Bahasa Malaysia

Bagaimana Cara Tingkatkan Interaksi Media Sosial Dengan Mudah Dan Percuma?

Dalam banyak-banyak kaedah untuk meningkatkan tahap interaksi pada setiap status yang anda muatnaik di media sosial, terdapat satu kaedah yang amat berkesan. Bukan sahaja berkesan, tetapi juga percuma. Kaedah yang dimaksudkan ialah dengan menggunakan kandungan, seperti gambar dan video yang dimiliki oleh orang lain.

Saya tidak mencadangkan anda mencuri dari pemilik asal kandungan tersebut, tetapi dengan mendapatkan kebenaran dan sah. Di Malaysia, lain pula kisahnya. Kecurian kandungan memang berlaku setiap hari, mungkin juga setiap minit demi kepentingan peribadi masing-masing. Ada yang menjual produk, perkhidmatan, mendapatkan pengikut yang ramai dan sebagainya. Perniagaan semakin baik, interaksi di media sosial semakin meningkat dan para pengikut juga kini mencecah puluhan ribu orang tetapi sayang seribu kali sayang – ia diperolehi dari sumber yang dicuri.

Dengan meminta kebenaran dari pemilik asal gambar dan video, strategi ini jauh lebih berkesan berbanding mencuri. Dan ia lebih berkat. Mengapa?

Perkongsian yang lebih banyak

Sekiranya anda meminta kebenaran dari pemilik asal kandungan, mereka akan merasa bangga kerana kandungan yang mereka muatnaik itu dilihat bernilai pada orang lain. Apa yang mereka akan lakukan ialah, mereka turut akan menderma Like, memberikan komen ataupun berkongsi kandungan anda tadi dengan rakan-rakan media sosial mereka. Dengan automatik, status anda akan dilihat oleh komuniti pemilik kandungan tadi. Ini baru seorang, bayangkan anda menggunakan kandungan-kandungan dari berpuluh atau beratus orang dengan kebenaran.

Interaksi yang meningkat.

Apabila perkongsian meningkat, tahap interaksi pada setiap kandungan yang dimuatnaik juga akan meningkat.

Peluang yang lebih besar.

Sekiranya pemilik asal gambar atau video yang anda gunakan itu dari negara Thailand misalnya dan ia turut dikongsi oleh pemilik tadi dengan komunitinya sendiri di negara tersebut, akan ada kemungkinan juga anda bakal memperolehi pengikut-pengikut baharu dari sana. Dari sini, peluang untuk melebarkan perniagaan anda di sana akan lebih cerah lagi.

Jadi, bagaimana cara yang terbaik untuk meminta kebenaran dengan lebih profesional? Terdapat beberapa kaedah yang anda boleh gunakan.

Komen pada status di mana gambar yang anda minat untuk menggunakannya.

Sekiranya anda ternampak satu gambar yang menarik dari Instagram seseorang contohnya, cuma komen pada status orang itu tentang hasrat anda untuk meminta kebenaran untuk menggunakan gambar tersebut pada media sosial anda. Anda perlu juga memberitahu individu tersebut yang anda akan memberikankredit padanya melalui tag yang akan anda lakukan.

Peraduan.

Anda tidak perlu ke sana dan ke sini untuk mencari dan mencuri gambar yang menjadi milik orang lain. Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan mengadakan satu peraduan, sediakan hadiah yang bersesuaian dan selitkan di situ terma dan syarat yang menyatakan setiap gambar atau video yang dihantar secara automatik akan memberikan kebenaran mereka kepada anda untuk digunakan. Mereka akan bersetuju sekiranya mereka ingin menyertai peraduan anda dan memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan.

Menghantar pesanan terus.

Anda juga boleh menghantar pesanan terus secara peribadi kepada pemilik gambar yang anda berminat untuk menggunakannya. Berterus-terang kepada individu tersebut tentang hasrat anda.

Ada juga sesetengah penggiat media sosial yang gemar untuk terus memuatnaik gambar atau video milik orang lain, kemudian mereka memberikan kredit melalui tag yang dilakukan seolah-olah memberitahu kepada pemilik asal dengan cara terbuka yang mereka menggunakan aset orang itu. Kaedah ini agak berisiko kerana mungkin ada pemilik yang tidak suka. Kepada para pemilik yang tidak kisah tentang cara ini, tidak mengapa tetapi kepada mereka tidak suka, ini bakal menimbulkan rasa tidak puashati yang mungkin juga akan berlarutan sehingga memaksa anda untuk padamkan status yang dimuatnaik. Atau, ia mungkin juga berlarutan sehingga ke peringkat saman-menyaman dan mahkamah.

Apa yang dapat dirumuskan di sini ialah, hanya dengan meminta kebenaran peluang yang datang amat besar. Ia bermula dari peningkatan interaksi pada setiap status yang dimuatnaik kerana kualiti gambar dan video yang digunakan menarik dan berkualiti tinggi, kepada para pengikut yang semakin bertambah dan akhir sekali hasil jualan produk atau perkhidmatan anda kepada para pengguna.

Mudah, bukan?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *