Bahasa Malaysia

9 Pemasar Berpengaruh Di LinkedIn Malaysia Yang Anda Perlu Ikut Hari Ini

Sembilan pemasar yang paling aktif dan berpengaruh di LinkedIn Malaysia menurut pandangan peribadi saya sendiri.

Dalam industri pemasaran di Malaysia, terdapat ramai profesional yang hebat dan dahsyat belaka. Kebanyakan dari mereka adalah CMO atau Ketua Pegawai Pemasaran di syarikat-syarikat besar, terutamanya dari jenama-jenama multinasional yang iklan mereka sering terpampang di kaca televisyen, saluran YouTube dan sebagainya. Malah, ada juga yang sering memenangi beberapa anugerah di sana-sini, di dalam dan juga di luar negara di mana mereka mewakili syarikat mereka bekerja. Pemasar-pemasar ini memang glamor dan ada sesetengah dari mereka juga kerap muncul di program-program televisyen tertentu yang melibatkan pemasara

Industri para pemasar di Malaysia biasanya berbeza-beza. Ada yang berada dalam industri kewangan, insurans, makanan, ekonomi, penerbangan, perbankan, kesihatan, teknologi, pendidikan, pengiklanan dan juga pemasaran. Yang sama adalah faktor kepakaran mereka. Kesemuanya adalah pakar dalam strategi pemasaran dan pengiklanan.

Namun dikalangan mereka, ramai yang tidak aktif di LinkedIn. Mungkin mereka terlalu sibuk dengan tugasan harian dan tidak berkesempatan bersosial di alam maya.

Dalam artikel ini, saya senaraikan sembilan pemasar yang paling aktif dan berpengaruh di LinkedIn Malaysia menurut pandangan peribadi saya sendiri. Ini berdasarkan kepada kualiti dan kekerapan status yang dimuatnaik dalam bentuk penulisan, video ataupun kedua-duanya yang lebih tertumpu kepada membantu orang lain memahami, mengajar dan memperkasakan mereka tentang penjenamaan dan pemasaran. Mereka meletakkan keutamaan dan tujuan mereka berada di LinkedIn adalah kerana orang lain dan bukannya diri mereka sendiri. Di samping itu, mereka konsisten berada di platform ini memuatnaik status dan aktif berinteraksi dengan para pengikut masing-masing.

Ya, walaupun mereka tidak se-glamor dengan para eksekutif pemasaran dari syarikat-syarikat multinasional di atas, tidak pernah memenangi sebarang anugerah dan tidak pernah berada di televisyen mahupun radio, tetapi sembilan pemasar ini sangat-sangat berpengaruh di platform LinkedIn di negara ini.

Tajul Rijal Annuar. Pemilik Bersama, Kaki Property.

Jumlah pengikut: 27,624

Latar belakang: Mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza dengan apa yang diminati tidak bermakna perjalanan profesional seseorang tidak akan berjaya. Ini yang berlaku pada Tajul. Beliau amat berpengalaman dalam bidang hartanah dan juga pemasaran digital yang khusus kepada industri-industri runcit seperti hartanah, unit amanah, insurans dan sebagainya. Kekuatan ini menjadikan beliau dan pasukan pemasarannya di Kaki Property amat terkenal di kalangan para profesional yang ingin mendapat ilmu pengetahuan tentang pemasaran yang mendatangkan hasil. Bukan senang untuk mendapatkan formula sebegini, dan Tajul mempunyai kelebihan ini.

Azleen Abdul Rahim. Pengarah, NSE

Jumlah pengikut: 18,513

Latar belakang: Azleen adalah seorang pemasar yang anti-sosial secara fizikal. Beliau tidak gemar untuk keluar berjumpa dengan orang lain, bergambar atau berkongsi tentang perkara-perkara yang dianggap personal. Tetapi beliau gemar menulis apa yang terlintas di buah fikirannya. Dia lebih cenderung berkongsi tentang idea pemasaran melalui penulisannya. Jarang menerima sebarang jemputan untuk bercakap ataupun menyelia bengkel-bengkel pemasaran korporat tetapi amat berpengaruh di LinkedIn. NSE adalah sebuah agensi media sosial yang dikendalikan oleh Azleen menyediakan perkhidmatan pengurusan media sosial, kini mempunyai pelanggan korporat dan individu di Malaysia, UAE, Singapura, Indonesia dan Australia. Beliau juga adalah pemilik bersama majalah pemasaran digital Marketing In Asia dan Azleen.com melalui syarikat Elite Werks.

Dr. A.J Minai. Ketua Pegawai Pemasaran, Subture.

Jumlah pengikut: 14,099

Latar belakang: Dr Minai amat berbeza dan tidak seperti pemasar-pemasar yang lain. Dia lebih cenderung kepada mengajak para pengikut dan pelanggannya untuk lebih menguatkan penjenamaan mereka melalui penceritaan yang berkualiti. Bagi beliau, dengan membentuk cerita yang lebih baik, para pelanggan akan lebih tertarik untuk membeli setelah mereka memahami tentang syarikat tersebut berdasarkan tentang apa yang diceritakan. 2 kali diberikan penghormatan bercakap di TEDx dan setiap bulan menerima jemputan bercakap di majlis-majlis besar, hari ini agensi pemasaran beliau Subture, dengan pengaruh penjenamaan diri yang kuat dari Dr Minai, mempunyai pelanggan-pelanggan korporat terkenal dari pelbagai negara di Asia Pasifik.

Nowrid Amin. Pakar Strategi Pemasaran, IQI Holdings

Jumlah pengikut: 11,292

Latar belakang: Berasal dari negara Bangladesh dan kini menetap di Malaysia, Nowrid memang seorang pemasar digital yang amat terkenal dengan pengetahuan teknikal tentang selok-belok pemasaran digital. Sering dijemput untuk bercakap, menjadi tetamu undangan di majlis-majlis yang melibatkan syarikat permulaan atau startup dan juga mengendalikan bengkel-bengkel khusus yang dikelolakan oleh syarikat-syarikat multinasional di negara ini. Beliau tidak lokek berkongsi pengalaman dan pendapatnya kepada tetamu yang datang tidak kira melalui percakapannya, video yang dibuat dan juga penulisan artikel beliau.

Joy Abdullah. Pengarah Pemasaran, Benefit Point

Jumlah pengikut: 6,582

Latar belakang: Tersenarai di antara pemasar yang paling berpengaruh oleh LinkedIn pada tahun 2015, Joy adalah seorang individu yang sentiasa berkongsi inspirasi bersama-sama orang lain. Setelah berkhidmat selama beberapa tahun di INCEIF, kini Joy berkecimpung dalam perniagaan secara sepenuh masa. Hampir setiap hari Joy memuatnaik status pada laman LinkedIn beliau tentang pengalaman dan pendapatnya tentang kepentingan jenama yang kukuh, yang mampu diperolehi dari pembentukan interaksi dan budaya yang positif di kalangan para pekerja dan pihak pengurusan dalam sesebuah organisasi.

Andreas Vogiatzakis. Ketua Pegawai Eksekutif, Havas Media Group Malaysia.

Jumlah pengikut: 4,805

Latar belakang: Andreas adalah seorang selebriti dan ikon dalam industri pemasaran digital dan pengiklanan di Malaysia. Beliau amat terkenal di negara ini dengan ketokohan beliau dalam mengendalikan Havas Media dari bawah sehingga ke peringkat yang tertinggi. Dilahirkan dan dibesarkan di Greece, beliau pernah bekerja di Amerika Syarikat, Greece, Jepun, Taiwan dan kini Malaysia, beliau merupakan seorang pakar pemasaran dan pengiklanan yang amat berpengalaman, memenangi beberapa anugerah dari dalam dan luar negara dan juga seorang jurulatih profesional yang bertauliah. Tidak ramai profesional yang sehebat Andreas yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan orang lain, terutama sekali kepada para pengikutnya di LinkedIn.

Khushboo Nangalia. Ketua Pegawai Eksekutif, BEYOND99

Jumlah pengikut: 4,662

Latar belakang: Seorang yang sentiasa ceria dan happy-go-lucky, Khushboo adalah pemilik agensi pemasaran digital BEYOND99 yang berpusat di Kuala Lumpur. Agensinya mempunyai pejabat di India dan Kanada. Mula melibatkan diri dalam pemasaran sejak berumur 17 tahun lagi, kini beliau lebih menumpukan perhatian dengan menjadi Ketua Pegawai Pemasaran on-demand kepada beberapa syarikat besar tempatan dan luar negara. Di LinkedIn, Khushboo sering menyediakan kandungan-kandungan yang seimbang seperti penulisan artikel, status pendek dan juga video. TEDx juga pernah menjemput Khushboo beberapa kali sebagai penceramah jemputan.

Bob Low. Ketua Jabatan Pertumbuhan, NEXT Academy

Jumlah pengikut: 3,535

Latar belakang: Walaupun Bob jarang menulis, tetapi para pengikutnya mendapat pelbagai inspirasi dan maklumat melalui video-video yang menemubual pakar-pakar pemasaran digital di dalam dan di luar negara. Hampir setiap bulan, akan ada sekurang-kurangnya 3-4 video temuramah yang beliau dikeluarkan.

Roberto Cumaraswamy. Juruperunding Pemasaran, Roberto Cumaraswam

Jumlah pengikut: 3,24

Latar belakang: Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri pemasaran dari pelbagai industri termasuklah pendidikan, telekomunikasi, makanan, kecantikan dan kosmetik, Roberto sering menggunakan teknik video dalam bentuk temuramah dalam menyampaikan pesanan dan mesej kepada para pengikutnya tentang pemasaran. Walaupun sering menemuramah para pemasar lain dan juga beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat terpilih, namun kepakaran beliau amat tinggi. Dengan sebab itu, Lazada memilih beliau untuk melatih para usahawan di bawah naungan Lazada tentang pemasaran digital dan bengkel tersebut diadakan secara berterusan ke seluruh negeri di Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *