Bahasa Malaysia

17 Elemen Asas Pemasaran Media Sosial

Faktor yang bakal menentukan jenama anda akan bertahan lama ataupun tidak.

Terdapat 17 elemen penting pemasaran media sosial yang boleh anda gunakan sebagai jalan pendek dalam perjalanan anda mendapatkan pelanggan dengan lebih cepat berbanding biasa. Senarai ini adalah berdasarkan pengalaman saya selama lebih 20 tahun berada dalam industri pemasaran media sosial, yang mengendalikan beberapa pelanggan korporat dari dalam dan luar negara.

  1. Kualiti produk. Sebelum memulakan apa jua perniagaan dan apa jua bentuk pemasaran, pastikan dahulu produk yang anda akan jual berkualiti tinggi.
  2. Pengalaman pengguna. Bagi memastikan pelanggan anda mempunyai pengalaman yang manis ketika berurusan dengan syarikat anda, bina struktur proses bagi setiap jabatan yang ada dalam syarikat. Tanpa proses yang mudah difahami dan efektif, pengguna pasti akan menghadapi masalah.
  3. Buah mulut. Ia merupakan strategi pemasaran yang sangat efektif. Dengan pengalaman pengguna tadi, jenama anda akan menjadi buat mulut orang. Baik atau buruk, hanya dua sahaja pilihan yang akan terjadi. Di sini pemasaran melalui mulut ke mulut akan bermula, dan biasanya berita buruk akan tersebar dengan lebih cepat berbanding berita baik.
  4. Tawaran nilai. Manfaat yang bakal pengguna akan terima. Hampir kesemua pengguna akan berfikir dan membuat ‘kerja rumah’ terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Persoalan yang paling penting yang bakal mereka tanya pada diri mereka sendiri ialah, “Adakah dengan membeli produk ini ia boleh membantu aku dalam kehidupan harian?”
  5. Harga. Tiada siapa yang suka membeli produk pada harga yang mahal. Untuk mendapatkan pelanggan yang berkualiti dengan lebih cepat, harga anda seharusnya bersesuaian dengan apa yang pasaran mahukan.
  6. Kebiasaan pengguna. Faktor yang bakal menentukan jenama anda akan bertahan lama ataupun tidak ialah bagaimana produk anda menjadi sebahagian dari kehidupan seharian pengguna. Sekiranya tidak, syarikat anda pasti akan menjadi kenangan pahit nanti.
  7. Sasaran pasaran. Siapa pelanggan anda sebenarnya? Tidak semua mampu menjawab soalan mudah ini. Ramai yang mengatakan yang semua orang adalah sasaran pasaran yang berpotensi menjadi pelanggan mereka. Ini tidak benar.
  8. Penjenamaan. Terdapat dua jenis penjenamaan yang anda perlu lakukan – penjenamaan diri dan juga penjenamaan syarikat anda. Apakah itu penjenamaan? Ia mesej yang anda sampaikan kepada para pengguna di luar sana tentang siapakah anda (atau syarikat anda) dan mengapa mereka perlu membeli dengan anda dan bukannya dari orang lain.
  9. Mesej. Ini perlu spesifik. Penjenamaan anda tidak akan berhasil sekiranya orang ramai tidak memahami mesej yang anda cuba sampaikan. Mereka tidak akan faham bagaimana anda boleh membantu mereka. Anda berada di dalam industri yang mana satu, apakah yang anda perjuangkan selama ini dan apakah masalah yang wujud yang cuba anda selesaikan?
  10. Logo dan elemen-elemen grafik. Kalau manusia, kita akan kenal dari raut wajah dan gaya penampilannya, tetapi kalau jenama ia hanya boleh dikenali dan diingati melalui logo dan elemen-elemen grafiknya. Apakah yang dimaksudkan dengan elemen grafik? Ia merujuk kepada warna, objek yang digunakan, jenis font dan sebagainya.
  11. Gambar. Pengguna akan lebih tertarik untuk memberikan komen dan menekan butang Like pada media sosial anda sekiranya gambar-gambar yang digunakan adalah dari anda sendiri dan bukannya dari stok gambar di internet.
  12. Video. Algoritma media-media sosial amat menggemari kandungan video, berbanding gambar dan rekabentuk grafik.
  13. Hashtag. Ia amat berguna di Instagram dan Twitter. Ia juga berguna di LinkedIn, tetapi tidak sangat di Facebook.
  14. Lokasi. Ini sangat penting sekiranya anda aktif di Instagram. Ia membuatkan gambar anda mudah dijumpai.
  15. Memuatnaik kandungan di media sosial. Jangan terlalu menjual, tetapi kita masih perlu menjual. Jadi gunakan kaedah 80/20 iaitu lebihkan memuatnaik kandungan-kandungan yang berbentuk pengetahuan, pendapat, trend, statistik, bagaimana untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan industri anda. Yang lagi 20 peratus pula, muatnaik yang berkaitan promosi, diskaun dan jualan.
  16. Interaksi. Kukuhkan hubungan anda dengan para pengikut anda melalui interaksi yang aktif. Apabila anda dan pengikut anda lebih rapat di antara satu sama lain, ini akan lebih memudahkan mereka percaya kepada anda dan seterusnya membuatkan mereka membeli.
  17. Iklan berbayar. Apabila kita bercakap sahaja tentang media sosial, kita tidak dapat lari dari membayar untuk iklan sekiranya untuk mendapatkan capaian yang lebih besar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *