Bahasa Malaysia

9 Rahsia Pemasaran Bijak

Memikirkan kaedah bagaimana untuk mempercepatkan perkembangan organik perniagaan anda dengan cara yang paling kos efektif sekali, iaitu tanpa menggunakan wang yang banyak.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunapakai sekiranya anda menjual produk atau perkhidmatan runcit, Tawaran yang berbentuk runcit biasanya mempunyai para pelanggan yang terdiri dari bukan syarikat atau korporat tetapi individu-individu, yang membeli secara ala carte ataupun secara borong bersaiz kecil. Dan pembelian dilakukan secara tunai dan kad kredit.

Dengan pemasaran yang bijak, anda akan mampu membuatkan perniagaan berkembang dengan lebih cepat berbanding biasa, secara organik. Maksud perkembangan organik di sini ialah hasil yang diperolehi dari usaha-usaha dalaman yang dilakukan seperti pemasaran yang berkualiti, penjualan yang semakin baik, penambahan pelanggan berbayar dan sebagainya. Sekiranya perniagaan anda berkembang melalui pembelian syarikat lain, memperolehi dana dari orang luar ataupun penggabungan dengan syarikat lain, ini bukan perkembangan organik.

Untuk memperolehi perkembangan secara organik, ia akan mengambil masa untuk mendapatkan momentum yang baik dan konsisten. Ramai yang sering berbisik pada diri sendiri, bukan senang untuk menjalankan perniagaan terutamanya perniagaan kecil. Dari faktor modal yang tidak seberapa, kepada faktor utama bagaimana untuk mendapatkan para pelanggan berbayar yang setia membeli dari anda, semuanya ini bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi untuk memikirkan kaedah bagaimana untuk mempercepatkan perkembangan organik perniagaan anda dengan cara yang paling kos efektif sekali, iaitu tanpa menggunakan wang yang banyak.

Mungkin anda boleh pertimbangkan cadangan di bawah ini bagi tujuan tersebut.

Strategi. Semuanya bermula di sini. Ramai yang terjun ke alam perniagaan tanpa sebarang strategi, dan merungut bila tidak bersedia berhadapan dengan pelbagai senario perniagaan yang tidak menentu. Akhirnya perniagaan ditutup walaupun tidak sampai setahun berniaga. Strategi bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main, malah ia perlu dilakukan dengan betul. Dan ini mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan versi yang betul-betul kuat. Saranan saya, anda tidak boleh melakukannya sendirian. Anda perlu mendapatkan pertolongan dari seorang yang berpengalaman dalam pemasaran.

Laman web. Sekiranya anda mempunyai sedikit wang untuk membuat pelaburan dalam perniagaan anda, mulakan dengan laman web. Hanya dengan platform ini, jenama anda akan mudah dicari di Google.

Facebook Messenger. Perniagaan anda sudah pasti mempunyai media sosial sendiri untuk mengedarkan mesej-mesej kepada para pengguna tetapi tidak ramai yang perasan tentang kepentingan peranan Facebook Messenger. Siapkan Facebook Messenger untuk laman perniagaan Facebook anda, agar mudah untuk berinteraksi dengan para pengguna. Dengan Facebook Messenger, kini tidak perlu lagi mendedahkan nama sendiri dan juga nombor telefon peribadi anda.

Proses. Bila ada pengguna yang ingin membeli, baru kelam-kabut hendak memikirkan siapa yang sepatutnya kendalikan itu dan ini, apa yang perlu dijawab, bagaimana hendak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pengguna, siapa yang perlu menjawab dan sebagainya. Ini semua bakal menjadikan jenama anda sebagai tidak profesional di mata pelanggan. Proses-proses dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap setiap gerak kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu pada peringkat strategi lagi.

Penggunaan bahasa. Sekiranya anda inginkan setiap status yang anda muatnaik itu untuk pergi lebih jauh, seelok-eloknya anda menggunakan bahasa yang digunakan oleh sasaran pasaran anda. Kalau pelanggan anda lebih kepada berbangsa tertentu, gunakan bahasa yang mereka gunakan.

Kandungan dari pengguna. Selalu, kebanyakan jenama akan memuatnaik status mereka sendiri di media sosial. Ini normal tetapi membosankan. Sebab itu, ia tidak dapat pergi jauh. Tetapi kali ini, cuba anda meminta kebenaran pengguna-pengguna media sosial lain yang sesuai dengan jenama anda untuk memuatnaik kandungan mereka ke laman media sosial anda. Lihat hasilnya, tentu anda teruja kerana ia mampu pergi lebih jauh dari biasa.

Iklan berbayar. Tiada jenama yang dapat lari dari menggunakan iklan berbayar sekiranya mereka inginkan mesej yang ingin disampaikan ke luar dengan lebih jauh dari komuniti yang ada. Jadi, anda perlu sediakan sedikit peruntukan kewangan untuk iklan terutamanya di Facebook.

Bekerjasama. Menjalankan perniagaan dan pemasaran secara solo bagus tetapi tidak akan dapat pergi jauh. Dalam era internet ini, kerjasama dengan syarikat atau individu lain dengan hasrat yang sama dengan perniagaan anda, aktiviti dan promosi yang anda jalankan, mampu bergerak dengan lebih cepat lagi.

Meminta pertolongan. Sekiranya anda tidak pasti tentang strategi dan cara penggunaan media sosial yang efektif, dapatkan pertolongan segera sebelum terlambat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *