Bahasa Malaysia

Bagaimana Menjadi Penulis Blog Sepenuh Masa

Tidak ramai yang tahu bagaimana untuk menjana pendapatan yang jauh lebih besar dengan menjadi penulis blog sepenuh masa.

Alangkah seronoknya sekiranya anda tidak perlu kelam-kabut setiap hari ke pejabat, mengadap kesesakan trafik setiap pagi dan petang, bekerja untuk orang lain, mempunyai masa untuk keluarga setiap hari, tidak ternanti-nanti hari Sabtu setiap minggu dan juga mempunyai pendapatan yang melebihi biasa pada masa yang sama.

Tidak ramai yang tahu bagaimana untuk menjana pendapatan yang jauh lebih besar dengan menjadi penulis blog sepenuh masa. Yang mereka tahu ialah, letak ruangan iklan di dalam laman blog anda. Itu sahaja. Maaf, cara ini tidak akan membantu anda ‘bernafas’ sama sekali kerana jenama-jenama hanya akan datang kepada anda sekiranya laman blog anda mempunyai jumlah trafik harian yang tinggi. Kalau setakat ala-ala sahaja, tiada siapapun yang akan datang.

Tahun 2019, genap 8 tahun saya menjadi penulis blog sepenuh masa. Di sini saya ingin kongsikan apakah yang anda boleh lakukan berdasarkan pengalaman saya menjadi penulis blog dan pemasar digital sepenuh masa.

Strategi penjenamaan. Strategi penjenamaan ialah cara bagaimana untuk memastikan orang akan mengingati anda setiap kali mereka ingin membeli sesuatu yang anda ada. Dengan kata lain, anda akan sentiasa berada di dalam pemikiran mereka apabila mereka terfikir tentang sesuatu yang anda ada.

Penjenamaan diri. Sebagai jenama kecil, strategi yang paling cepat untuk membuatkan orang percaya kepada jenama dan seterusnya membeli dari anda ialah dengan membuat penjenamaan diri terlebih dahulu. Ini lebih mudah kerana orang ramai lebih percayakan orang lain berbanding sesuatu yang bukan orang seperti syarikat.

Membeli domain yang sesuai. Jangan sesekali membeli nama domain yang bukan-bukan. Anda perlu strategik dalam memastikan anda mengukuhkan strategi penjenamaan diri tadi. Mulakan dengan membeli nama domain mengikut nama anda sendiri.

Membeli tema dan hosting yang sesuai. Jangan terlalu kedekut, menggunakan tema atau susun atur laman blog percuma tidak akan membawa anda kemana-mana. Anda perlu membeli tema yang premium, yang mampu menarik orang untuk datang dan berada lebih lama di dalamnya. Dengan memastikan orang akan berada lebih lama, kebarangkalian untuk mereka membeli adalah lebih tinggi.

Perspektif penulisan dan pembinaan autoriti. Anda tidak perlu bercerita tentang semua perkara setiap masa. Lama-kelamaan orang akan jemu, keliru dan akhirnya anda akan dilihat membosankan. Anda perlu fokus tentang industri yang anda berada. Satu sahaja. Kemudian tulis topik-topik tentang pendapat anda, trend yang telah dan akan berlaku, pandangan peribadi anda, idea, temubual orang lain dalam industri itu dan cara-cara bagaimana untuk melakukan sesuatu yang melibatkan industri anda. Ini akan membantu mengukuhkan autoriti anda dalam industri tersebut.

Konsisten dan berterusan. Ini yang perlu anda pastikan. Sekiranya anda terbitkan penulisan anda pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu maka anda perlu menerbitkan setiap penulisan pada hari-hari tersebut. Sekiranya anda menulis seminggu sekali, maka kekalkan momentum ini. Rutin yang terbaik bagi menerbitkan penulisan blog ialah setiap hari, kerana enjin pencarian seperti Google akan sentiasa menghantar algoritma mereka yang dikenali sebagai crawler untuk datang berkunjung ke laman-laman blog yang mempunyai kandungan yang segar setiap masa dan relevan dengan permintaan pembaca.

Pendapatan harian. Alam perniagaan sangat mencabar. Anda tidak boleh mengharapkan orang akan datang membeli setiap hari. Jadi, anda perlu mempunyai pendapatan harian dari aktiviti-aktiviti tertentu. Ruang iklan di dalam blog anda dan newsletter sedikit membantu di sini walaupun tidak besar. Mungkin anda juga boleh menulis untuk orang lain, membuat bengkel dan mengajar, bercakap di seminar, menjadi influencer berbayar juga dengan membuat review tentang produk atau perkhidmatan orang lain. Pendapatan ini sangat penting untuk membayar perbelanjaan harian peribadi anda.

Jana pendapatan yang tinggi. Di sini di mana pendapatan sebenar anda berada. Fokus anda perlu kepada menyediakan perkhidmatan juruperunding atau menjual produk yang selari dengan penjenamaan diri dan industri anda.

Jana trafik. Kesemua di atas tidak bermakna sekiranya anda tidak mempunyai trafik yang tinggi. Untuk menjana trafik, 3 cara pentin yang boleh anda lakukan. Menulis untuk majalah, suratkhabar atau laman blog yang terkenal, penggunaan media sosial dan juga taktik pengoptimuman enjin pencarian (SEO). Ketiga-tiga ini akan membantu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *