Bahasa Malaysia

Rahsia Pemasaran Yang Berjaya

Tidak banyak jenama yang sedar rahsia sebenar pemasaran yang berjaya bukannya terletak pada peruntukan kewangan yang besar semata-mata. Rahsia sebenar terletak pada faktor-faktor ini.

Strategi dan perlaksanaan strategi pemasaran yang baik mampu membuatkan jenama anda akan terserlah. Apabila ia terserlah, orang ramai akan lebih mengenali jenama anda dan ini akan memudahkan penjualan produk yang ditawarkan.

Tidak banyak jenama yang sedar rahsia sebenar pemasaran yang berjaya bukannya terletak pada peruntukan kewangan yang besar semata-mata. Rahsia sebenar terletak pada faktor-faktor ini.

Strategi yang sistematik. Anda pernah menonton filem bersiri Prison Break? Ia menceritakan bagaimana Michael Scofield, membuat perancangan yang amat rapi untuk membantu abangnya  Lincoln Burrows untuk lari dari penjara sebelum dijatuhkan hukuman mati kerana dia tahu abangnya tidak bersalah. Dia tahu abangnya menjadi mangsa konspirasi besar dan terancang dari pihak yang tidak diketahui.

Dalam apa jua perkara yang anda lakukan, tiada kejayaan yang akan dicapai tanpa strategi yang baik. Pemasaran juga sama. Tanpa strategi, anda tidak akan tahu mengapa sesuatu aktiviti itu perlu dilakukan, bagaimana ia harus dilakukan, untuk siapa ia perlu dilakukan dan bila ia perlu dilakukan. Jadi, ambil sedikit masa, fikir dahulu halatuju dan susun kesemua elemen yang perlu bagi mencapai halatuju tadi.

Dokumentasikan perjalanan pemasaran. Kalau strategi pemasaran anda hanya berada di dalam kepala sahaja, ia tidak akan berhasil. Ia perlu ditulis dan didokumentasikan. Cara mendokumentasi sesebuah strategi pemasaran perlu mempunyai kriteria seperti objektif jangka panjang dan pendek, aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan dan bagaimana ia perlu dilakukan. Jadi anda perlu tahu di fasa yang mana satu anda berada sekarang, di fasa mana anda akan berada dalam masa tiga bulan yang akan datang dan seterusnya.

Proses yang teratur dan mudah. 90 peratus dari kejayaan pemasaran sebenarnya terletak pada kualiti produk anda dan juga pengalaman pelanggan ketika mereka menggunakan dan berinteraksi dengan anda. Untuk mempunyai kualiti produk yang baik di samping memberikan pengalaman yang manis kepada pelanggan, anda perlu mempunyai proses yang teratur, tersusun, mudah difahami dan mudah juga dilaksanakan oleh para pekerja anda.

Apakah proses yang anda sediakan apabila bakal pelanggan menghubungi anda untuk bertanya tentang produk? Apakah proses penghantaran produk yang anda sediakan apabila pelanggan telah membayar untuk produk tadi? Siapakah yang akan bertanggungjawab untuk menjawab aduan dan pertanyaan yang datang di media sosial? Apakah yang harus dilakukan untuk menyelesaikan aduan tadi? Pelbagai lagi persoalan-persoalan yang perlu anda jawab untuk setiap jabatan yang ada bagi menyediakan proses yang baik dan lengkap.

Halatuju yang praktikal. Objektif atau halatuju bagi setiap fasa pemasaran perlu praktikal, realistik dan masuk akal. Jangan bercita-cita terlalu tinggi yang tidak mampu dicapai oleh pasukan anda. Dan jangan pula terlalu rendah sehingga ia terlalu mudah untuk dicapai. Untuk mempunyai halatuju yang sesuai, perbincangan demi perbincangan perlu dilakukan oleh jabatan pemasaran anda dengan setiap jabatan lain yang ada agar setiap kata putus yang diperolehi akan dibuat sebulat suara.

Kajian tentang sasaran pengguna. Pelanggan kami adalah semua orang. Ini satu kenyataan yang tidak betul. Kebanyakan jenama yang merasakan bahawa semua orang adalah potensi pelanggan mereka biasanya akan gagal. Adakah jenama-jenama seperti Apple, AirAsia dan Starbucks merasakan semua orang adalah bakal pelanggan mereka yang sanggup membayar untuk membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan? Sudah semestinya tidak.

Kitaran hidupan pengguna memerlukan anda. Kita kini berada dalam era yang sangat bising. Hanya jenama-jenama yang mempunyai nilai sahaja yang akan terus kekal hidup. Maksud nilai di sini ialah, para pengguna di luar sana akan membuat keputusan bahawa mereka memerlukan produk atau perkhidmatan anda dalam kehidupan mereka ataupun tidak. Dengan kata lain, sekiranya mereka memerlukan produk atau perkhidmatan anda dalam kehidupan mereka tidak kira sama ada ketika mereka berada di rumah, di pejabat, ketika bercuti ataupun di kampung ini bermakna jenama anda amat bernilai kepada mereka.

Saya memerhati dari jauh taktik-taktik yang  digunapakai oleh hampir kesemua jenama besar dunia, dan ini yang dapat saya rumuskan untuk anda. Ia tidak semata-mata terletak pada kemampuan anda mengendalikan Facebook ataupun LinkedIn, sahaja tetapi jauh lebih besar dari itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *