk pemasaran mereka bagi tahun 2019.

Kandungan. Mesej mereka perlu disampaikan dengan cepat, mudah dan terus ke hati dan fikiran pengguna. Untuk memastikan ia tercapai, mereka bakal menyediakan kandungan-kandungan yang asli dalam bentuk video, penulisan artikel, infografik, grafik, poster dan juga kandungan yang dibina oleh komuniti dan pelanggan mereka yang dikenali sebagai user generated content. Satu bahan, satu mesej.

Iklan. Walaupun para pengguna semakin tidak mengendahkan iklan-iklan yang berada di media sosial, internet dan di platform-platform lain namun ia sangat perlu untuk menarik perhatian pengguna. Mereka akan mengeluarkan peruntukan yang lebih besar kepada agensi-agensi pengiklanan yang berkaliber bagi menyediakan iklan-iklan yang kreatif dan mampu tular terutamanya penghasilan video-video pendek dan poster-poster yang unik. Mereka tahu visual amat berkesan untuk melekat di otak berbanding penulisan.

Pengalaman manis pelanggan. Pelaburan yang lebih besar juga akan disalurkan kepada inisiatif yang mampu memberikan pengalaman manis ketika pelanggan berurusan dengan syarikat, dan juga ketika produk mereka digunakan. Salah satu contoh ialah dengan menyediakan beberapa pekerja yang hanya fokus untuk menjawab permasalahan, soalan, pertanyaan dan komen yang ada di media sosial. Pekerja-pekerja ini akan membantu menyelesaikan apa jua masalah dengan secepat mungkin. Yang penting, para pengguna mesti tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah untuk berbuat sesuatu, cukup sekadar menggunakan telefon pintar sahaja.

Perhubungan awam. Tanpa perhubungan awam, pemasaran tidak akan mampu pergi jauh. Hubungan dengan pihak media massa seperti akhbar, majalah dan lain-lain penerbitan amat penting kerana platform-platform ini juga mempunyai pengikut mereka yang besar. Ini juga merangkumi para penggiat media seperti penulis blog, vlogger dan individu-individu yang berpengaruh di media sosial atau social media influencer. Mereka mahukan perhatian dari semua orang, termasuklah dari media tradisional.

Pembesaran Komuniti. Pengenalan inisiatif-inisiatif yang membolehkan para pengguna menjadi komuniti mereka, dan kekal di dalamnya, seperti dompet maya atau e-wallet, baucar, kerjasama dengan jenama-jenama lain yang membolehkan komuniti menggunakan point yang dikumpul untuk ditebus kepada produk atau perkhidmatan dari jenama lain.

Meluaskan jajahan. Jenama-jenama ini sedar, mereka tidak akan mampu bertahan lama hanya dengan berada dalam satu negara sahaja. Kerjasama demi kerjasama akan diteruskan dengan syarikat-syarikat dari pelbagai negara di rantau ini untuk meluaskan ‘jajahan’ mereka. Kata kunci di sini ialah kerjasama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *